Sejarah Sekolah Kebangsaan Taman Scientex bermula pada tanggal 1 Jun 2016 iaitu tarikh keramat sekolah ini beroperasi secara rasminya. Sekolah Kebangsaan Taman Scientex menjadi nama sekolah kerana lokasinya yang terletak dalam kawasan perumahan Taman Scientex, Pasir Gudang, Johor.
Pada tahun pertama pengoperasian, sekolah ini hanya menempatkan murid dari Tahun 1 hingga Tahun 5. Seramai 1,362 orang murid dari SK Kopok telah berpindah ke sekolah ini bersama dengan kekuatan 83 orang guru dan juga 2 orang AKP yang bersedia menggalas amanah untuk merealisasikan pembukaan sekolah ini.
Pembinaan sekolah ini adalah untuk menyediakan kemudahan kepada penduduk sekitar Taman Scientex dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak. Sebanyak 4 buah blok bangunan bercantum dan sebuah bangunan prasekolah telah dibina. Kemudahan lain seperti padang, kantin dan surau turut disediakan. Bagi menampung kepadatan bilangan murid dan memberikan keselesaan terhadap pembelajaran, sekolah ini telah dijalankan secara 2 sesi termasuk kelas prasekolah sejak awal pengoperasiannya lagi.
Menjelang tahun 2023, bilangan kelas aliran perdana meningkat kepada 70 buah kelas, manakala Kelas Prasekolah dibuka sebanyak 4 kelas. Jumlah murid pula meningkat kepada 2,658 orang seiring dengan kepesatan pembangunan kawasan taman perumahan di Taman Scientex ini. Jumlah guru juga turut bertambah iaitu seramai 140 orang ditambah dengan 8 orang AKP yang sentiasa membantu melicinkan pengurusan sebuah sekolah. Berikutan peningkatan enrolmen ini, bangunan tambahan 4 tingkat telah mula dibina pada awal tahun 2022 dan dijangka siap pada awal tahun 2024.
SK Taman Scientex mula diterajui oleh Allahyarhamah Puan Ramlah Binti Othman sebagai Guru Besar pertama iaitu dari Jun 2016 hingga September 2017. Selepas itu, Encik Md Bakir bin Md Amin mengambil alih tugas sebagai guru besar pada Oktober 2017 dan menamatkan perkhidmatan beliau dengan bersara wajib pada Februari 2021. Seterusnya, tampuk kepimpinan sekolah digalas oleh Encik Mohd Jaafar bin Abd Rahim pada tahun 2021 sehingga kini.
Sepanjang penubuhan sekolah ini pelbagai kejayaan telah diraih. Identiti SK Taman Scientex terus menyerlah dan berupaya mengangkat potensi kemenjadian murid ke tahap yang tertinggi, terutamanya dalam bidang kokurikulum. Ini dibuktikan dengan wujudnya kebitaraan dalam bidang sukan dan ko-akademik. Sukan Bola Baling misalnya, telah menjadi watak unggul sekolah ini apabila mencapai pelbagai kejuaraan pada peringkat negeri mahupun kebangsaan. Kebitaraan dalam Ko-akademik juga tidak ketinggalan. Pasukan Zapin Alun Daksina merupakan contoh terbaik kerana sekolah ini memiliki kepakaran tenaga pelatih, kelengkapan, serta pelapis yang sentiasa mengharumkan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan dan majlis keraian.
Kebitaraan sebeginilah yang menjadikan SK Taman Scientex terus muncul sebagai pesaing terhebat serta pemacu kecemerlangan murid dalam pelbagai bidang dan peringkat. Semoga kegemilangan ini dapat terus dikekalkan dan ditambah baik pada masa akan datang selari dengan slogan sekolah yang sering dilaungkan iaitu “STaSc Memacu Kecemerlangan”.
SEKOLAH KEBANGSAAN TAMAN SCIENTEX,
DEMI SATU WAWASAN,
MELESTARIKAN ILMU UNTUK GEMILANG,
MENUJU MATLAMAT BANGSA BERJAYA,
BERILMU, BERAKHLAK, BERMATLAMAT,
DENGAN AZAM DAN TEKAD JUANG,
SEKATA SEHATI DAN SEJIWA,
MENJUNJUNG CITA MULIA,
C/O INSPIRASI, ASPIRASI,
BERDIRI, GAGAH,
PASTIKAN BERJAYA,
MENGHARUMKAN NAMA,
TANPA GENTAR,
BERSEMANGAT WAJA,
MENJADI INSAN YANG MULIA,
BERBAKTI KEPADA NEGARA.