Berikutan pemansuhan peperiksaan wajib seperti UPSR dan PMR, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melaksanakan sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), iaitu suatu pentaksiran yang bersifat holistik berkebolehan menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani), selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Abdul et al., 2021). Maka, Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), iaitu salah satu daripada empat kompenan PBS turut dipromosikan di sekolah-sekolah bermula tahun 2016, bagi memenuhi keperluan pentaksiran bagi menyukat sejauh manakah keberkesanan Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) di sekolah.
PBD adalah proses yang integral dalam sesi PdP yang bertujuan untuk memperoleh maklumat berterusan tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan, dan penguasaan murid terhadap matlamat kurikulum yang dihasratkan (KPM, 2021). Melalui PBD, guru akan mengumpul dan menganalisis maklumat secara berterusan untuk membuat refleksi terhadap proses PdP dan membuat pertimbangan yang konsisten dalam usaha untuk meningkatkan kualiti PdP. Penting untuk ditekankan bahawa semua maklumat yang diperoleh melalui pentaksiran bukanlah untuk tujuan perbandingan atau persaingan antara murid. Sebaliknya, maklumat tersebut harus digunakan sebagai alat bantu untuk membantu pihak sekolah dan ibu bapa dalam merancang tindakan susulan yang sesuai untuk meningkatkan penguasaan dan pencapaian murid dalam proses pembelajaran. PBD juga memainkan peranan penting dalam memberikan gambaran yang holistik tentang perkembangan murid, termasuk aspek-aspek seperti kemahiran akademik, kebolehan sosial, emosi, dan kemahiran kehidupan (Ambotang et al., 2021). Ini membolehkan guru dan pihak berkepentingan lain untuk merancang pengajaran yang lebih sesuai dengan keperluan individu setiap murid.
PBD merangkumi semua mata pelajaran dalam kurikulum KSSR dan KSSM, bermula dari sekolah rendah (Tahun 1 hingga 6) hingga sekolah menengah (Tingkatan 1 hingga 5). Pelaksanaan kritikal PBD terletak di tangan pendidik yang ditugaskan untuk menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran yang hendak ditaksir, merancang dan membina instrumen pentaksiran, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, melapor dan membuat tindakan susulan. Laporan ini, yang menggunakan templat pelaporan berasaskan Excel di luar talian, dibentangkan kepada pelajar dan ibu bapa sekurang-kurangnya dua kali setahun melalui melalui perwakilan TP1 hingga TP6 (KPM, 2021). Setiap laporan memberikan gambaran keseluruhan tahap penguasaan pelajar dalam mata pelajaran tertentu (Arumugham, 2020).