Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor merupakan sebuah sekolah baharu di bawah Cadangan Pembangunan Projek Pendidikan.   Bangunan ini dibina  di atas Lot 55 dan sebahagian Lot 56 Batu 1580, Mukim Api-api, Daerah Kuala Selangor.   Pembinaannya telah siap pada 7 April 2011 di bawah pengurusan kontraktor Tuahmahir Snd. Bhd dengan kos perbelanjaan RM 27,000,000.00. Binaan sekolah ini terdiri daripada 8 blok bangunan iaitu blok pentadbiran, 2 blok akademik, 2 blok makmal/ bengkel, sebuah dewan dan sebuah kantin.   Sekolah ini juga mempunyai 33 bilik-bilik khas dan 30 buah bilik darjah.

 

Pada awalnya, sekolah ini diberi nama SMK Taman Sirambai, namun dengan kata sepakat dari pihak pengurusan dan pihak PPD nama asalnya telah ditukar.   Mulai 25 Julai 2014 semua operasi sekolah telah menggunakan nama baharu iaitu SMK Kuala Selangor dengan kod sekolah BEA 3086.

 

Pada peringkat pertama sekolah ini beroperasi iaitu sekitar akhir tahun 2011 hanya satu kelas sahaja yang beroperasi melibatkan 11 orang murid datang darpada empat buah sekolah rendah yang berhampiran iaitu SK Pasangan, SK Bandar Baru, SMK Seri Tanjung dan SMK Sultan Abdul Aziz Shah.

 

SMK Kuala Selangor, mula menerima 2 orang pentadbir, 2 orang guru dan 2 orang staff sokongan untuk membuat pengurusan pada Jun-November 2011 sebelum sekolah beroperasi sepenuhnya.   Lantaran itu, sekolah ini sedikit demi sedikit telah mengorak langkah menjalankan operasi dengan membuat pengurusan buku teks, merekod aset dan inventori dan penerimaan alatan serta kelengkapan sekolah. Pihak pengurusan berjaya mencipta lencana dan bendera sekolah yang menjadi lambang kemegahan sekolah sehingga kini.

 

Majlis Penyerahan Kunci secara rasminya telah diadakan pada 1 November 2011 yang disempurnakan oleh  Y.Bhg. To’ Puan Rabiah binti Haji Safian, Timbalan Setiausaha Bahagian (Pembangunan).


 Tanggal 15 November 2011, pihak sekolah mendapat surat pengesahan untuk sekolah beroperasi sepenuhnya. Seramai 13 orang guru dan 87 orang murid tingkatan 1 telah mendapat tawaran untuk mendaftar  di sekolah ini bermula 16 November 2011.   Pada tarikh itu juga Encik Abdul Hamid bin Takat telah melapor diri sebagai Pengetua SMK Kuala Selangor yang pertama.  


 Mulai tahun 2012 SMK Kuala Selangor memulakan operasi sepenuhnya dengan 24 orang guru termasuk pengetua, 2 staff sokongan dan seorang pembantu makmal. Seramai 319 orang murid telah mendaftar  sebagai generasi pertama di SMK Kuala Selangor. Mereka terdiri daripada murid tingkatan satu dan tingkatan dua.  Ibarat bayi yang awalnya mula merangkak, kini SMK Kuala Selangor semakin dewasa  mengatur langkah membina imej sebagai sebuah sekolah harian yang cemerlang dalam membangunkan modal insan di bumi Kuala Selangor. Bilangan muridnya telah bertambah sehingga mencecah 1000 orang pada tahun 2017.


Pada 26 Oktober 2016, pihak Jabatan Kerja Raya Kuala Selangor telah mengeluarkan surat rasmi bahawa bangunan dewan SMK Kuala Selangor sebagai tidak selamat kepada warga  sekolah untuk melakukan apa-apa aktiviti di bangunan dewan sekolah.  Pihak sekolah akur dengan arahan pihak JKR tersebut.


Sehingga tahun 2020, SMK Kuala Selangor telah terajui pentadbirannya  oleh  Encik Abdul Hamid bin Takat sebagai pengetua yang pertama. Setelah beliau meninggal dunia pada 25 Ogos 2017, urus tadbir SMK Kuala Selangor telah dipangku oleh Pn. Zaleha binti Masran sehinggalah Encik Zainal bin Kasim dilantik sebagai pengetua pada 1 Januari 2018. Pada Jun 2020, Encik Zainal bin Kasim telah berpindah ke PPD Kuala Selangor sebagai Timbalan Pegawai Pendidikan di Sektor Pembangunan. 


Kekosongan jawatan Pengetua di SMK Kuala Selangor telah diisi oleh Puan Patmah binti Mohd. Ariff pada 17 Ogos 2020 . Sebagai usaha membangunkan SMK Kuala Selangor, satu  jawatan kuasa kerja telah ditubuhkan untuk merealisasikan pembinaan Surau Al-Kautsar yang pernah dicita-citakan oleh mantan pengetua pertama SMK Kuala Selangor. Usaha ini bermula semasa Puan Patmah menerajui pentadbiran SMK Kuala Selangor pada tahun 2020. 

Dan mulai Februari 2022, teraju SMK Kuala Selangor dipegang pula oleh Tuan Al-Irwan bin Saihibol Rahim.