Bagaimanakah sektor pelancongan dapat membantu memelihara bentuk muka bumi kita?
Di dalam projek ini, murid bertindak sebagai seorang usahawan sosial yang ingin membangunkan industri pelancongan lestari di Malaysia. Murid perlu memahami bentuk muka bumi di Malaysia untuk mencari tapak yang sesuai bagi menyediakan pakej pelancongan yang mesra alam. Di akhir projek, murid perlu membentangkan pakej pelancongan lestari mereka, sebab lokasi tersebut dipilih dan langkah-langkah yang diambil untuk memastikan alam semulajadi tidak terganggu dan kepentingannya dijaga.
Standard Kandungan Geografi Tingkatan 1
2.2 Bentuk Muka Bumi di Malaysia
Standard Pembelajaran Geografi Tingkatan 1
2.2.1 Membincangkan pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia
2.2.2 Menentukan lokasi pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia
2.2.3 Membandingkan kepentingan pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia
Objektif SDG 8: Pekerjaan yang baik & Perkembangan Ekonomi
Murid memahami bagaimana inovasi, keusahawanan dan penciptaan kerja baru dapat menyumbang kepada kerja yang baik dan ekonomi yang dikendalikan dengan lestari untuk memastikan perkembangan ekonomi tidak memberi kesan bahaya kepada alam semulajadi.
Objektif GCED
Domain kognitif: Murid menilai punca utama isu tempatan, kebangsaan dan global serta kesalinghubungan antara faktor tempatan dan global.
Domain sosio-emosi: Murid mempunyai komitmen untuk mempromosikan dan melindungi perbezaan dan kepelbagaian (sosial dan persekitaran).
Domain tingkahlaku: Murid mengkaji bagaimana individu dan kumpulan lain telah mengambil tindakan terhadap isu-isu tempatan, kepentingan nasional dan global sebagai tindak balas terhadap masalah tempatan, nasional dan global.
Hasil kerja individu
Analisis perbezaan bentuk muka bumi di Malaysia.
Hasil kerja kumpulan
Menghasilkan pakej pelancongan lestari berdasarkan bentuk muka bumi yang telah dipilih.
Pembentangan
Membentangkan pakej pelancongan lestari dalam sebuah pertandingan perniagaan sosial bagi membangunkan industri pelancongan negara.
Murid meneroka kesan-kesan perkembangan industri pelancongan yang telah menyebabkan kedatangan pelancong beramai-ramai ke sesuatu lokasi pelancongan. Murid membuat ramalan tentang kesan industri pelancongan kepada bentuk muka bumi semulajadi jika industri ini terus berkembang tanpa kawalan di masa hadapan. Murid diperkenalkan dengan konsep perusahaan sosial yang berfokuskan kepada konsep pelancongan lestari dan bagaimana konsep ini dapat membantu mengawal kesan-kesan negatif industri pelancongan tanpa menyebabkan kebantutan ekonomi.
1 - 2 masa
Soalan perlu tahu (semua kumpulan)
Bahagian 1: Pengenalan kepada isu
Gunakan set gambar Jangkaan berbanding realiti menunjukkan lokasi-lokasi pelancongan yang terancam disebabkan industri pelancongan.
Bincangkan perkara berikut:
Jenis bentuk muka bumi yang dapat mereka lihat seperti bukit bukau, tepi laut, sungai, tanah rata dan sebagainya.
Contoh flora dan fauna yang mungkin terdapat di lokasi tersebut
Pencemaran atau gangguan yang terjadi disebabkan kedatangan pelancong beramai-ramai
Minta murid lakarkan kesan jangka masa panjang jika trend pelancongan seperti ini berterusan pada kotak yang diberikan. Berikan masa untuk murid kongsikan hasil lakaran mereka dengan rakan-rakan.
Jelaskan bagaimana sektor pelancongan mengancam bentuk muka bumi dan mengapa pelancongan lestari boleh menjadi salah satu jalan penyelesaian dalam membendung masalah ini. Bincang bersama isu-isu yang ditunjukkan dalam slaid.
Bahagian 2: Pengenalan kepada watak yang akan dimainkan oleh murid dalam projek ini dan hasil kerja akhir
Jelaskan bahawa murid akan bertindak sebagai usahawan sosial yang akan membuka sebuah syarikat yang menawarkan pakej percutian mesra alam. Usahawan sosial adalah individu yang memiliki idea inovatif untuk membuat keuntungan daripada suatu perusahaan dan pada masa yang sama meninggalkan impak positif kepada alam sekitar dan masyarakat.
Jelaskan bahawa di akhir projek, murid perlu mengenal pasti tapak perusahaan sosial mereka dengan mempelajari bentuk muka bumi di Malaysia dan memilih kawasan yang terbaik. Murid perlu merancang pakej percutian mereka yang lestari dan mengenal pasti impak yang akan ditinggalkan.
Murid membaca kriteria pertandingan dan isikan soalan perlu tahu untuk menyelesaikan projek ini.
Murid berbincang dan mengenal pasti bentuk muka bumi di Malaysia dan lokasinya. Murid melihat contoh bentuk muka bumi yang telah terganggu disebabkan pelancongan di luar negara. Melalui kaedah sumbang saran, murid menyenaraikan risiko yang mungkin dibawa oleh industri pelancongan kepada bentuk muka bumi di Malaysia dan langkah-langkah yang boleh diambil melalui pakej percutian mereka untuk mengurangkan risiko tersebut.
3 - 4 masa
Refleksi kemusnahan bentuk muka bumi disebabkan pelancong (individu)
Senarai lokasi yang mempunyai bentuk muka bumi yang berbeza sebagai pilihan untuk pakej percutian (kumpulan)
Senaraikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko yang mungkin disebabkan oleh pelancong yang akan ikuti pakej percutian (kumpulan)
Bahagian 1: Perkenalkan topik geografi berikut
2.2.1 Membincangkan pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia
Murid akan mempelajari tentang pelbagai jenis bentuk muka bumi di Malaysia seperti tanah pamah, tanah tinggi, pinggir laut dan saliran.
2.2.2 Menentukan lokasi pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia
Murid akan belajar tentang lokasi-lokasi pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia.
Bahagian 2: Minta murid menerokai kesan-kesan industri pelancongan kepada bentuk muka bumi
Guru menunjukkan beberapa gambar batu tunggul Duckbill di Oregon, Amerika Syarikat. Batu tunggul Duckbill ini terbentuk secara semulajadi disebabkan hakisan ombak dan mengambil masa 18 juta tahun untuk terbentuk. Ia terkenal sebagai lokasi penggambaran. Namun begitu, batu ini musnah apabila di tolak oleh sekumpulan vandal.
Guru menunjukkan Video: Cape Kiwanda duckbill rock formation destroyed. Video ini menunjukkan bagaimana kumpulan vandal tersebut telah memusnahkan batu tunggul Duckbill.
Minta murid berkongsi pendapat mereka tentang apa yang terjadi kepada batu tunggul ini.
Apakah perasaaan anda apabila melihat batu tunggul yang mengambil masa terbentuk selama 18 juta tahun dimusnahkan?
Wajarkah batu tunggul seperti ini dilindungi? Jika ya/tidak mengapa?
Apakah hukuman yang patut diberikan kepada vandal yang memusnahkan alam sekitar seperti ini?
Bahagian 3: Analisis ciri-ciri bentuk muka bumi terkenal di Malaysia dan risiko industri pelancongan ke atasnya
Dalam kumpulan masing-masing, murid membina sebuah carta untuk menunjukkan perbandingan ciri-ciri bentuk muka bumi yang terdapat di Malaysia serta risiko yang mungkin dibawa oleh pelancong yang datang.
Murid melakukan analisis dan berbincang di dalam kumpulan untuk menyenaraikan langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko ini dengan pakej percutian yang bakal mereka bina.
Guru boleh memberikan murid lembaran carta perbandingan dan analisis kepada murid yang memerlukan panduan tambahan.
Murid mengkaji dan membuat perbandingan kepentingan bentuk muka bumi di Malaysia yang berbeza. Murid mengkaji pakej pelancongan lestari di negara luar. Murid mengenal pasti bagaimana mereka boleh menggunakan kepentingan bentuk muka bumi di Malaysia untuk membina pakej pelancongan lestari perusahaan mereka.
2 - 3 masa
Analisa perbandingan kepentingan pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia (individu)
Kajian tambahan tentang konsep ekopelancongan dan pelancongan lestari serta bertanya kepada ibubapa, rakan dan guru tentang pengalaman mereka melancong (kumpulan)
Bahagian 1: Perkenalkan topik geografi berikut
2.2.3 Membandingkan kepentingan pelbagai bentuk muka bumi di Malaysia
Murid belajar tentang kepentingan tanah tinggi, tanah pamah, saliran dan pinggir laut di Malaysia serta membuat perbandingan.
Bahagian 2: Murid mereka bentuk pakej percutian yang mesra alam
Murid diberikan contoh-contoh pakej percutian dan model yang bertemakan pelancongan lestari yang telah menerapkan kepentingan bentuk muka bumi sebagai salah satu aktiviti yang dijalankan oleh pelancong. Contoh yang diberikan juga menunjukkan bahawa terdapat beberapa pakej pelancongan yang memperkasakan penduduk tempatan untuk mendapatkan pendapatan tambahan dengan menjadi pemandu pelancong.
Dalam kumpulan masing-masing, murid perlu berbincang dan memilih satu jenis lokasi dengan bentuk muka bumi yang tertentu dan membina sebuah pakej percutian di lokasi tersebut dengan menerapkan kepentingan bentuk muka bumi sebagai salah satu aktiviti atau perhentian untuk pelancong.
Murid perlu mengenal pasti kepentingan dan penduduk setempat lokasi yang dipilih, contohnya tepi laut yang mempunyai petempatan nelayan dan memikirkan cara terbaik untuk melibatkan mereka dalam pakej mereka dan pada masa yang sama memberikan pendapatan tambahan kepada mereka.
Murid juga boleh memilih tempat tinggal untuk pelancong yang lebih mesra penduduk tempatan seperti konsep “homestay”.
Guru memberikan lembaran perancangan pakej percutian kepada setiap kumpulan sebagai panduan.
Murid boleh melakukan kajian tambahan di internet untuk mengenal pasti lokasi spesifik di Malaysia untuk pakej percutian ini atau memilih salah satu lokasi berdekatan dengan kawasan mereka.
Bahagian 3: Bina model dan pakej percutian lestari kumpulan
Dalam kumpulan masing-masing, murid perlu membina model bentuk muka bumi yang telah dipilih menggunakan bahan buangan dan/atau plastisin.
Model ini perlu disertakan label yang menjelaskan bagaimana pakej percutian mereka akan memelihara bentuk muka bumi semulajadi dan menjaga kepentingan lokasi tersebut serta aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan berdasarkan pakej yang telah dibina.
Dalam kumpulan masing-masing, murid membina pakej percutian pelancongan lestari mereka berserta dengan model bentuk muka bumi lokasi pelancongan mereka untuk dibentangkan di pesta pelancongan.
2 - 3 masa
Pembentangan pakej percutian lestari (kumpulan)
Bahagian 1: Bersiap sedia untuk pesta percutian
Bantu murid membina borang maklum balas untuk pembentangan akhir mereka. Borang maklum balas ini adalah untuk diberikan kepada kumpulan-kumpulan lain agar murid mendapat maklum balas yang konstruktif tentang hasil kerja mereka. Borang ini boleh dibina sebagai borang kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya. Di akhir pembentangan, murid boleh menganalisa maklum balas dan melihat cara mereka boleh menambahbaik persembahan mereka pada masa akan datang.
Murid membantu guru menghias kelas untuk pesta pelancongan yang akan dijalankan serta membina kiosk masing-masing. Guru menunjukkan contoh-contoh pesta percutian seperti Matta Fair sebagai rujukan.
Setiap kumpulan bersiap sedia untuk membentangkan model serta pakej pelancongan mereka di kiosk masing-masing.
Murid akan mengambil giliran untuk melawat kiosk kumpulan lain untuk memberikan penilaian (F1_Ge2_W4) kepada mereka.
Kumpulan yang mempunyai pakej pelancongan yang mendapat paling banyak permintaan akan diumumkan di depan kelas.
Bahagian 3: Raikan kejayaan murid
Luangkan sedikit masa untuk setiap murid berkongsi pengalaman mereka menyiapkan projek ini. Minta murid mengenal pasti dan berkongsi satu perkara yang paling mereka bangga tentang hasil kerja masing-masing. Guru boleh menggunakan strategi papan grafiti untuk murid berkongsi pandangan mereka.
Bahagian 4: Refleksi projek
Minta murid kembali ke soalan-perlu-tahu mereka dan kenal pasti perubahan dan pemahaman baru.
Antara aktiviti penutup dan refleksi yang boleh anda jalankan:
Gunakan panduan strategi ini untuk menjalankan refleksi di akhir projek. Minta murid renungkan apa yang telah mereka berjaya lakukan dan sejauh manakah pencapaian mereka dalam projek ini.