Bahasa Melayu adalah sebahagian daripada keluarga Nusantara yang terletak di bawah Austronesia dari segi asal usulnya di Tanah Melayu. Semua orang tahu bahawa Austronesia terbahagi kepada beberapa keluarga: Nusantara, Melanesia, Mikronesia dan Polinesia.Di samping itu, anggaran menunjukkan bahawa dalam keluarga Nusantara terdapat antara 200 dan 300 bahasa. Bahasa Melayu, yang tergolong dalam kumpulan Sumatera, sudah wujud sejak zaman kerajaan Melayu Kuno di Sriwijaya. 

Pada mulanya, bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa lisan dalam kalangan masyarakat Tanah Melayu, Sumatera, dan Kepulauan Borneo. Dengan berkembangnya hubungan perdagangan dan penyebaran agama Hindu-Buddha pada zaman Srivijaya (abad ke-7 hingga ke-13), bahasa Melayu mulai berkembang sebagai bahasa lingua franca atau bahasa perantaraan di Asia Tenggara. Prasasti-prasasti seperti Prasasti Kedukan Bukit di Sumatera Selatan yang ditulis pada abad ke-7 menunjukkan penggunaan bahasa Melayu Kuno, dalam aksara Pallava dari India Selatan.

Perkembangan bahasa Melayu seterusnya dipengaruhi oleh kedatangan Islam pada abad ke-13. Dengan pengaruh Islam, bahasa Melayu menjadi bahasa utama dalam penyebaran agama Islam dan penulisan karya-karya keagamaan. Pada era ini, bahasa Melayu Klasik muncul, yang diabadikan dalam teks-teks seperti Hikayat Hang Tuah dan karya-karya lain yang ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi digunakan dalam sistem penulisan secara meluas dalam kalangan masyarakat Melayu.

Zaman penjajahan, terutamanya oleh Belanda dan British, membawa perubahan yang signifikan kepada bahasa Melayu. Pengaruh Barat memperkenalkan istilah-istilah baharu dan menyebabkan bahasa Melayu disesuaikan dengan keperluan pentadbiran dan pendidikan. Selepas kemerdekaan negara-negara di Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Brunei, dan Indonesia, bahasa Melayu terus berkembang sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan, dengan beberapa perbezaan di setiap negara. 

Pada masa kini, bahasa Melayu terus berkembang seiring dengan perkembangan teknologi dan media sosial. Perkembangan ini melibatkan kemasukan istilah-istilah baharu dari bahasa asing serta variasi dalam penggunaan bahasa yang lebih santai, terutamanya dalam platform digital. Walaupun bahasa Melayu menghadapi cabaran dalam era globalisasi, usaha gigih masih dijalankan untuk memperkasakan bahasa ini sebagai lambang identiti dan warisan bangsa.