SEJARAH SEKOLAH

Lipatan Sejarah SMK Kenering bermula pada tanggal 3 Disember 1988. Di mana, penubuhan awalnya dengan menumpang di bangunan di sekolah rendah yang berhampiran iaitu, SK Kenering. Pada ketika itu, sekolah hanya mampu menawarkan 3 buah kelas untuk murid tingkatan 1 sebagai pengambilan pertama sekolah ini. Oleh kerana ia menumpang di sekolah lain, sesi persekolahan telah dijalankan pada sebelah petang.

Pada awal penubuhan sekolah ini bilangan murid  seramai 91 orang. Manakala tenaga pengajarnya terdiri daripada 5 orang guru dan seorang pengetua. Peneraju utama buat pertama kalinya ialah Encik Shafii Bin Abdullah. Sementara kakitangan sokongan pula terdiri daripada seorang Pembantu Tadbir dan seorang Pembantu Am Rendah.

         Bagi menampung keperluan murid SMK Kenering, pada tahun 1989 sebuah bangunan gotong royong yang baru telah dibina di SK Kenering.  Manakala pada tahun yang sama juga dua orang guru dihantar ke sekolah ini sebagai Guru Kanan Petadbiran dan Guru Kanan Hal Ehwal Murid.

Akhirnya pada tanggal 2 Disember 1990 yang bertuah, SMK Kenering berpindah ke lokasi baru yang kekal di Pekan Lawin. Bangunan sekolah ini telah dibina di atas keluasan tanah 19 ekar, yang pada asalnya adalah sebuah ladang getah dimiliki oleh empat orang pemilik. Pada tahun 1987 tanah tersebut telah dipindah milik dengan nilai RM176 369.50. Di lokasi ini SMK Kenering berdiri megah dengan 3 blok bangunan tiga tingkat dan bangunan kantin yang dibina untuk menampung keperluan murid dan pendidikan masa kini. Bangunan ini terdiri dari kelas-kelas, pejabat, bilik ERT dan makmal sains.

              Pada bulan Januari 1991, SMK Kenering mula melebarkan sayapnya. Di bawah terajui pengetua Encik  Serip Mohamad bin Ghulam Din telah menawarkan penempatan untuk pelajar tingkatan 1 hingga 4. Jumlah guru juga telah bertambah kepada 25 orang manakala bilangan pelajar pula meningkat kepada 430 orang.

  Pada tahun 1993, sebuah bangunan setingkat Bengkel Kemahiran Hidup telah dibina di bawah projek segera Pejabat Pelajaran Hulu Perak untuk kegunaan pengajaran dan pembelajaran sukatan baru mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. Manakala pada tahun 1994, bagi menjaga kebajikan para guru dan kakitangan 10 unit tempat letak kereta telah dibina di hadapan Blok B.

                Pada tahun 1998 pula, keperluan penempatan guru terisi apabila kompleks rumah guru telah dibina dan mula didiami pada 1 Januari 1999. Kompleks rumah guru tersebut terdiri dari satu unit rumah kelas ’D’, empat unit rumah kelas ’E’ dan lapan unit rumah kelas ’F’. Manakala dalam tahun yang sama juga sebuah lagi bangunan baru setingkat bengkel Kemahiran Hidup telah dibina menggantikan bengkel lama yang kemudian diubahsuai menjadi kelas untuk pembelajaran dan bilik SPBT. Pada tahun 2000, sebuah bangunan surau telah dibina bersebelahan dengan Blok A.

              Tujuan asal penubuhannya SMK Kenering adalah untuk menampung keperluan pendidikan penduduk kampung sekitar Mukim Kenering serta pelajar dari gugusan Felda Papulut dan Felda Lawin Selatan.

Kini 2025, bilangan pelajar  kepada 350 orang dengan 35 orang guru dan 7 orang staf sokongan.  Pengetua silih berganti, namun visi kegemilangannya tetap digalas menongkah arus cabaran yang makin mencabar.