Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kerteh mula dibuka pada 1 Januari 2003 terletak di Jalan Chabang, Kampung Baru Kerteh. Murid-murid perintis seramai 399 orang adalah terdiri daripada murid-murid dari SK Kerteh yang tinggal di sekitar Kampung Baru manakala guru-guru seramai 11 orang yang direkrut juga adalah dari SK Kerteh dan juga sekolah-sekolah yang berhampiran sepertimana yang diarahkan oleh PPD.
Di peringkat awal, murid-murid perintis ini menumpang belajar di SK Kerteh pada sesi petang selama dua bulan dan berakhir pada 08 Mac 2003 sementara menunggu bangunan sekolah disiapkan sepenuhnya. Kelas yang dibuka pada waktu itu adalah sebanyak 10 kelas iaitu tiga kelas Tahun 1, dua kelas Tahun 2, dua kelas Tahun 3, dua kelas Tahun 4,dan dua kelas Tahun 5.
Semasa menumpang SK Kerteh, warga perintis SKKBKth ini giat menyumbangkan idea, masa dan tenaga untuk menghasilkan lencana ,motto sekolah dan nama kelas dengan diketuai oleh Guru Besar, Tuan Hj Amran b Salleh dan dibantu oleh guru-guru Penolong Kanan iaitu Encik Zai Abdul Rahman (GPK1), Pn Norizan Abdul Rahman (GPK2) dan Pn Shrifah Asiah bt Syed Othman (GPK Ko).
Bermula 9 Mac 2003, murid-murid perintis ini mula belajar di SK Kampung Baru Kerteh setelah mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan yang dahulunya diberi blok A, Blok B, Blok C dan Blok D, kini kesemua blok tersebut telah diberi nama baru iaitu:
BLOK ARIF – Bangunan 2 tingkat yang menempatkan Bilik Guru Besar, Bilik Penolong Kanan 1, Ruang Pejabat, Bilik Radio / P.A System, Bilik Mesyuarat dan Bilik S/U Peperiksaan di aras satu manakala Bilik Kaunseling, Bilik Galeri, Bilik Unit disiplin dan Bilik Rawatan di aras bawah.
BLOK BESTARI – Bangunan 4 tingkat yang menempatkan Dewan Bestari, stor sukan dan Gimnasium di aras bawah, Kelas Pemulihan, Bilik Komputer dan Bilik Tayang di aras satu, Bilik BBM, Bilik Guru dan Dewan Seri Kembangan di aras 2 manakala Bilik SAL, Pusat Sumber Sekolah dan bilik operasi Guru Media di aras tiga.
BLOK CERIA – Bangunan 4 tingkat yang menempatkan 14 buah bilik darjah di aras 2, 3 dan 4. Manakala Bilik Gerakan J-Qaf, Bilik LiNus (BI) dan Bilik PBS di aras 3, Bilik Gerakan LiNus dan Bilik Muzik di aras 1, Bilik Pendidikan Seni, Makmal Sains dan Makamal KH di aras bawah.
BLOK DAMAI - Bangunan 3 tingkat yang menempatkan Bilik Santapan, Kedai sekolah, Bilik Darjah Pra Sekolah di aras bawah , Bilik BOSS dan 9 buah bilik darjah did aras 1 dan 2.
Setelah 10 tahun beroperasi, pelbagai penambaikan telah dilakukan untuk keceriaan dan keselamatan sekolah. Bahkan beberapa kejayaan turut digapai oleh sekolah ini dalam bidang akademik mahupun ko-kurikulum. Antaranya ialah Anugerah Pengurusan Ko-kurikulum Terbaik Daerah, Naib Johan Tarian Negeri, Johan Kawad Kaki Daerah Kemaman, dan Johan Berpasukan Taekwondo Negeri.
Antara pencapaian yang membanggakan sekolah adalah Johan Pertandingan “Action Song” pada tahun 2012 peringkat PKG Kemasik, peringkat Daerah Kemaman, peringkat Negeri Terengganu dan tempat kelima peringkat Kebangsaaan. Penyertaan peringkat Kebangsaan dalam Perkhemahan Unit Beruniform TKRS di Santubong, Sarawak, Taekwondo Perempuan Kebangsaan.
BENTUK BULAT
Melambangkan bentuk dunia, bermaksud SK Kampung Baru Kerteh, memberikan pendidikan yang bertaraf dunia, dilengkapi dengan guru-guru yang berfikiran global serta berkemahiran kelas pertama. Orang yang berilmu dapat menawan dunia. Merujuk kepada pepatah Melayu, ‘Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat’ yang membawa maksud sikap bermuafakat menjadi amalan warga SK Kampung Baru Kerteh dalam menjalankan tanggungjawab dan amalan.
WARNA
Biru
Menggambarkan perpaduan , kerjasama, setiakawan, harmoni dan berilmu pengetahuan.
Merah
Menggambarkan kecekalan, ketabahan, keberanian, berusaha, kreatif dan berinovasi dan tidak takut gagal dalam mencuba.
Kuning
Kesetiaan, kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang oleh warga sekolah.
RASIONAL LAMBANG
Tangan
Keadaan satu tangan yang besar dan satu tangan yang kecil menggambarkan penitisan ilmu, yakni guru membimbing murid-murid dengan penuh kasih sayang, saling membantu dan sentiasa membantu. Ia juga melambangkan persaudaraan dan persahabatan.
Menara Komunikasi
Melambangkan pendidikan mengikut zaman, iaitu pendidikan bertaraf dunia dalam era teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih dan pantas berkembang. Penggunaan komputer dan internet menggambarkan sikap dan pemikiran kelas pertama dalam kalangan guru dan murid selari dengan kemudahan kelas pertama yang terdapat di sekolah.
Ijazah/ Topi Graduasi
Melambangkan hala tuju dan matlamat guru dan murid adalah ke arah kejayaan pendidikan dan akademik.
Padi
Segemal padi melambangkan ikatan yang kukuh, menjadikan warga SK Kampung Baru Kerteh kuat dan tidak dapat dikalahkan. Resmi padi semakin tunduk menjadi pegangan warga sekolah. Semakin berilmu semakin berbudi, tidak sombong dan meninggi diri. Nama kelas juga diambil daripada perkataan PADI iaitu Prihatin, Amanah, Dedikasi dan Ikhlas.
RASIONAL
Potongan serong yang menghasilkan dua bentuk segitiga yang berwarna biru di atas dan berwarna merah di bawah menggambarkan dasar atau dukungan yang kukuh untuk menyokong teras atau murid iaitu jalur menyerong di tengah yang berwarna kuning.
Tulisan ‘BERADAB DAN BIJAKSANA’ pula menggambarkan seluruh warga dan murid mempunyai peranan masing-masing iaitu:-
Murid
Peranan murid ke sekolah adalah untuk menunaikan tanggungjawab sebagai murid iaitu menimba ilmu agar menjadi insan yang berketrampilan dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.
Guru
Peranan guru ke seolah adalah untuk melaksanakan tugas sebagai pendidik iaitu mendidik anak bangsa menjadi insan berguna kepada agama bangsa dan negara serta bertindak sebagai ejen perubahan ke arah kegemilangan negara.
Beradab dan bijaksana
Amalan warga sekolah kita
Murid-murid berhemah tinggi
Guru-guru mulia peribadi
Menjadi bangsa terbilang
Cemerlang dan juga gemilang
Belajar dengan penuh ceria
SK Kampung Baru Kerteh
berjaya
Minding manner and be wise everyday
Finest teachers to walk us all the way
If we fail we can try and try again
For bigger heart our poise, mind and brain
We are as the pride of our nation
Making history for the generation
Learn together with joy and have fun
SK Kampung Baru Kerteh number one.
Lagu : Paradiba Jamaluddin
Lirik : Paradiba / Nolidah
Untuk merealisasikan VISI, kami akan memastikan MISI berikut dilaksanakan dengan jayanya:-
Berusaha meningkatkan kecemerlangan akademik melalui aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran yang berkesan.
Berusaha meningkatkan kecemerlangan ko kurikulum melalui pendekatan inovatif, kreatif dan berterusan.
Berusaha meningkatkan kecemerlangan jasmani, emosi, rohani, intelek dan social murid melalui program Bina Insan yang efisien dan efektif sesuai dengan motto sekolah “BERADAB DAN BIJAKSANA”.
Berusaha mewujudkan suasana sekolah yang selamat, ceria dan bersih dengan meningkat kerjasama warga sekolah, PIBG dan masyarakat sekitar.
Berusaha meningkatkan kelicinan dan keberkesanan pengurusan dan pentadbiran melalui latihan dan system urus yang cekap.
VISI SEKOLAH
Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera.
MISI SEKOLAH
Melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara.
HASRAT SEKOLAH
Adalah untuk menjadikan setiap murid dirinya yang terbaik.