Latar Belakang Sekolah

LATAR BELAKANG SEKOLAH

Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Puteh, Kuantan lahir menjelang awal tahun 1936 apabila beberapa orang ahli kenamaan Dewan Perniagaan Cina Kuantan telah berjaya mengasaskan sebuah sekolah yang terletak di No.1, Jalan Bukit Ubi, Kuantan.

Kemudian sebuah sekolah lagi yang bernama Sekolah Wah Khiaw telah ditubuhkan di bawah pembiayaan dan diusahakan bersama oleh Persatuan Hokkien. Seterusnya pada tahun 1946 segolongan penggemar ilmu pengetahuan pula telah mengasaskan sebuah lagi sekolah Cina yang diberi nama Sekolah Chung Kuok bertempat di Padang Lalang, Kuantan.

Malangnya pada bulan Mei 1948, sekolah yang terletak di Bukit Ubi ditutup berikutan dengan pengisytiharan darurat di Tanah Melayu. Oleh itu, pada zaman selepas perang hanya ada dua buah sekolah Cina di Kuantan iaitu Sekolah Wah Khiaw dan Sekolah Chung Kuok. Mulai tahun 1952, kedua-dua buah sekolah tersebut telah digabungkan dengan nama baru iaitu Sekolah Rendah dan Menengah Wah Khiaw dan Chung Kuok, Kuantan. Namun begitu bangunan-bangunan sekolah tersebut berselerak di tiga tempat dengan bangunan utamanya bertempat di sekolah lama iaitu di Jalan Bukit Ubi. Mulai tahun itu, sekolah tersebut menerima bantuan kerajaan dan guru-gurunya juga dibayar mengikut tangga gaji baru.

Pada tahun 1956, pendaftaran murid telah meningkat kepada 38 kelas yang mengandungi lebih daripada 1800 orang murid. Oleh sebab jumlah bilik darjah tidak mencukupi, maka pihak sekolah terpaksalah melengkapinya dengan cara meminjam dewan-dewan daripada Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Hokkien, Pertubuhan Kwong Siew dan lain-lain lagi. Untuk mengatasi masalah tersebut, satu Jawatankuasa Bangunan Sekolah telah dibentuk pada tahun 1957 dengan Datuk Lim Hoe Lek sebagai pengerusinya. Di samping menderma sebidang tanah seluas tiga ekar di Tanah Puteh, Datuk Lim juga telah bermurah hati menghulurkan bantuan sebanyak $20,000.00 kepada tabung bangunan tersebut. Tindakan baik beliau itu telah menjadi teladan beberapa orang lain yang turut menghulurkan bantuan.

Pada bulan Januari 1958, sebuah sekolah rendah yang baru telah ditubuhkan tetapi pada akhir tahun itu, mengikut perturan kerajaan yang baru, Sekolah Rendah dan Menengah telah dipecahkan kepada empat iaitu Sekolah Menengah Chung Hwa (Chung Hwa Middle School), Sekolah Rendah Chung Hwa, Sekolah Rendah Kuang Hwa dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (National Type Secondary School) dengan nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kuantan ( Kuantan National Type Secondary School).

Sekolah ini dipindahkan ke lokasi sekarang pada Januari 1969 setelah bangunan sekolah siap dibina dengan bantuan kerajaan. Sekolah baru dibuka secara rasminya oleh Menteri Pelajaran pada masa itu, Dato Haji Abdul Rahman Yaacob pada 23 Ogos 1969.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, jumlah murid telah meningkat. Oleh itu dengan bantuan kerajaan pada tahun 2002 SMKTP telah ditambah lagi dengan dua blok bangunan baru. Bangunan baru ini mula digunakan pada tahun 2004. Bangunan ini terdiri daripada beberapa buah bilik darjah, Makmal Biologi, Makmal Fizik, Makmal Kimia, Bilik ERT, Bilik Gerakan dan Bilik SPBT. Kini bilik-bilik tersebut digunakan dengan optimum. Pada tahun yang sama (2004) SMKTP juga dilengkapkan dengan Makmal Komputer baru. Makmal Komputer ini dilengkapi dengan alatan IT yang mencukupi dan sempurna. Sehingga 2016, pelbagai kemudahan telah dimiliki oleh SMKTP dan pada 3 September 2016 pintu gerbang baru telah dirasmikan sebagai mercu tanda SMKTP.