SEJARAH SK PAYA MAS
SK Paya Mas terletak di tepi jalan raya antara Muar ke Segamat (KM30). Kedudukannya adalah kira–kira tiga kilometer dari bandar Tangkak dan 30 kilometer dari bandar Muar. SK Paya Mas dikategorikan sebagai Sekolah Gred B luar bandar.
Bangunan asalnya hanya terdiri daripada 2 buah blok bangunan satu tingkat yang mengandungi 4 buah bilik darjah, sebuah bilik kecil sebagai billik Guru Besar, sebuah bilik guru dan sebuah setor yang dibina bersambungan dengan bilik guru. Tiada bangunan kantin yang dibina kecuali bangunan sementara yang dibina sendiri oleh pengusaha kantin.
Pada bulan September tahun 1989 sekolah ini mendapat peruntukan dan prasarana sekolah telah bertambah iaitu;
i) satu unit bilik air dan tandas yang mengandungi lapan ruang,
ii) sebuah bangunan kantin berukuran 60” X 25”,
iii) satu projek gotong royong sebanyak RM50,000.00 untuk pembinaan 4 buah bilik darjah.
Dengan siapnya bangunan tambahan ini pada awal tahun 1990, sekolah ini telah dapat menempatkan Bilik Sumber dan perpustakaan, manakala dua buah bilik lagi sebagai bilik darjah yang boleh diubah suai sebagai dewan.
Kini bangunan tersebut telah diubah suai sekali lagi kepada kelas Prasekolah yang mengandungi kelas untuk pengajaran dan pembelajaran, dapur dan setor. Selebihnya dijadikan bilik guru sementara kedudukan pejabat dikekalkan.
Sehingga Jun 2008, SK Paya Mas mempunyai 3 blok bangunan yang menempatkan sebuah pejabat , sebuah bilik guru, 6 buah bilik darjah, sebuah setor pekerja, sebuah kelas prasekolah , sebuah bilik guru, sebuah bilik SPBT dan BB. Selain 3 blok tersebut , SK Paya Mas juga mempunyai sebuah bangunan setingkat Makmal Komputer, bilik KH , kantin dan surau .
Pada Julai 2008 , SK Paya Mas membuka lembaran sejarah baru apabila 2 blok bangunan sekolah iaitu blok A dan blok B dirobohkan. Bangunan tersebut dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek naik taraf sekolah oleh Kementerian Pelajaran Malaysia melalui pembinaan bangunan baru sekolah 4 tingkat yang bernilai RM4.2 juta. Projek ini dijangkakan siap sepenuhnya pada September 2009.
Satu sejarah baru tercipta di SK Paya Mas setelah terbinanya sebuah Arena Skuasy Syed Ibrahim yang dirasmikan oleh YB Syed Ibrahim Bin Syed Noh pada tanggal 4 Mei 2024.
Semoga SK Paya Mas terus melakar kecemerlangan dalam semua bidang termasuklah akademik, sahsiah, kokurikulum dan kemenjadian murid.