MATLAMAT PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan bertujuan memperkembangkan potensi murid berumur empat hingga enam tahun secara menyeluruh dan bersepadu dalam aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial melalui persekitaran pembelajaran yang selamat dan menyuburkan serta aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan, kreatif dan bermakna. Ini adalah untuk meningkatkan kemahiran, menanam keyakinan dan membentuk konsep kendiri yang positif pada diri murid agar mereka bersedia untuk menghadapi cabaran dan mengikuti pembelajaran seterusnya.


OBJEKTIF

Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan menyediakan peluang kepada murid untuk mencapai objektif seperti yang berikut:

1.Menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan.

2.Mengamalkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.

3.Mengamalkan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia.

4.Menghargai dan peka terhadap budaya masyarakat Malaysia.

5.Menyayangi dan menghargai alam sekitar.

6.Memperkembangkan konsep kendiri yang positif dan keyakinan diri.

7.Mempraktikkan amalan kesihatan, membina kecergasan badan dan menjaga keselamatan diri.

8.Mengembangkan daya kreatif dan estetika.

9.Mengaplikasikan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif serta kemahiran menyelesaikan masalah dalam pembelajaran dan kehidupan seharian.