LATAR BELAKANG
LATAR BELAKANG
Program Prints and Pixels Expo (PriPEX) 2026 merupakan sebuah inisiatif pendidikan yang dirancang untuk memperkukuh budaya membaca, memperkasa literasi digital serta membudayakan penggunaan teknologi secara kreatif dan bermakna dalam kalangan murid, guru, ibu bapa dan masyarakat umum di Negeri Perlis.
Selaras dengan perkembangan pesat teknologi digital dan keperluan pendidikan masa kini, PriPEX 2026 menggabungkan elemen literasi konvensional melalui bahan bercetak dengan penerokaan dunia digital yang dinamik. Pendekatan ini memberi peluang kepada pengunjung untuk memperoleh ilmu, meneroka teknologi baharu, berkongsi idea serta mengalami pengalaman pembelajaran yang interaktif, inovatif dan menyeronokkan.
PriPEX 2026 akan menampilkan pelbagai pengisian berteraskan ilmu dan teknologi, antaranya pameran dan jualan buku, pameran pendidikan digital, bengkel teknologi digital, sesi ceramah dan perkongsian ilmu, aktiviti interaktif serta pengalaman pembelajaran berasaskan teknologi terkini. Pelaksanaan program ini turut mengambil kira enam teras yang digariskan dalam Dasar Pendidikan Digital (DPD) bagi menyokong usaha memperkukuh ekosistem pendidikan digital yang holistik dan berdaya saing.
Dengan tema “Prints and Pixels Expo (PriPEX) 2026: Menghubungkan Literasi, Mencetus Inovasi Digital”, program ini menjadi wadah untuk menghubungkan kekuatan literasi melalui bahan bercetak dengan potensi teknologi digital dalam mencetuskan kreativiti, inovasi dan pembelajaran sepanjang hayat. Gabungan elemen prints dan pixels diharap dapat membentuk pengalaman pendidikan yang lebih relevan dengan keperluan generasi masa kini.
PriPEX 2026 juga membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk berkolaborasi dan berkongsi kepakaran dalam bidang pendidikan, teknologi, penerbitan, kreativiti dan inovasi. Melalui pendekatan secara bersemuka dan maya, program ini menyasarkan seramai 60,000 orang pengunjung, sekali gus memperluas capaian program kepada komuniti pendidikan dan masyarakat bukan sahaja di Negeri Perlis, malah di peringkat yang lebih luas.
Sehubungan dengan itu, PriPEX 2026 diharapkan dapat menjadi platform yang menyemarakkan budaya membaca, meningkatkan kompetensi literasi digital serta mencetuskan minat terhadap inovasi dan teknologi dalam kalangan masyarakat. Program ini seterusnya menyokong aspirasi pendidikan negara dalam melahirkan generasi yang berilmu, celik digital, kreatif, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Target Pengunjung secara bersemuka dan maya ialah 60,000 orang.
Tema : Prints and Pixels Expo (PriPEX) 2026: "Menghubungkan Literasi, Mencetus Inovasi Digital"
Sasaran Peserta
Murid sekolah rendah dan menengah di negeri Perlis.
Guru-guru dari pelbagai sekolah.
Ibu bapa dan penjaga yang berminat.
Pempamer dari dalam dan luar Perlis