KATA ALU-ALUAN
PENGARAH PENDIDIKAN
JABATAN PENDIDIKAN NEGERI SELANGOR
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Saya ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selaku penganjur kerana melantik Jabatan Pendidikan Negeri Selangor sebagai pengelola Kejohanan Ragbi, Golf, Bola Baling, Bola Keranjang, Kriket dan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dengan mengaplikasikan kaedah secara karnival bagi tahun 2024 ini. Jabatan Pendidikan Negeri Selangor diamanahkan untuk mengelolakan sebanyak 6 jenis sukan daripada 24 jenis sukan yang dipertandingkan.
Sesungguhnya, sukan merupakan wadah yang boleh menjana integrasi dan perpaduan kaum dalam sebuah masyarakat majmuk di Malaysia. Kejohanan ini bertepatan dengan usaha memastikan pembinaan karakter dan kemenjadian murid demi mencapai objektif untuk memupuk semangat juang yang tinggi, kerohanian, meningkatkan disiplin kendiri dan pasukan, menekankan sikap kerjasama dan tolak ansur dalam menjayakan aktiviti bersama, menjadi penggerak untuk mengeratkan persefahaman dan integrasi pelbagai kaum. Perkembangan ini mampu menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara yang terus maju dalam bidang sukan.
Majlis Sukan Sekolah Malaysia sewajarnya meneruskan usaha gigih tanpa jemu dalam mengenal pasti bakat-bakat muda menerusi Dasar 1Murid 1Sukan. Menerusi inisiatif ini, mereka mendapat bimbingan dan asuhan yang terbaik bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi dan bertaraf dunia yang bakal melakarkan pencapaian dan kejayaan gemilang di persada antarabangsa.
Kemahiran guru-guru sebagai penggerak sukan juga turut dapat dikembangkan agar menjadi pemudah cara dan memberikan bimbingan yang positif terhadap kemajuan sukan di peringkat akar umbi negara.
Akhir kata, saya mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengelola Kejohanan Ragbi, Golf, Bola Baling, Bola Keranjang, Kriket dan Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Malaysia Tahun 2024 di semua peringkat atas komitmen dan sumbangan menjayakan kejohanan ini.
Sekian terima kasih.
“JPN SELANGOR SENTIASA BERKUALITI DAN TERUS UNGGUL”
DR. JAFRI BIN ABU
Pengarah Pendidikan
Jabatan Pendidikan Negeri Selangor