BARISAN PENTADBIR SEKOLAH KEBANGSAAN MATANG GERDU
BARISAN PENTADBIR SEKOLAH KEBANGSAAN MATANG GERDU
GURU BESAR
PUAN NORAZANI BINTI MAHAMAD
PK PENTADBIRAN
ENCIK MUHAMAD FAHMI BIN MAHAMOD
PK HAL EHWAL MURID
PUAN RUHANA BINTI AHMAD
PK KOKURIKULUM
ENCIK HASBULLAH BIN YUSOP
KATA ALU-ALUAN GURU BESAR
Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T kerana dengan rahmat dan hidayahNya kita masih diberi peluang untuk meneruskan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita pada tahun 2026 ini. Kejayaan yang telah dikecapi pada tahun 2025, kita jadikan satu motivasi untuk terus melakar kecemerlangan demi memastikan kemenjadian murid dan sekolah berkualiti dapat direalisasikan.
Program “ SEMADU DO” diilhamkan untuk sama-sama kita hayati maksudnya, dengan semangat jiwa pendidik serta nyala rasa seorang guru. S- Semat Nilai Kesungguhan, E- Empati Cakna Persekitaran, M- Menggalas Misi Kemenjadian, A- Akhlak Mulia Menjadi Cerminan, D- Dinamik Merentas Perubahan, U- Unggul Menerajui Kecemerlangan, manakala DO(boleh). Warga SK Matang Gerdu mesti berfikiran positif demi memastikan visi dan misi KPM dapat dicapai. Kita kini berada dalam era reformasi pendidikan yang menuntut perubahan bukan sahaja daripada segi dasar dan kurikulum malah daripada aspek pendekatan, pemikiran dan amalan pengajaran. Perkembangan teknologi digital yang pesat seperti kecerdasan buatan (AI), pembelajaran berasaskan data , aplikasi digital dan platform pembelajaran dalam talian telah mengubah landskap pendidikan secara menyeluruh. Dalam konteks ini, peranan guru bukan hanya sebagai penyampai ilmu semata-mata tetapi adalah sebagai pemudah cara pembelajaran, pembimbing sahsiah, pencetus pemikiran kritis dan pembina nilai dalam diri murid. Reformasi pendidikan menekankan kepada kemahiran abad ke-21seperti pemikiran kritis, kreativiti, kolaborasi, komunikasi dan literasi digital.
Sebagai peneraju, pembimbing dan pendorong, saya akan memastikan warga pendidik mampu menyesuaikan diri dan bersedia untuk belajar semula meningkatkan kompetensi digital dan menerima inovasi baharu yang merupakan kunci kejayaan kepada reformasi pendidikan. Sikap terbuka, fleksibel dan berdaya saing perlu terus dipupuk agar kita tidak ketinggalan dalam arus globalisasi pendidikan.
Guru-guru dan Staf yang dikasihi sekalian,
Walau secanggih mana teknologi yang diperkenalkan, nilai kemanusiaan kasih sayang, empati dan bimbingan rohani tetap menjadi teras pendidikan. Justeru, keseimbangan antara penggunaan teknologi dan pembinaan sahsiah perlu sentiasa diutamakan. Akhir kata, marilah kita bersama-sama menyahut cabaran reformasi pendidikan dengan penuh iltizam dan profesionalisme. Semoga setiap usaha dan inovasi yang kita laksanakan menjadi bakti serta memberi manafaat kepada generasi masa hadapan demi agama, bangsa dan negara yang tercinta.
Salam Hormat,
Norazani binti Mahamad
SEJARAH SEKOLAH
Matang Gerdu ialah sebuah kampung bertaraf luar bandar, kira-kira 5 kilometer dari bandar Bagan Serai. Jalan perhubungannya tidak sukar kerana kedudukannya di tepi jalan raya. Terletak di laluan bas yang menghubungkan pekan Kuala Kurau dengan Bagan Serai. Pada awalnya di sekitar laluan jalan raya terdapat ladang getah serta terdapat beberapa buah kampung seperti Kampung Parit Sulaiman, Kampung Parit Hj. Hassan, Kampung Parit Husin, Kampung Parit Jawa, Kampung Sungai Dungun, Kampung Parit Hj. Amin di sebelah kiri menghala ke bandar Bagan Serai dan Kampung Matang Gerdu.
Pada tahun 1990 telah terdapat sebuah taman perumahan iaitu Taman Serai Jaya bersebelahan dengan sekolah ini. Dengan adanya taman tersebut, bilangan murid yang bersekolah di sini turut bertambah. Pada tahun 2000, sebuah lagi taman perumahan diwujudkan di Matang Gerdu, jadi bilangan murid makin bertambah ramai.
Sekolah Matang Gerdu diasaskan oleh penduduk tempatan dalam tahun 1954. Bangunannya berukuran 30m X 8m beratapkan zink, berdinding papan dan berlantaikan simen. Pada ketika itu, sekolah ini dinamakan Sekolah Melayu Matang Gerdu. Pada hari Isnin, 1 Mac 1954, bermulalah sejarah baru dalam bidang pelajaran dan pendidikan di kampung ini. Sekolah Melayu Matang Gerdu memulakan peranannya.
Guru besar yang pertama ialah Encik Muhd Said bin Haji Omar yang berkelulusan SITC. Tugasnya dibantu oleh Encik Yang Ahmad bin Abd. Wahab yang juga dari SITC dan Cik Latifah binti Aminon, seorang guru pelatih. Seramai 233 orang murid yang telah hadir untuk mendaftarkan diri, semuanya dalam darjah 1.
PENGASAS
Sebelum tahun 1954, di sekitar Kampung Matang Gerdu ini belum ada sebuah sekolah pun untuk kemudahan murid-murid belajar. Sekolah yang berhampiran ketika itu ialah Sekolah Kebangsaan Bagan Serai yang jaraknya kira-kira 5 kilometer. Sebuah lagi sekolah adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Siakap (kini Sekolah Kebangsaan Seri Siakap) yang jauhnya 7 kilometer. Memandangkan kesukaran bagi penduduk sekitar ini bersekolah, maka sebuah Jawatankuasa Pembinaan Sekolah telah dibentuk. Jawatankuasa ini diketuai oleh Tuan Hj. Aminon bin Hj. Md Yasin (Guru Bersara). Dengan kesungguhan dan semangat jawatankuasa serta kerjasama penduduk tempatan, maka terbinalah sekolah hasil titik peluh dan usaha bersama.
AHLI LEMBAGA PENGURUS
Ahli Lembaga Pengurus yang dikenali pada masa itu sebagai Jawatankuasa Penasihat Sekolah diketuai atau dipengerusikan Tuan Hj. Aminon bin Hj. Md Yasin. Beliau telah diberi kepercayaan mempengerusikan Lembaga Pengurus Sekolah ini selama 26 tahun (mulai tahun 1954 hingga 29 Januari 1980). Jawatannya kemudian diambil alih oleh Tuan Hj. Ibrahim bin Md Ali (guru bersara).
NAMA SEKOLAH
Asalnya dinamakan Sekolah Melayu Matang Gerdu, nama diambil bersempena nama Kampung Matang Gerdu. Kemudian berubah nama Sekolah Umum Matang Gerdu dan sekarang dikenali Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu. Perubahan ini terpaksa dibuat mengikut arus perkembangan semasa dan politik tanah air negara.
TANAH / KAWASAN SEKOLAH
Tanah kawasan sekolah ini asalnya ialah sebahagian dari kepunyaan estet (Kang Lee Estate). Kerajaan telah membeli seluas 5a-00-33 pol pada tahun 1954 untuk kawasan Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu. (No. Lot: 8223 Mukim Serai / Panjang 8 rantai, Lebar 7 rantai).
Nama sekolah : Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu
Kod sekolah : ABA3007
Alamat sekolah : Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, 34300 Bagan Serai, Perak
No.Tel : 05-7216541
E-mel : aba3007@moe.edu.my
JPN : Perak
PPD : Kerian
Parlimen : Bagan Serai
Dewan Undangan Negeri : Alor Pongsu
Jenis sekolah : Kebangsaan
Peringkat : Pra sekolah hingga Tahun 6
Sesi : Pagi sahaja
Lokasi : Bandar
Gred : A
Jenis bantuan : Sekolah Kerajaan
Bil. guru : 68 orang (Setakat Jan 2026)
Bil. AKP : 8 orang (Setakat Jan 2026)
Bil. kelas : 36
Bil. murid : 1070 orang (Setakat Jan 2026)
VISI SEMADU
Sekolah Berkualiti Membangunkan Modal Insan Kamil Yang Unggul
MISI SEMADU
SKIP (Kecemerlangan Spritual, Keunggulan Kredibiliti, Integriti,Prihatin) Merealisasikaan Sekolah Berkualiti dan Kemenjadian Murid Yang Unggul
MATLAMAT
Melahirkan bangsa Malaysia yang taat setia dan bersatu padu.
Melahirkan insan yang beriman, berakhlak mulia, berilmu, berketerampilan dan sejahtera.
Menyediakan sumber tenaga manusia untuk keperluan kemajuan negara.
Memberi peluang pendidikan kepada semua warganegara Malaysia.
Objektif Sekolah
Kami warga SK Matang Gerdu akan berusaha dengan sedaya upaya mengamalkaan SKIP untuk;
1.Memastikan sekolah berkualiti dapat melahirkan generasi yang boleh menyediakan bekalan sumber manusia dan pemimpin pada masa hadapan.
2.Meningkatkan kemenjadian murid dalam semua bidang dengan berlandaskan falsafah pendidikan kebangsaan.
3.Mewujudkan perpaduan dalam kalangan warga sekolah dengan semangat patriotime yang tinggi.
4.Memupuk nilai-nilai murni yang menjadi tonggak kepada ketrampilan sahsiah unggul.
PIAGAM PELANGGAN
Bahawa kami warga pendidik SK Matang Gerdu dengan penuh tekad dan iltizam berikhrar dan berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada:
MURID-MURID
1.Memastikan semua murid menerima pengajaran dan pembelajaran mengikut masa yang ditetapkan dengan berkualiti.
2.Semua murid akan dilayan dengan adil tanpa mengira kaum dan agama.
3.Bantuan yang disalurkan oleh kerajaan akan diberikan kepada murid yang layak.
4.Memberi pelung kepada murid menyertai semua program sekolah di peringkat zon, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa mengikut potensi dan yang layak.
5.Memastikan keselamatan murid menjadi aspek penting di sekolah dan aktiviti luar yang diadakan.
STAF
1.Staf bekerja dalam suasana yang kondusif dengan perasaan gembira dan saling hormat-menghormati sesama warga berlandaskan nilai-nilai agama.
2.Menerima latihan dalaman untuk peningkatan kendiri mengikut surat pekeliling LADAP.
3.Rekod perkhidmatan dikemaskini dalam masa 3 hari setelah menerima maklumat perubahan.
4.Mendapatkan maklumat dan pekeliling perkhidmatan yang dikeluarkan oleh “Stake Holder”.
5.Meningkatkan kesedaran bahawa “kerja kita adalah ibadah kita”.
IBU BAPA/PENJAGA & KOMUNITI
1.Akan dilayan sama adil tanpa mengikut status, bangsa dan agama.
2.Setiap aduan akan disiasat dan diberi maklum balas tidak lebih daripada 3 hari bekerja.
3.Setiap cadangan atau usul yang baik serta munasabah akan dipertimbangkan oleh pihak sekolah.
4.Permohonan untuk anak bertukar sekolah akan diselesaikan dalam tempoh sehari bekerja di peringkat sekolah.
5.Berusaha bersama-sama mempertingkatkan kerjasama untuk kecemerlangan sekolah dan kemenjadian murid.
Moto Sekolah
“ Sekolahku Maruahku ”
Slogan Sekolah
“ Cakna Tranformasi Memacu Kecemerlangan”