SEJARAH SEKOLAH
Kesedaran tentang pentingnya pendidikan kepada anak-anak di sekitar Kg Jerai Kupang telah merangsang Lembaga Pengurus Sekolah Kebangsaan Syed Sheh untuk menubuhkan sebuah sekolah menengah di kawasan Jerai.
Antara Ahli Lembaga Pengurus tersebut ialah :
1. En Yakub b. Sharif – Guru Besar SK Syed Sheh
2. Tn Hj Abd Rahman b Abu Bakar – Pengerusi
3. Tn Hj Tahir b. Che Hat – AJK
4. En Daud b Ismail – AJK
5. En Ahmad b Hj Abd Rahman – AJK
6. En Md Diah b Hj Abd Rahman – AJK
7. Tn Hj Ismail b Hj Hamad – AJK
8. En Sulaiman b Ibrahim – AJK
Pada tahun 1969 mesyuarat pertama kea rah penubuhan SMK Jerai telah diadakan. Antara keputusan mesyuarat tersebut ialah mendesak pembinaan sebuah sekolah menengah di kawasan Jerai bagi menampung murid – murid darjah enam dari sekolah SK Kg. Sadek, SK Syed Sheh, SK Iboi, SK Tiak, SK Kuala Kuang, dan SK Rambong.
Berikutan itu satu jawatan kuasa penaja telah dibentuk di SK Tiak pada tahun 1971 JK Penaja terdiri daripada Guru Besar SK Syed Sheh (Pengerusi), Guru Besar SK Tiak (Setiausaha) dan Guru Besar – Guru Besar SK serta Lembaga Pengurus sekolah sebagai AJK.
Alhamdulillah berkat kesabaran dan kesungguhan semua pihak, akhirnya SMK jerai Berjaya diwujudkan pada tahun 1975. Pada peringkat awal SMK Jerai menumpang di SMK Tunku Putera di bawah pimpinan Pengetua En Abd Rahim bin Abd Rahman dari SMK Baling. Pada masa itu ada 4 buah kelas tingkatan 1 di bawah bimbingan 8 orang guru penolong.
Oleh sebab berdepan dengan masalah pengangkutan, Lembaga Pengurus Sekolah mendesak agar pelajar- pelajar SMK Jerai berpindah ke SK Syed Sheh, malangnya permintaan di tolak kerana tiada kemudahan makmal sains dan bengkel seni perusahaan. Bagaimanapun akhirnya semua pelajar tersebut dipindahkan ke SK Pulai dan seterusnya ke SR Syed Sheh.
Fasa pembinaan bangunan SMK Jerai bermula pada tahun 1976 di kawasan seluas 14 ekar berhampiran persimpangan Jalan Tiak – Iboi dengan 4 blok bangunan termasuk kantin. Pada tahun 1977, bangunan baru pula mula digunakan untuk pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 pada sesi pagi dan petang. Dan kumpulan pertama calon Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mula menduduki peperiksaan pada penghujung tahun 1977.
Pada tahun 2010, SMK Jerai telah bertukar wajah. Dua buah bangunan baru telah siap dibina iaitu blok bilik darjah dan makmal dan blok bangunan MPV. Di bawah kepimpinan Pengetua Pn Hjh Che Su bt Ibrahim, sekolah telah Berjaya ditukar menjadi sekolah satu sesi.