Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,
Pada kesempatan yang diberi ini,saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua ibu bapa dan waris yang sentiasa menyokong PIBG SMK Kepala Batas dengan sentiasa memberi sumbangan bagi membantu pihak sekolah meningkatkan pencapaian akademik dan ko- kurikulum.serta kebajikan murid .
Sesungguhnya PIBG merupakan jambatan yang menghubungkan antara waris dengan guru. Kerjasama dan permuafakatan antara kedua-duanya sangat penting dalam usaha mempertingkatkan lagi prestasi akademik dan sahsiah anak-anak pelajar di sekolah ini .Bak kata pepatah “Yang berat sama dipikul,yang ringan sama dijinjing “. Hubungan dan kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah amat diperlukan demi melahirkan modal insan yang cemerlang dalam segenap bidang.
Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada barisan pengurusan sekolah serta para guru yang selama ini tidak jemu-jemu mendidik anak-anak di sini. Sememangnya kesungguhan guru-guru ini memberi keyakinan kepada para waris bahawa anak mereka akan dididik sebaik-baiknya.Kebijaksanaan para guru menangani masalah yang melanda juga membuktikan bahawa kebajikan anak-anak pelajar tidak terabai.
Sehubungan itu saya ingin menyeru kepada semua ibu bapa dan waris agar turut sama memainkan peranan dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa tidak seharusnya melepaskan tanggungjawab tersebut kepada guru semata-mata .Sebaliknya proses pendidikan ini berterusan dari rumah ke sekolah dan begitu juga sebaliknya dari sekolah ke rumah. Oleh itu ibu bapa hendaklah memberi kerjasama dan kepercayaan kepada pihak sekolah agar mereka dapat mendidik anak-anak kita dengan sebaik-baiknya.Pada masa yang sama ibu bapa perlu memberi perhatian yang sewajarnya semasa anak-anak berada di rumah .Ibu bapa perlu bertindak sebagai guru membantu anak-anak menyiapkan tugasan mereka.
Akhir kata sama-samalah kita berdoa semoga semangat muafakat dan kesepaduan yang wujud antara pihak sekolah dan ibu bapa akan terus berkekalan demi kepentingan anak-anak semua serta mencapai matlamat penubuhan PIBG SMKKB. Anggaplah PIBG sebagai sebuah institusi yang menjadi saluran untuk kita berhubung dan bekerjasama dengan pihak sekolah demi kebaikan kita bersama.
Sekian , terima kasih.
( MOHD REZUAN BIN SAID)
Yang Dipertua PIBG
SMK KEPALA BATAS,KEDAH