Pengenalan Tingkatan 6
Tingkatan Enam telah mula beroperasi di sekolah-sekolah menengah harian bantuan penuh kerajaan lebih daripada 50 tahun dahulu. Murid-murid yang telah menamatkan pengajian menengah atas dan telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), layak ditawarkan untuk meneruskan pendidikan pasca menengah iaitu Tingkatan Enam, jika menepati syarat-syarat umum dan khusus bagi jurusan, selama tiga semester.
Terdapat dua aliran yang ditawarkan untuk Tingkatan Enam di sekolah menengah harian iaitu jurusan Sains Sosial (Kemanusiaan dan Agama) dan jurusan Sains.
Objektif
Meningkatkan taraf pendidikan ke arah yang lebih tinggi.
Memberi pendidikan berdasarkan sistem penggal dan berdaya saing yang tinggi.
Memberi pendidikan yang setara dengan program prauniversiti yang lain.
Memastikan murid lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi.
Membentuk kepemimpinan menuju ke arah membina Negara Bangsa meliputi aspek perpaduan, patriotisme, dan jati diri bagi mendokong aspirasi nasional.
Matlamat
Tingkatan Enam merupakan laluan pendidikan bagi murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengembangkan bakat dan kreativiti seterusnya menjadi generasi muda berimpak tinggi, glokal dan universal.
Mereka ini akhirnya membawa keseJahteraan kepada negara di samping mendapat kelayakan yang memenuhi standard antarabangsa.
Penjenamaan Semula
Penjenamaan Semula Tingkatan Enam menjadi salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025 dengan hasrat untuk:
Memperkasa pendidikan Tingkatan Enam melalui peningkatan imej, sistem, dan kualiti pendidikan setaraf dengan pendidikan lepasan menengah yang lain selepas SPM seperti Matrikulasi atau pusat asasi sains, kerana ianya dilihat sebagai salah satu laluan utama murid- murid untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan Tingkatan Enam.
Membangun dan memupuk nilai kepimpinan yang tinggi dalam kalangan murid Tingkatan Enam.
Lima fokus utama Penjenamaan Semula Tingkatan Enam adalah seperti yang berikut:
Imej dan Anjakan Minda.
Info dan Infrastruktur.
Pengurusan dan Pentadbiran.
Mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Kurikulum.
Senarai Mata Pelajaran STPM
Pelaksanaan sistem pentaksiran baharu STPM telah dimulai pada pengambilan sesi 2012 setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 4 Januari 2012.
Sebanyak 22 mata pelajaran ditawarkan dalam sistem pentaksiran baharu STPM.
Namun begitu, hanya empat atau lima mata pelajaran sahaja yang perlu dipilih termasuk mata pelajaran Pengajian Am sebagai mata pelajaran wajib. Manakala mata pelajaran MUET wajib diambil oleh semua murid.