JOM MANFAATKAN SUMBER YANG ADA!
JOM MANFAATKAN SUMBER YANG ADA!
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Bismillahhir rahmanir Rahim
Kalimah Al-Quran yang pertama menekankan kepentingan membaca, “Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (Al-Alaq, 96:3-4). Membaca ialah kaedah terpantas untuk memperolehi ilmu dan mendapatkan fakta. Membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara membaca menjelang 2030. Pusat Sumber Sekolah seharusnya dapat menjadi medium utama dalam membantu KPM bagi mencapai tujuan tersebut di peringkat sekolah. Maka kemudahan yang disediakan juga haruslah dapat memenuhi aspirasi tersebut.
Dalam era teknologi maklumat dan komunikasi, fungsi dan peranan perpustakaan telah mengalami perubahan dengan cepat. Era pandemik yang serba mencabar ini pula telah menjadi pemangkin kepada perubahan besar-besaran fungsi dan peranannya. Perkhidmatan atau sumber maklumat yang biasa diberikan oleh perpustakaan tradisional kini tidak lagi memenuhi keperluan semasa. Perkembangan ini mengubah cara perpustakaan diurus dan perkhidmatan yang diberikan. Konsep perpustakaan elektronik, perpustakaan digital dan perpustakaan maya begitu sinonim dengan era teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh itu, Pusat Sumber Sekolah (PSS) juga haruslah bergerak seiring dengan arus semasa.
PSS Ibnu Khaldun, Sekolah Kebangsaan Parit Melana juga tidak mahu ketinggalan dalam mengharungi perkembangan ini. Sehubungan dengan itu, PSS Digital Ibnu Khaldun telah diwujudkan bagi memastikan warga Sekolah Kebangsaan Parit Melana mampu bergerak seiring dengan kepesatan teknologi. Pelbagai kemudahan yang ditawarkan melalui PSS Digital Ibnu Khaldun termasuklah pautan ke rak buku maya terbuka, pautan pengisian IQ Nilam, perkongsian aktiviti yang dijalankan PSS Ibnu Khaldun, video-video sumber bahan bantu mengajar serta pautan buku teks digital. Kemudahan-kemudahan ini disediakan dengan harapan dapat membantu warga sekolah untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan serta pembelajaran kendiri yang berkualiti seterusnya memupuk minat membaca dalam kalangan ahlinya.
Akhir kata, dengan mewujudkan PSS Digital Ibnu Khaldun ini, diharap seluruh warga Sekolah Kebangsaan Parit Melana dapat menerima manfaat serta menjadikannya sebagai salah satu pelantar bagi memupuk minat dan semangat membaca. Marilah kita menjadi masyarakat yang membaca agar dapat menjadi asas kepada sebuah masyarakat Malaysia yang berpengetahuan, terpelajar dan dapat mengaplikasikan manfaat ilmu dalam kehidupan masing-masing.
Encik Abzul Nizam bin Omar
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Parit Melana