VISIT KELANTAN
VISIT KELANTAN
Memasuki lorong yang diceriakan dengan Street Art yang terletak di Jalan Dato Pati, Bandar Kota Bharu, anda bakal ‘dikejutkan’ dengan betapa kreatifnya mural yang dihasilkan di sini.
Antara tema yang dapat diselami apabila memandang hasil lukisan ini adalah ‘impian’ dan ‘kebahagiaan’. Antara lukisan yang menggambarkan perasaan ini adalah mural belon berwarna-warni yang berterbangan bebas di awan tinggi, motif bunga dan banyak lagi.
Tak ubah seperti keindahan lanskap di Kepulauan Nami, Korea seperti yang dipaparkan dalam filem terkenal Winter Sonata di mana pokok-pokok tumbuh dengan tinggi dan tersusun, Pantai Senok yang terletak di Kelantan ini diberi gelaran sebagai Pantai Nami Bachok.
Pantai indah ini menawarkan pemandangan unik yang dapat membuatkan anda berasa seolah-olah berada di dalam dunia lain. Pokok-pokok ru yang tersusun indah, ditemani pula dengan angin yang sentiasa bertiupan dari kawasan pantai, ketenteraman yang dapat dinikmati di sini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Tak rugi sekiranya anda meluangkan masa untuk melawat Pantai Nami Bacho atau Pantai Senok semasa bercuti di Kota Bharu nanti.
Salah satu perkara yang menyeronokkan sewaktu bercuti adalah apabila dapat melihat keindahan seni bina destinasi yang dilawati, terutama sekali bangunan yang dihasilkan dengan penuh ketelitian. Kalau di Kelantan, salah satu bangunan yang terindah untuk disaksikan di depan mata adalah Masjid Ar-Rahman yang terletak di Pulau Gajah.
Masjid yang didirikan di atas tanah wakaf ini adalah sebuah masjid yang dibina dengan menggunakan bahan yang kukuh seperti kayu jati dan cengal dengan gabungan seni bina nusantara Indonesia, Turki, Yemen dan Melayu Kelantan sendiri.
Tiada yang lebih menyeronokkan daripada bershopping dalam harga murah yang bukan kepalang! Di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, anda boleh menemui bermacam barangan seperti pinggan mangkuk, pakaian sukan, aksesori, tudung, toto, kasut, permainan kanak-kanak dan sebagainya.
Disebabkan jualan murah dan barangan yang tak terkira banyaknya ini, Rantau Panjang menjadi antara destinasi yang paling sibuk di Kelantan dengan waktu kemuncak antara 11 pagi ke 4 petang.
Dah puas bershopping, bolehlah singgah ke mana-mana kedai makan yang berselerak di sekitar. Dari masakan tempatan hinggalah Thailand, anda pasti tak akan kecewa.