Segala puji hanya milik Allah Maha Karya, selawat dan salam kasih sayang penuh kerinduan khas buat kekasih junjungan Nabi Muhammad SAW dan seterusnya ahli keluarganya serta para sahabat dan para tabiin seluruhnya. Alhamdulillah, bersyukur kehadratNya, Jawatankuasa Manual Pengurusan Sekolah Agama Menengah Paya Jaras telah dapat merancang dan menyusun Manual Pengurusan Sekolah bagi sesi 2024/2025 dengan jayanya.
Manual Pengurusan ini adalah satu dokumen yang sangat penting kepada sekolah sebagai rujukan untuk melaksanakan semua aktiviti yang dirancang . Dokumen ini juga menjadi landasan kepada semua warga kerja SAMPJ segala program yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini. Perancangan yang teliti dan relevan akan menjana kejayaan dan kecemerlangan sesebuah sekolah. Matlamat dan objektif akan dapat dicapai hasil daripada perancangan yang bijak dan teratur.
Kerjasama dan komitmen daripada warga sekolah, PIBG, komuniti dan rakan strategik dapat merealisasikan impian SAM Paya Jaras. Kementerian Pendidikan (KPM) terus mengorak langkah memenatapkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menghampiri tahun 2025, dalam usaha menyediakan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa. KPM telah mengupayakan fungsi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan daerah (PPD), dan sekolah untuk menyediakan pelbagai kemahiran guru yang kompeten dan kemenjadian murid yang memiliki sahsiah unggul terpuji meminjam ungkapan mantan KPPM Anak Baik lagi Cerdik (ABC).
Kita sebagai warga pendidik perlu sentiasa memperlengkap diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi mendepani segala cabaran mendatang.Dalam hal ini , warga SAMPJ perlu bekerja sebagai satu pasukan bermula dari peringkat panitia masing-masing sehinggalah ke peringkat yang lebih tinggi. Ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh individu seharusnya dikongsi dan dimanfaatkan semaksimun mungkin untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Secara tidak langsung , hal ini akan dapat membentuk warga SAMPJ yang berketerampilan , profesional , berkualiti dan beretika.
Marilah kita tuluskan niat dan tekad kita untuk mencatat sejarah kegemilangan kita sendiri. Sikap jujur , amanah , bersungguh-sungguh , komited dengan tugas serta pupukan semangat bekerja sebagai satu pasukan dan bergerak kerana Allah adalah ciri-ciri budaya kerja yang bukan sahaja mendapat ganjaran di dunia lebih-lebih lagi di akhirat malah akan menjulang organisasi kemercu kecemerlangan yang diharapkan. Rasa kesepunyaan , keghuyuban dan kebersamaan dalam pelaksanaan setiap program harus tersemat di hati setiap warga sekolah. Yakinlah kajayaan dalam membentuk kemenjadian murid bakal terserlah dengan semangat yang tak pernah kenal erti lelah.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada jawatankuasa yang terlibat dalam menghasilkan Manual Pengurusan Sekolah ini. Marilah kita memohon petunjuk daripada Allah SWT, mudah-mudahan segala usaha murni yang kita lakukan ini diberkati serta mendapat kejayaan dan keredaan-Nya jua. Semoga tahun 2024 akan lebih cemerlang dalam pelbagai bidang kemenjadian sahsiah anak-anak SAMPJ.