Pusat sumber sekolah (PSS) merupakan penjana pembentukan masyarakat yang berilmu pengetahuan, gemar membaca dan berkemahiran maklumat sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta pendidikan abad ke-21. Peralihan paradigma pembelajaran alaf baharu ini memberikan impak yang positif kepada kreativiti dan fleksibiliti pusat sumber sekolah ke arah abad ke-21.
Pusat sumber sekolah (PSS) merupakan pusat mengakses maklumat yang mengandungi pelbagai sumber cetak dan bukan cetak, elektronik dan digital yang diurus secara sistematik bagi menyokong kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Dasar pengurusan PSS diwujudkan ialah untuk memastikan PSS mempunyai koleksi yang menepati piawaian, terkini, diurus dengan cekap dan berkesan serta digunakan secara optimum. Pengurusan PSS merangkumi elemen perolehan dan pemprosesan bahan, perkhidmatan, pengesanan dan pendokumentasian sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini.
Merancang dan mengurus perolehan bagi membina koleksi yang komprehensif, seimbang dan kemas kini selaras dengan keperluan kurikulum dan memenuhi keperluan warga sekolah.
Menyediakan kemudahan dan perkhidmatan akses maklumat bagi kegunaan individu atau kumpulan.
Menjalin perkongsian pintar dan rangkaian strategik dengan pelbagai agensi untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan.
Memberi panduan dan kemahiran kepada warga sekolah berkaitan proses carian, penghasilan, dan penggunaan maklumat.
Menyediakan kemudahan, peralatan, dan bahan supaya sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi.