Topik Kaedah Penyelidikan Sejarah merupakan salah satu bab yang terdapat dalam tajuk mari belajar sejarah tahun 4.Pada akhir pembelajaran murid boleh menjelaskan kaedah penyelidikan sejarah. Secara amnya, murid tidak dapat menguasai dan memahami topik ini dengan baik kerana sukar untuk menghubungkait dengan keperluan dan realiti sebenar di lapangan. Kekangan akses mendapatkan maklumat diluar dan sumber lain menjadi faktor penarik untuk murid kurang memahami bab ini.Ini disebabkan latar belakang murid yang datang dari kawasan luar bandar dan pedalaman. Kajian tindakan ini dilakukan untuk membantu murid meningkatkan dan seterusnya memberi nilai tambah penguasaan topik Kaedah Penyelidikan Sejarah. Dengan menggunakan kaedah kajian tindakan, guru menjalankan ujian pra,ujian pasca dan pemerhatian ke atas 14 orang murid Tahun Empat untuk menguji keberkesanan penggunaan video pendek bagi membantu murid meningkatkan penguasaan dan memberi nilai tambah untuk topik Kaedah Penyelidikan Sejarah. Kajian ini mendapati penglibatan murid menghasilkan video pendek melalui pendekatan Pembelajaran Abad ke-21 (Fun Learning) dilihat dapat membantu menguasai topik dengan lebih baik disamping mewujudkan elemen kecindan serta penerapan hubung jalin mata pelajaran Rekabentuk dan Teknologi. Kajian seperti ini dilihat dapat membantu guru dalam mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat interaktif dan mengubah iklim bilik darjah daripada suasana yang membosankan kepada suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan.