UJIAN SEGAK

PELAKSANAAN UJIAN STANDARD KECERGASAN FIZIKAL KEBANGSAAN (SEGAK)

Apakah Ujian SEGAK?

Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK) adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan.

Komponen kecergasan dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan sekolah menengah.

Menurut Corbin dan Lindsey (2006), kecergasan adalah keupayaan sistem badan bekerja dengan efisien bagi membolehkan seseorang itu sihat dan dapat melaksanakan aktiviti dalam kehidupan seharian.

Komponen Kecergasan berdasarkan kesihatan terdiri daripada daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, fleksibiliti, dan komposisi badan.

Tahap kecergasan berdasarkan kesihatan yang tinggi memberi
faedah kepada seseorang itu memiliki kesihatan yang baik, bertenaga, dan mempunyai keupayaan untuk melakukan aktiviti harian dengan berkesan.


Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 1986 hingga kini menunjukkan kadar peningkatan peratus rakyat Malaysia mengidap penyakit kronik, penyakit tidak berjangkit, dan obesiti adalah amat membimbangkan.

Masyarakat Malaysia perlu mengubah cara hidup sedentari kepada cara hidup aktif dan sihat dengan memberi fokus kepada
meningkatkan tahap kecergasan fizikal.

Kecergasan fizikal yang optimum boleh membantu seseorang itu melaksanakan aktiviti harian dengan aktif tanpa berasa letih.

Selaras dengan itu, satu aktiviti kecergasan yang terancang di sekolah perlu dilaksanakan dengan sempurna mengikut prosedur dan norma yang ditetapkan.

Pada tahun 2008 SEGAK mula dilaksanakan kepada murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun hingga 17 tahun.

SEGAK dilaksanakan secara pentaksiran sekolah dan skor murid direkodkan.

Pelaporan SEGAK memberi maklum balas kepada murid, guru, pentadbir sekolah, ibu bapa, dan pihak berkepentingan tentang tahap kecergasan fizikal murid.

Melalui maklum balas tersebut tindakan susulan dapat dirancang dan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kecergasan fizikal seseorang murid.

SEGAK yang dijalankan secara sistematik wajib dijalankan dua kali
setahun diharap dapat memotivasikan murid untuk mengamalkan cara hidup aktif dan sihat selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Melalui SEGAK murid dilatih supaya lebih bertanggungjawab dalam membina masyarakat yang sihat, cergas, bersatu padu, dan harmoni ke arah mencapai kesejahteraan negara.

Pelaksanaan Ujian SEGAK

Semua murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5 yang berumur 10 tahun
hingga 17 tahun WAJIB menjalani Ujian Kecergasan Fizikal yang
dicadangkan dalam panduan ini.


5 Komponen Yang Dilaksanakan

SEGAK adalah satu bateri ujian standard kecergasan fizikal bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid berdasarkan kesihatan.


Komponen kecergasan fizikal yang diukur dalam SEGAK terkandung dalam kurikulum Pendidikan Jasmani sekolah rendah dan menengah.

Bateri ujian SEGAK juga mempunyai norma berdasarkan murid sekolah di Malaysia mengikut umur dan jantina.

Berikut adalah 5 komponen yang akan direkodkan dalam ujian ini:

1. Ukur Tinggi & Berat – BMI

2. Naik Turun Bangku – Daya Tahan Sistem Kardiovaskular

3. Tekan Tubi / Tekan Tubi Suaian – Daya Tahan Otot dan Kekuatan Otot Tangan

4. Bangkit Ringkuk Separa – Daya Tahan Otot dan Kekuatan Otot Abdomen

5. Jangkau Melunjur – Kelenturan / Fleksibiliti Tubuh


Tarikh Ujian SEGAK KPM 2023 / Lampiran / Surat Edaran KPM (2023)

1. Ujian SEGAK Pertama dijalankan bermula 8 Mei 2023 sehingga 28 Jun 2023.

2. Manakala Ujian Kedua dijalankan bermula 2 Oktober 2023 hingga 30 November 2023.

3. Kemaskini data iaitu dengan kunci masuk data dan pengesahan data mestilah mengikut tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

4. Pihak sekolah perlu melaksanakan Ujian ini dengan mematuhi prosedur Buku Panduan SEGAK 2016 dan Buku Panduan BMI 5-9T 2022.