Pelaksanaan kurikulum kebangsaan sedia ada telah melalui satu kitaran penuh, dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (Semakan 2017) selesai pada tahun 2022 dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah pada tahun 2021. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) pula telah dilaksanakan mulai tahun 2017.
KPM telah menjalankan kajian menyeluruh, sesi libat urus yang komprehensif, serta tinjauan keberkesanan pelaksanaan kurikulum semasa bagi memastikan kurikulum kebangsaan kekal relevan, dinamik, berkualiti, serta sejajar dengan keperluan semasa dan perkembangan global.
Hasil daripada analisis data dan maklum balas yang diperoleh, KPM memperkenalkan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2026 dari prasekolah hingga Tingkatan 5 untuk memperkukuh sistem pendidikan negara dan melahirkan modal insan yang berkualiti bagi memenuhi keperluan negara.
Kurikulum Prasekolah 2026 bertujuan untuk melahirkan murid yang sihat dalam aspek fizikal, mental dan kerohanian, boleh berkomunikasi dan bersosialisasi, berkeyakinan diri dan memiliki keinginan untuk belajar.
1.Mengurus emosi sendiri dan menyesuaikan diri dalam kehidupan seharian.
2.Mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat serta menjaga keselamatan diri.
3.Mengamalkan ajaran agama Islam dalam kehidupan seharian untuk murid beragama Islam.
4.Mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian.
5.Menggunakan bahasa untuk berkomunikasi dengan berkesan.
6.Menggunakan maklumat yang diperoleh untuk menyelesaikan masalah.
7.Memupuk daya imaginasi dan kreativiti melalui pelbagai pengalaman pembelajaran.
8.Mempamerkan sifat ingin tahu dan minat untuk meneroka perkara baharu.
9.Menyayangi dan menghargai alam sekitar.
10.Mempamerkan keyakinan terhadap kebolehan diri sendiri dan berani mencuba.
KP2027 adalah kurikulum yang berasaskan standard dan berorientasikan kompetensi. Kurikulum berorientasikan kompetensi ini menekankan proses pembelajaran holistik yang membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan adab dalam kehidupan seharian. Ketiga-tiga elemen tersebut telah disusun dalam kandungan kurikulum sebagai standard pembelajaran yang perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan. Reka bentuk kurikulum yang menggabungkan standard dan kompetensi bertujuan melahirkan murid yang berpengetahuan, kompeten dan memiliki adab terpuji serta keseimbangan yang optimum selaras dengan matlamat yang telah ditetapkan.
Kerangka KP2027 mengandungi tujuh kompetensi yang disampaikan melalui kandungan, pedagogi dan pentaksiran. Tujuh kompetensi tersebut adalah Perkembangan Diri, Komunikasi,Tanggungjawab, Fasih Digital, Literasi Pelbagai, Kemahiran Berfikir dan Pembelajaran Sepanjang Hayat. Kompetensi tersebut saling berkait bagi melengkapkan murid sebagai individu yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai keunggulan sahsiah dan beradab, seterusnya membentuk murid sebagai insan sejahtera.
Kurikulum Prasekolah 2026 dibangun berdasarkan Kerangka Kurikulum Persekolahan 2027 (Rajah 1) yang mempunyai matlamat utama untuk melahirkan insan sejahtera. Murid perlu menguasai semua standard pembelajaran yang merangkumi pengetahuan, kemahiran dan adab dalam setiap bidang pembelajaran. Kompetensi murid dapat dipupuk apabila mereka mengaplikasikan perkara yang dipelajari dalam pelbagai situasi secara praktikal dan relevan dengan dunia sebenar. Kurikulum Prasekolah 2026 bukan hanya memberi tumpuan kepada penguasaan akademik semata-mata, tetapi juga memberi penekanan kepada kemahiran sosial, emosi dan kehidupan yang lebih seimbang.
Kompetensi merujuk kepada keupayaan murid menggabungkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap yang diaplikasikan dalam pelbagai situasi kehidupan. Tujuh kompetensi utama Perkembangan Diri, yang ditetapkan Komunikasi, adalah Tanggungjawab, Fasih Digital, Literasi Pelbagai, Kemahiran Berfikir dan Pembelajaran Sepanjang Hayat.