--- SEJARAH SEKOLAH ---
SK Salak South telah ditubuhkan pada 16 Januari 1967 dengan nama Sekolah Rendah Salak South (SRK Salak South). Oleh kerana sekolah tidak mempunyai bangunan sendiri, maka sekolah ini hanya menumpang bangunan SRJK(C) Salak South dan beroperasi pada sesi petang. Bangunan yang ditumpangi pula hanyalah sebuah bangunan satu tingkat dan beratapkan zink yang telah dibina pada sekitar tahun 50’an.
Kakitangan sekolah pada ketika itu hanyalah terdiri daripada seorang Guru Besar, 5 orang guru dan seorang kerani. Manakala bilangan murid yang berdaftar pada ketika itu adalah seramai 182 orang murid dan dimuatkan ke dalam 4 buah bilik darjah 1. Kebanyakan murid tinggal di sekitar kawasan Salak South Baru di mana majoriti terdiri daripada latar belakang buruh am.
SRK Salak South hanya mempunyai tapak dan bangunan sendiri menjelang penghujung tahun yangsama di atas kawasan bukit di Taman Salak South berkeluasan 5.376 ekar. Premis sekolah initerletak pada jarak lebih kurang 11km daripada pusat bandar Kuala Lumpur. Binaannya pula terdiri daripada tiga buah blok bangunan batu berbumbung asbestos yang dinamakan Blok A, B dan C serta sebuah bangunan kantin.
Bilangan murid yang belajar di sekolah ini terus bertambah dari tahun ke tahun sehingga sekolah ini perlu beroperasi 2 sesi di bawah satu pentadbiran. Dengan peningkatan murid yang kian bertambah, sebuah lagi blok bangunan satu tingkat telah dibina menjelang penghujung tahun 1983. Bangunan yang bertaraf sementara ini telah dibina dalam satu Program Rancangan Kilat yang menyediakan 6 buah bilik darjah lagi.
Pada tahun 1997, bangunan tambahan tersebut telah dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah lagi bangunan baru empat tingkat yang mempunyai 15 bilik darjah. Bangunan ini mula digunakan sepenuhnya pada Januari 1999. Antara kelengkapan kemudahan ketika itu adalah bilik komputer, pusat sumber, klinik gigi, kedai buku dan bangunan surau.
Pada tahun 2008, sebuah lagi bangunan baharu 2 blok telah dibina di kawasan padang sekolah. Blok baharu iti terdiri daripada 12 buah bilik darjah, sebuah bilik guru, pejabat pentadbiran, makmal sains, pusat sumber, bilik kesihatan, sebuah padang yang sederhana besar juga telah disediakan di atas tapak blok bangunan lama yang telah dirobohkan.
Pada awal tahun 2009, perpindahan warga sekolah ke bangunan baharu telah dijalankan. Melalui perpindahan tersebut, warga SK Salak South dapat belajar dalam keadaan yang lebih selesa dan sempurna sejajar dengan perkembangan semasa.
--- LAGU SEKOLAH ---
SK Salak South nama diberi
Kami dididik dipimpin di sini
Menimba ilmu pengetahuan murni
Bernilai kemudian hari
Budi ibu bapa takkan kami lupa,
Guru berjasa dihormati sentiasa
Mari kita bersama-sama
Agungkan cogan sekolah kita
Berdikari bersemangat waja
Mara terus mara
Lagu sekolah ini merupakan rentak march dan bertenaga. Lagu ini juga menunjukkan ciri-ciri yang hendak diterapkan kepada murid-murid setiap hari. Perkara ini penting agar murid sentiasa fokus dan bermatlamat serta ceria dan berfikiran positif. Lagu ini juga banya menerapkan elemen dalam Moto Sekolah.