Program Wadah Citra Jawi merupakan inisiatif sekolah bagi memperkasa tulisan Jawi sebagai warisan bahasa dan budaya bangsa. Program ini berperanan untuk mewujudkan suasana sekolah yang beridentitikan Jawi dengan pelbagai inisiatif seperti hiasan, papan tanda, poster, dan bahan maklumat bertulisan Jawi di setiap sudut sekolah.
Usaha ini bukan sahaja menzahirkan kecantikan dan keunikan tulisan Jawi, malah menjadi platform untuk memupuk kecintaan warga sekolah terhadap warisan bahasa Melayu serta mengukuhkan jati diri bangsa. Melalui program ini juga, nilai estetika, kreativiti, dan semangat kerjasama dalam kalangan guru serta murid dapat disemai secara menyeluruh.
1.Membantu meningkatkan penguasaan murid dalam literasi Jawi di sekolah  rendah di Kementerian Pendidikan.
2.Memberikan bimbingan tentang kaedah terkini dalam pengajaran Jawi yang berkesan kepada murid melalui aktiviti wadah citra.
3.Memperlihatkan keindahan dan kepelbagaian tulisan Jawi dalam melestarikan penggunaan tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan bangsa.
Tulisan Jawi merupakan warisan agung yang telah menjadi nadi kepada perkembangan ilmu, budaya, dan tamadun Melayu sejak berabad lamanya. Namun, arus kemodenan serta penggunaan tulisan Rumi secara meluas telah menyebabkan tulisan Jawi semakin terpinggir dalam kalangan generasi muda.
Bagi mengembalikan sinar dan nilai warisan ini, pihak sekolah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Program Wadah Citra Jawi sebagai satu wadah menyemarakkan semula penggunaan tulisan Jawi di sekolah. Program ini menggalakkan setiap bahagian sekolah mewujudkan sudut, hiasan, dan papan tanda dalam tulisan Jawi agar suasana pembelajaran lebih mesra warisan dan beridentiti Islamik.
Dengan penglibatan semua warga sekolah, diharap Wadah Citra Jawi menjadi simbol kebersamaan dan kesedaran dalam memartabatkan tulisan Jawi sebagai khazanah bangsa yang perlu dipelihara dan diwarisi oleh generasi seterusnya.