INFO
Pelantar DELIMa merupakan pelantar pembelajaran pertama di dunia yang merangkumkan semua teknologi terkini melalui pelan pembangunan seni binanya yang unik. Penyesuaian dan integrasi dibangunkan oleh KPM dilaksanakan dengan sokongan daripada Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU).
Pelantar DELIMa menggunakan rangkaian perkhidmatan yang disediakan oleh Google Workspace for Education termasuklah Bilik Darjah Google atau Google Classroom (GC) sebagai aplikasi utama.
Perkhidmatan yang disediakan dalam DELIMa diperluas apabila Microsoft Malaysia menyertai pelantar ini mulai 1 Januari 2020 dengan menyediakan aplikasi dan perkhidmatan Microsoft. Mulai Mac 2022, Apple Malaysia pula menjadi rakan kongsi dengan menawarkan kandungan digital.
Melalui kerjasama ini, KPM telah berjaya menggabungkan tiga syarikat gergasi teknologi dunia ini untuk sama-sama meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia.
Selain daripada kandungan digital untuk PdP seperti buku teks digital, video dan webinar, DELIMa turut menyediakan ruang kepada rakan perkongsian pintar yang berminat.
Petrosains dan Shell merupakan antara rakan kongsi yang menyediakan pelbagai sumber dan aktiviti kepada guru dan murid. Selain itu, United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF) juga telah membangunkan aktiviti seperti Kemahiran Masa Depan dan Pendidikan Kewarganegaraan Global.