Sejarah perkembangan Sekolah Kebangsaan Sik bermula pada tahun 1334H bersamaan 1916M di mana pada waktu itu dikenali sebagai “Balai Sekolah”. Bangunannya terletak di atas sebidang tanah seluas 42 kaki persegi. Pada waktu itu sekolah ini hanya mempunyai 20 orang murid dan 2 orang guru sahaja. Guru yang bertugas pada masa itu ialah Cikgu Md Arshad dan Cikgu Md Udin dengan menghadapi pelbagai masalah dan kekurangan kemudahan asas.
Pada tahun 1938 sebuah bangunan baru telah didirikan dan mengandungi 8 buah bilik darjah. Jumlah murid pada waktu itu ialah 179 orang dan gurunya seramai 6 orang. Sekolah ini dinamakan “Sekolah Melayu Sik” dan merupakan salah sebuah sekolah yang terbesar di negeri Kedah pada waktu itu. Pada tahun 1942 ketika Jepun memerintah USHA MENIPON telah diperkenalkan iaitu mewajibkan pembelajaran Bahasa Jepun di sekolah-sekolah. Kesannya kedatangan murid-murid ke sekolah amat merosot.
Pada tahun 1943 negeri Kedah jatuh ke tangan Negeri Thai (Thaiburi) dan Bahasa Thai dijadikan mata pelajaran wajib disamping Bahasa Melayu dan Bahasa Jepun. Bilangan murid pada masa itu ialah 223 orang dan pada tahun 1945 terus merosot iaitu hanya tinggal 169 murid dan 5 orang guru sahaja.
Pada tahun 1947, setelah British mengambil alih pemerintahan, Lembaga Didikan Sekolah telah ditubuhkan oleh Jabatan Pelajaran. Pada tahun 1948 jumlah murid telah meningkat kepada 250 orang dan seterusnya 340 orang pada tahun 1950. Pertambahan pelajar menyebabkan keperluan bangunan baru begitu dirasakan. Pada tahun 1950 tiga buah bangunan baru telah didirikan hasil rundingan yang dibuat oleh Lembaga Didikan Sekolah. Blok bangunan tersebut ialah seperti berikut:-
i. Bangunan A = 60 x 20 kaki persegi
ii. Bangunan B = 91 x 20 kaki persegi
iii. Bangunan C = 48 x 25 kaki persegi
Pagi tahun 1951 jumlah murid terus meningkat menjadi 383 orang dan guru seramai 11 orang. Setelah Negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 jumlah murid terus meningkat kepada 736 orang dan guru seramai 18 orang. Pada masa itu sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Umum Sik. Pada tahun 1968 sebuah bangunan dua tingkat telah didirikan dengan 10 bilik darjah dan lengkap dengan pejabat dan stor. Bangunan baru tersebut telah berjaya menampung pertambahan jumlah murid iaitu pada 1972 seramai 1028 oang dan guru seramai 29 orang. Hari ini Sekolah Kebangsaan Sik telah mempunyai seramai 1200 orang murid dengan 57 orang guru dan kakitangan bukan guru. Sekolah ini mempunyai dua sesi persekolahan iaitu sesi pagi dan petang. Keperluan bangunan tambahan terus diperlukan oleh sekolah ini bagi mewujudkan bilik-bilik khas selaras dengan arus perubahan dunia pendidikan dan aspirasi Wawasan Negara iaitu Wawasan 2020.
Pada tahun 2003 Bangunan baru tiga tingkat mula diduduki.Pejabat Sekolah telah berpindah ke Bangunan Baru. Bangunan ini juga menempatkan bilik guru ,pusat sumber, makmal sains, Bilik Kemahiran Hidup dan Bilik Mesyuarat Guru. Bangunan sebelah bawah digunakan sebagai Dewan Terbuka
Falsafah Pendidikan Negara yang menjurus kepada pembentukan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani begitu bertepatan dengan cogan kata sekolah ini.
Cogankata RAJIN TEKUN SABAR BERJAYA melambangkan iltizam warga Sekolah Kebangsaan Sik untuk melahirkan Generasi Baru yang berwawasan dan berteknologi tinggi selaras dengan dasar Pendidikan Negara yang berpaksikan Falsafah Pendidikan Negara.
“Rajin” bermaksud bersungguh-sungguh dalam proses menuntut, memberi dan mengamalkan ilmu. Proses ini memerlukan “ketekunan dan kesabaran” kerana begitu banyak cabaran dan rintangan yang bakal ditempuhi sebelum sesuatu kejayaan tercipta.
“Berjaya” adalah hasil kesungguhan dan usaha yang murni kearah kecemerlangan Kombinasi “Rajin Tekun Sabar Berjaya” adalah faktor terpenting kepada warga sekolah ini untuk membina kegemilangan.
1. Abd Rahman bin Saad
2. Haji Md Noor Bin Ahmad
3. Haji Mahmood Bin Ariff (1956 – 1968)
4. Haji Othman bin Ahmad (1968 - 1972)
5. Haji Murad Bin Abdul Rahman (1972 – 1977)
6. Haji Md Nor Bin Abdul Rahman (1977 – 1985)
7. Haji Mohd Hadzir Bin Jaafar PPN, PJK, BKM, AMN (1985- 1992)
8. Haji Shamsudin bin Teh (Memangku Guru Besar) (1992)
9. Haji Yahya bin Sulaiman (PCK) (1992 – 2001)
10. Haji Bakri bin Hassan (PJK) ( 2001 – 2004)
11. Hj Md. Nasir bin Nordin (2004 – 15 Mac 2010)
12. Shukari bin Yaakob (16 Mac 2010 - 2020 )
13. Azahari bin Abdullah (Sekarang)