Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) adalah cetusan ilham, mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ianya telah dilancarkan pada 6 September 2013 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Ia mengandungi lima aspirasi sistem dan enam ciri murid yang akan dicapai dalam tempoh 13 tahun, bermula dari tahun 2013 hingga 2025. Merupakan manifestasi transformasi kerajaan yang paling menyeluruh dan besar bagi murid dari pra sekolah hingga ke pusat pengajian tinggi, dalam mendatangkan pulangan terbaik modal insan untuk memacu segala hasrat pembangunan negara.
Gelombang pertama bermula dari tahun 2013 hingga 2015, yang memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.
Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.
Menjelang akhir Gelombang 1, Kementerian Pendidikan Malaysia akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan.
Kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baru dan penstrukturan semula kementerian.
Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.
Memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.
Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kementerian telah menggariskan 11 anjakan yang perlu dilaksanakan seperti berikut
Menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa
Memastikan setiap murid profisien dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris
Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai
Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan
Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah
Mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan
Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia
Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan
Bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas
Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit
Meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam
Bagi sektor pengajian tinggi pula, terdapat 10 lonjakan yang perlu dicapai, antaranya
Graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang
Kecemerlangan bakat
Menghayati pembelajaran sepanjang hayat
Graduan TVET berkualiti
Kemampanan kewangan
Pemantapan tadbir urus
Ekosistem inovasi
Keunggulan global
Pembelajaran dalam talian tahap global
Transformasi penyampaian pendidikan tinggi