Visi Sekolah
Pendidikan berkualiti insan terdidik negara sejahtera
Misi Sekolah
Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara
Sejarah Sekolah
SMK Tun Fatimah Hashim (SMKTFH), Pasir Gudang yang dahulunya dikenali sebagai SMK Taman Daya 3 ditubuhkan bagi menampung keperluan pendidikan anak-anak penduduk sekitar Taman Daya yang semakin bertambah. SMK Taman Daya 3 dibina di atas tapak lot PTD 25540 oleh syarikat pembinaan Blaze Construction Sdn. Bhd. dan direka bentuk oleh A+1 Design dan A. Mirza Arkitek. Kerja-kerja asas pembinaan dilaksanakan pada Mei 2000 dan dijangka siap pada Ogos 2001 dan dicadang beroperasi pada Januari 2002. Encik Mohd Rosman Bin Mohd. Rukani dari SMK Taman Daya telah ditugaskan sebagai Penyelaras pada 1 Mei 2001 dan Puan Hajah Amnah Binti Mohamed, Pengetua SMK Taman Daya telah dilantik sebagai Pengetua Pembimbing.
Namun begitu SMK Taman Daya 3 tidak dapat disiapkan mengikut tempoh waktu yang ditetapkan dan tertangguh sehingga Januari 2004. Perkhidmatan Syarikat Pembinaan Blaze Construction Sdn. Bhd. telah ditamatkan dan tugas pembinaan seterusnya diambil alih oleh Syarikat Intra Corp Sdn. Bhd. Akhirnya Syarikat Intra Corp Sdn. Bhd. berjaya menyiapkan kerja-kerja yang terbengkalai di sekolah ini pada April 2004.
Watikah pembukaan sekolah baharu telah disampaikan secara rasmi oleh Tuan Haji Zakaria Bin Haji Abdul Shukor, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Johor pada 2 September 2003 dengan menumpang sementara di SMK Taman Daya 2 sejak 16 Disember 2003.
SMK Taman Daya 3 akhirnya beroperasi secara rasmi dan memulakan sesi persekolahan yang pertama pada 28 Jun 2004. Pada tahun 2004 sehingga tahun 2007 sekolah ini telah diletakkan di bawah seliaan dan pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru dan bermula 1 April 2007 telah mula beroperasi di bawah seliaan dan pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang.
Puan Hajah Faredah Binti Mashor telah dilantik menjadi pengetua pertama sekolah ini pada tahun 2003 bersama 16 orang guru dan 250 orang murid. Seterusnya, Encik Mahamud Bin Othaman menjadi Pengetua kedua pada tahun 2006 sehingga tahun 2011. Pada tahun 2012, Puan Hajah Nor Ezah Binti Haji Mohammad mengambil alih tugas sebagai Pengetua sehingga tahun 2014. Idea pertukaran nama sekolah ini telah dicetuskan oleh beliau dan dibantu oleh guru-guru serta Jawatankuasa PIBG sekolah yang banyak menyokong demi pembangunan dan kecemerlangan sekolah ini. Pada hujung tahun 2014, Puan Mahidah Binti Kosnan melapor diri sebagai Pengetua apabila Puan Hajah Nor Ezah bertukar sebagai SIP+ di Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak. Seterusnya, kepimpinan sekolah diambil alih oleh En Mohan a/l M.S Damodaran pada akhir bulan 12 tahun 2017 apabila Puan Mahidah binti Kosnan meneruskan tugas beliau sebagai Pengetua di SMK Pasir Gudang 2. Pada bulan Mac tahun 2020, sekolah telah menerima Pengetua baru iaitu Encik S. Mugunen a/l Chendu untuk menerajui pentadbiran sekolah. Selepas Encik S. Mugunen menamatkan perkhidmatan kerana berpencen, sekolah diterajui oleh En Lim Siew Chai bermula Julai 2021.
Surat kelulusan rasmi pertukaran nama SMK Taman Daya 3 kepada SMK Tun Fatimah Hashim oleh Kementerian Pendidikan Malaysia telah diperoleh pada 2 November 2015. Seterusnya pada 27 Mac 2016 merupakan tarikh penting dalam sejarah sekolah ini, apabila dengan rasminya nama baharu sekolah ini menggunakan nama SMK Tun Fatimah Hashim, Pasir Gudang Johor.