Akademi Sains Pendang telah dirasmikan pada tanggal 5 Disember 2021 dan pada peringkat awal penubuhan, institusi ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains Pendang namun telah ditukar kepada Akademi Sains Pendang sesuai dengan hasrat dan objektif penubuhannya yang merupakan satu-satunya institusi yang bitara di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Antara matlamat utama penubuhan Akademi Sains Pendang adalah untuk menjayakan Program Pendidikan Pintar Cerdas (PPPC) yang merupakan salah satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk memperkembang potensi murid terpilih secara umum.
Walaupun dalam lingkungan usia yang muda iaitu menginjak angka 12 dan 13 tahun, namun anak-anak ini telah mempelajari sukatan pelajaran bagi murid Tingkatan 4 dan 5 di arus perdana. Selain mata pelajaran teras dan elektif seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan, murid-murid di ASP juga turut mempelajari subjek lain seperti Penyelidikan, Falsafah, Pembangunan Kendiri, Introduction to Psychology dan juga Bahasa Antarabangsa iaitu bahasa Mandarin dan bahasa Jerman.
Menjadi ‘berbeza’ daripada kelaziman tidak menjadi penghalang untuk anak-anak ASP terus cemerlang dalam mengorak langkah tidak kira dalam bidang akademik, kokurikulum mahu pun sahsiah sepertimana yang terkandung dalam misi ASP iaitu ‘ Ensuring every student will obtain excellent SPM result, embark on research and publication, achieve international or national recognition, own one intellectual property and develop communicative competence’.
Kini, bakat dan potensi anak-anak ASP seramai 298 orang sedang digilap dan dicanai dengan paduan tenaga dan sinergi 36 orang tenaga pendidik yang sentiasa komited dalam melunaskan amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan. Sehingga kini, ASP kekal unggul sebagai sebuah institusi yang teguh membawa visi ‘To develop future leaders, Nobel Laureate, technocrats imbued with noble values’.