Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Perdana
Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Perdana (SMKDP) ditubuhkan pada 1 Disember 1993 dengan nama asalnya SMK Taman Desa 2. Pada awal pengoperasian, SMK Desa Perdana mempunyai tenaga pengajar yang terdiri daripada Pengetua, seorang Penolong Kanan, 14 orang guru serta seramai 305 orang murid kelas Peralihan dan Tingkatan Satu.
Pada peringkat awal, penubuhan SMK Taman Desa 2 mempunyai empat blok bangunan tiga tingkat yang dinamakan blok A, B, C dan D, kantin, tapak perhimpunan dan padang bola sepak serta trek olahraga 200 meter. Pada tahun 1995, Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran (KKBP) telah dibuka di sekolah ini. Manakala pada tahun 1997, SMK Desa Perdana menjadi sekolah dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang bagi menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat.
Pertukaran nama SMK Taman Desa 2 kepada SMK Desa Perdana telah dilaksanakan pada 26 Julai 1999. Bangunan tambahan Blok E telah dibina pada bulan Mac 2000 dan dijadikan sebagai Blok Pentadbiran sehingga kini. Pada tahun 2003, SMK Desa Perdana telah melaksanakan persekolahan satu sesi dengan jumlah murid seramai 1146 orang dan 80 tenaga pengajar. Pelbagai kemudahan prasarana telah disediakan dan ditambah baik demi memberi keselesaan dan menceriakan sekolah.
Warga SMK Desa Perdana terus berdiri kukuh, melangkah sederap ke hadapan menuju kecemerlangan dengan menyahut segala cabaran, menempuh segala rintangan, mencapai kejuaraan, menggapai impian mentransformasi sekolah harian yang biasa- biasa menjadi sekolah harian luar biasa suatu ketika kelak.