SMK Melor merupakan sebuah sekolah harian yang sentiasa berusaha memperkukuh kecemerlangan dalam bidang kurikulum, kokurikulum serta pembentukan sahsiah murid. Justeru, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh barisan guru dan warga SMK Melor atas komitmen, dedikasi serta iltizam yang tidak berbelah bahagi dalam mendidik dan membimbing murid ke arah pembentukan modal insan yang seimbang serta berjaya di dunia dan akhirat. Marilah kita terus berganding bahu dan bekerjasama erat bagi merealisasikan hasrat serta aspirasi yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035. Dengan keazaman, kesungguhan dan keyakinan terhadap hala tuju yang jelas, saya percaya segala perancangan dan usaha yang dirangka mampu direalisasikan dengan lebih cemerlang dan berkesan.
Sebagai pendidik, kita memikul amanah besar untuk melahirkan generasi murid yang berilmu, berakhlak mulia serta memiliki jati diri yang kukuh, selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia untuk membentuk murid yang berkualiti dan berdaya saing di peringkat global. Penekanan terhadap pembangunan murid secara holistik merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran berfikir aras tinggi, kepimpinan, penguasaan pelbagai bahasa, etika serta identiti nasional perlu dijadikan teras utama dalam setiap perancangan dan pelaksanaan di sekolah. Di samping itu, murid juga perlu dilengkapi dengan kemahiran digital dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan masa hadapan.
Dalam usaha memperkasa kualiti pendidikan di SMK Melor, Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) hendaklah dijadikan rujukan utama dan penanda aras dalam setiap aspek pengurusan, kepimpinan serta pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan penambahbaikan yang menyeluruh dan berterusan, dengan memberi penekanan kepada kemenjadian murid secara holistik, diyakini mampu melonjakkan lagi kecemerlangan SMK Melor sebagai sebuah institusi pendidikan yang unggul dan berwibawa.
En Mhd Roslaile bin Mohamad Noor
Pengetua
SMK Melor
2025