Felda Bukit Goh telah dibangunkan pada Disember 1966 mempunyai keluasan 7,638.68 hektar dan telah didiami secara berperingkat. Kemasukan terawal kumpulan peneroka adalah seramai 671 keluarga mulai 1 Mac 1970 dan sehingga kini Felda Bukit Goh telah melalui fasa pembangunan yang jauh lebih pesat. Keadaan ini ditambahbaik lagi dengan kewujudan penempatan baharu untuk Generasi kedua Felda iaitu Taman Bukit Goh Perdana.
Seiring dengan kemasukan kelompok pertama peneroka, maka keperluan untuk mewujudkan sebuah sekolah amatlah tinggi. Maka pada tahun 1970, Sekolah Kebangsaan (LKTP) Bukit Goh telah siap dibina dan telah beroperasi sepenuhnya untuk sesi persekolahan mulai 11 Jun 1971. Sekolah ini mempunyai kawasan seluas 7,638.68 hektar terletak kira-kira 25 kilometer dari bandar Kuantan iaitu Pusat Pentadbiran bagi Negeri Pahang Darul Makmur.
Sekolah ini dapat menampung keperluan pembelajaran bagi anak-anak peneroka dan penduduk di sekitarnya. Pada awalnya sekolah ini hanya mempunyai sebuah bangunan dua tingkat sepanjang 70 meter, mempunyai sembilan buah bilik darjah, sebuah pejabat, sebuah pentas, stor dan tandas.
Kewujudan sekolah ini telah melahirkan ramai cerdik pandai dari kalangan warga Felda. Semoga sekolah ini mampu bersaing secara sihat dengan sekolah-sekolah yang berada disekitarnya sama ada dari segi akademik & kokurikulum. Kini sekolah ini telah mempunyai beberapa bangunan tambahan lain seperti sebuah Dewan Seri Perdana yang tersergam indah, sebuah bangunan 3 tingkat dan sebuah makmal komputer untuk memenuhi keperluan permintaan murid yang semakin hari semakin bertambah sehingga mencecah 900 orang murid.
Sekolah ini telah dirasmikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu iaitu Datuk Hussein bin Onn pada tanggal 20 Ogos 1971. Perkembangan murid yang begitu pesat telah menaikkan gred sekolah daripada gred C ke gred A sehingga kini.