Senarai semak ini telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai panduan kepada guru prasekolah dan Pembantu Pengurusan Murid (PPM) dalam menyediakan dan mengurus fail serta rekod yang berkaitan. Penyediaan dokumen ini penting untuk memastikan aspek pengurusan prasekolah berjalan lancar, sistematik dan mengikut ketetapan yang telah ditetapkan oleh pihak kementerian.
Terdapat sembilan 9 jenis fail dan rekod utama yang perlu diwujudkan dan dikemaskini dari semasa ke semasa oleh guru prasekolah dan PPM.
Sepanjang tempoh pelaksanaan Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di prasekolah, saya mendapati bahawa pihak prasekolah telah mewujudkan dan menyelenggara fail serta rekod dengan baik mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Selain itu, saya juga mendapati bahawa surat-surat pekeliling dan maklumat penting seperti maklumat peribadi murid disimpan dengan teratur dalam fail khusus. Hal ini menunjukkan bahawa guru prasekolah dan PPM melaksanakan tugas pengurusan berpandukan pekeliling serta arahan rasmi yang dikeluarkan oleh pihak kementerian.
Pengurusan ini turut menitikberatkan aspek kerahsiaan maklumat murid dengan menyimpan dokumen-dokumen sulit secara tersusun dan selamat, serta memastikan bahawa hanya pihak yang diberi kuasa sahaja dibenarkan mengakses maklumat tersebut. Amalan ini mencerminkan tahap profesionalisme dan keprihatinan warga prasekolah dalam melindungi hak serta maklumat peribadi murid selaras dengan etika perkhidmatan awam.
Sepanjang menjalani PBS di prasekolah, saya telah mendapat pengetahuan baharu berkaitan dengan SMPK (Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan) dan SKPK (Sistem Kualiti Prasekolah Kebangsaan). Kedua-dua sistem ini sangat penting dan perlu dikemaskini secara berkala oleh guru prasekolah.
SMPK digunakan untuk menyimpan maklumat penting seperti data murid, guru, PPM, bilangan kelas dan kemudahan yang ada di prasekolah. Manakala SKPK pula membantu menilai kualiti pengurusan dan pelaksanaan program prasekolah, termasuk aspek pengajaran, pembelajaran dan persekitaran.
Melalui pengalaman ini, saya belajar bahawa sebagai seorang guru, bukan sahaja perlu mahir mengajar, tetapi juga perlu tahu cara mengurus dan mengisi sistem-sistem ini dengan tepat. Ia amat membantu pihak sekolah dan KPM dalam merancang keperluan serta penambahbaikan prasekolah pada masa akan datang.