Selamat Datang Ke Portal Laman Rasmi SMK Tuanku Lailatul Shahreen
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita diberi kesempatan untuk memulakan sesi persekolahan ini dengan azam yang baharu, semangat yang segar dan tekad yang kukuh untuk terus melakar kecemerlangan.
Sekolah ini bukan sekadar sebuah institusi ilmu, malah merupakan medan pembentukan insan. Kita berbangga kerana sekolah ini bukan sahaja cemerlang dalam pencapaian akademik dan penguasaan teknologi, tetapi juga unggul dalam melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, berjati diri kukuh serta menghayati dan mengamalkan 13 Karakter Kemenjadian Murid sebagai panduan hidup dan kepimpinan masa hadapan.
Budaya sikap terbuka terhadap pembaharuan dan inovasi yang subur di sekolah ini telah membentuk murid yang berfikiran kritis, kreatif dan berani mencuba. Inilah kekuatan sekolah kita — melahirkan pelajar yang aktif, beraspirasi tinggi, celik teknologi dan konsisten dengan prestasi akademik yang membanggakan, bersedia melangkah yakin menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan mengucapkan selamat kembali bertugas kepada seluruh warga pendidik serta selamat kembali ke sekolah kepada pelajar-pelajar lama. Jadikan tahun ini sebagai medan untuk kita memperbaiki diri, memperkukuh potensi dan melonjakkan kecemerlangan ke tahap yang lebih tinggi.
Kepada pelajar Tingkatan 1, selamat datang saya ucapkan ke dalam keluarga besar sekolah ini. Anda kini melangkah ke satu fasa baharu yang penuh peluang dan cabaran. Rebutlah setiap ruang pembelajaran, bina keyakinan diri dan jadilah pelajar yang bukan sahaja cemerlang minda, tetapi juga mulia sahsiahnya.
Seiring dengan aspirasi tersebut, pada tahun ini pihak sekolah beriltizam untuk memperkasa semangat berpasukan dalam kalangan guru dengan mengangkat tema Sinergi, selari dengan usaha membimbing murid agar benar-benar menghayati dan mengamalkan 13 Karakter Kemenjadian Murid dalam setiap aspek pembelajaran dan pembentukan sahsiah.
Melalui kerjasama yang erat, budaya saling menyokong dan perkongsian kepakaran, sinergi warga pendidik diyakini mampu melonjakkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, seterusnya membentuk murid yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan, selaras dengan hasrat pendidikan negara.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu, menyatukan tenaga dan memperteguh iltizam untuk memastikan sekolah ini terus unggul, berprestij dan menjadi kebanggaan semua.
Sekian, terima kasih.
LILI MARIAM BINTI MOHAMMAD @ MOKHTAR
PENGETUA SMK TUANKU LAILATUL SHAHREEN
CYNERGY 13 TLS KIDS CHARACTER: Tonggak Pembentukan Sahsiah Murid Cemerlang di SMK Tuanku Lailatul Shahreen
Pembentukan sahsiah yang unggul dalam kalangan murid merupakan teras penting dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab. Selaras dengan aspirasi tersebut, SMK Tuanku Lailatul Shahreen memperkenalkan inisiatif C-NERGY 13 sebagai panduan pembentukan sahsiah murid yang holistik dan seimbang.
C-NERGY 13 merangkumi tiga belas nilai teras yang dipilih berdasarkan kepentingan nilai akhlak, jati diri, serta budaya kerja cemerlang dalam kalangan murid sekolah ini.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh identiti murid SMKTLS, malah menyokong sepenuhnya pelaksanaan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) yang memberi tumpuan kepada pembentukan insan holistik, berdaya saing dan berpaksikan nilai.