GARIS PANDUAN PENUBUHAN MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
1. 0 PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Majlis Perwakilan Pelajar Kolej Vokasional atau ringkasannya MPP KOLEJ VOKASIONAL merupakan badan perwakilan pelajar yang utama di Kolej Vokasional.
Keahlian MPP KOLEJ VOKASIONAL adalah atas suara pelajar melalui pilihanraya kolej yang diadakan sekali dalam setahun. MPP KOLEJ VOKASIONAL terdiri daripada beberapa orang ahli jawatankuasa mengikut Kolej Vokasional berkenaan.
Kesemua ahli merupakan pelajar-pelajar yang telah diberi kepercayaan untuk mewakili pelajar-pelajar KOLEJ VOKASIONAL serta membawa nama KOLEJ VOKASIONAL ke peringkat lebih tinggi. Jawatankuasa MPP KOLEJ VOKASIONAL ini diketuai oleh seorang ketua iaitu Presiden MPP yang turut dibantu oleh Naib Presiden dan exco MPP yang lain.
Di samping menjadi wakil pelajar, MPP KOLEJ VOKASIONAL juga turut dipertanggungjawabkan sebagai wakil Kolej Vokasional ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat, daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa sebagai duta Kolej Vokasional. Pelbagai aktiviti dan program sama ada persendirian atau kerjasama penganjur boleh dilaksanakan antaranya adalah seperti aktiviti khidmat masyarakat, sukan, akademik malah turut juga melibatkan badan-badan kerajaan tempatan, negeri dan persekutuan secara langsung atau tidak langsung termasuklah badan-badan separa kerajaan dan bukan kerajaan.
2 Objektif
1.2.1 Melatih kepimpinan dan membentuk sahsiah pelajar bertepatan dengan aspirasi
Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi
Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS);
1.2.2 Membangunkan kepimpinan pelajar yang aktif dan berinovasi sejajar dengan
harapan Kolej iaitu sebagai Penjana Generasi Berinovasi; dengan menerapkan nilai nilai akademik dalam projek-projek kegiatan pelajar;
1.2.3 Mengeratkan perpaduan dan kerjasama dalam kalangan pelajar;
1.2.4 Bertindak sebagai representasi pentadbir kolej untuk merancang dan menyelia
kemudahan-kemudahan, kebajikan pelajar di kolej termasuk kemudahan-kemudahan penempatan, rekreasi, aktiviti-aktiviti kerohanian, kebajikan dan perkara – perkara yang berkait rapat dengan pelajar.
3. KELAYAKAN MENJADI CALON MPP
3.1 Pelajar yang mendaftar lebih enam bulan di Kolej Vokasional;
3.2 Memperoleh prestasi akademik Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekurang-kurangnya 3.0 untuk subjek vokasional dan 2.5 untuk subjek akademik;
3.3 Tiada rekod salah laku yang berat; pencalonan ini akan menjalani proses tapisan.
4. KOD ETIKA EXCO MPP KOLEJ VOKASIONAL
4.1 Setiap exco mestilah patuh kepada Kod Etika Majlis Perwakilan Pelajar dan berpegang teguh kepada objektifnya
4.2 Tidak dibenarkan menganggotai dan melibatkan diri secara rasmi dengan pertubuhan politik di Malaysia
4.3 Setiap exco mestilah berusaha untuk melaksanakan dan mencapai objektif dan matlamat MPP KOLEJ VOKASIONAL
4.4. Menunjukkan imej yang positif dan tidak mencemarkan nama baik Kolej Vokasional
5. KEISTIMEWAAN EXCO MPP KOLEJ VOKASIONAL
5.1 Semua exco MPP KOLEJ VOKASIONAL boleh menggunakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak Unit Hal Ehwal Pelajar dengan mematuhi peraturannya serta mendapat kebenaran.
5.2 Semua exco MPP boleh mengikuti semua aktiviti MPP KOLEJ VOKASIONAL tanpa sebarang halangan kecuali telah ada sabitan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi MPP KOLEJ VOKASIONAL.
5.3 Semua exco berhak mengetahui perkembangan dan perubahan dalam struktur organisasi serta pergerakan MPP KOLEJ VOKASIONAL. Semua exco berhak menyuarakan pandangan kepada MPP KOLEJ VOKASIONAL menggunakan saluran-saluran yang beretika.
5.4 Kemudahan tempat letak kenderaan yang sesuai untuk Exco MPP KOLEJ VOKASIONAL bergantung kepada kemudahan yang ada;
5.5 Kemudahan tempat penginapan yang ‘lebih selesa’ bagi exco yang tinggal di asrama bergantung kepada kemudahan semasa.
6. PERLETAKAN DAN PERLUCUTAN JAWATAN
Sebarang permohonan perletakan jawatan hendaklah dibuat secara bertulis kepada
Presiden MPP KOLEJ VOKASIONAL beserta alasan munasabah. Pengesahan perletakan jawatan hanya akan berlaku setelah berbincang dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPP KOLEJ VOKASIONAL serta dimaklumkan kepada unit HEP.
6.1 Perlucutan Jawatan
Perlucutan jawatan hanya akan berlaku dengan sebab-sebab berikut :
6.1.1 Salah laku yang jelas bertentangan dengan dasar dan peraturan KOLEJ VOKASIONAL
6.1.2 Meninggal dunia
6.2 Kekosongan Jawatan
Jika kekosongan jawatan berlaku dalam Ahli Majlis Tertinggi MPP KOLEJ VOKASIONAL, pemilihan baru akan diputuskan melalui mesyuarat Ahli Mesyuarat MPP KOLEJ VOKASIONAL dan tempoh perjawatannya adalah sehingga tamat sesi pentadbiran tersebut.
7. BIDANG TUGAS UMUM MPP KOLEJ VOKASIONAL
7.1 Mengelola dan mengatur hala tuju dan gerak kerja, serta membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan MPP KOLEJ VOKASIONAL mengikut objektif dan peraturan yang telah ditetapkan.
7.2. Majlis Tertinggi hendaklah bermesyuarat sekiranya dirasakan perlu sekurang-kurang dua bulan sekali. Pengumuman bagi setiap mesyuarat hendaklah dibuat kepada semua yang terlibat dua hari sebelum mengadakan mesyuarat. Presiden secara individu boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi pada bila-bila masa.
7.3. Berkuasa menolak sesuatu aktiviti yang bercanggah dengan objektif dan peraturan MPP KOLEJ VOKASIONAL.
7.4 Membincangkan dan merancang perjalanan MPP KOLEJ VOKASIONAL berdasarkan peruntukan dalam peraturan serta bersesuaian dengan objektif KOLEJ VOKASIONAL.
MESYUARAT MPP KOLEJ VOKASIONAL
1. Mesyuarat diadakan dwibulanan dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Sokongan Akademik;
2. Perlu buat temujanji untuk adakan perbincangan bersama pengarah kolej;
3. Menyediakan minit mesyuarat untuk tindakan;
4. Merancang aktiviti dan melaksanakannya;
5. Menyediakan laporan tahunan;
6. Penubuhan alumni, pendaftaran oleh bekas pelajar;
· Kegagalan mematuhi perkara di atas boleh menyebabkan MPP digantung aktivitinya.
8. SUMBER KEWANGAN
Sumber-sumber kewangan untuk aktiviti MPP KOLEJ VOKASIONAL adalah daripada peruntukan yang disediakan oleh unit HEP, Badan Pemuafakatan Ibu Bapa dan agensi-agensi lain yang releven, bagi aktiviti yang telah di rancang. Sumber kewangan juga boleh didapati daripada kalangan ahli MPP KOLEJ VOKASIONAL.
9. KEMPEN PILIHANRAYA
Pelajar boleh :
9.1 menyediakan manifesto – untuk menjelaskan program yang akan diusahakan;
9.2 berkempen;
9.3 menampal poster di kawasan yang dibenarkan;
9.4 membersihkan poster dalam tempoh seminggu selepas pilihanraya.
Disediakan oleh
JK Penasihat MPP KOLEJ VOKASIONAL
PANDUAN PELAKSANAAN PILIHANRAYA MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR
1.0 PENDAHULUAN
Ciri utama sesebuah institusi yang mengamalkan sistem demokrasi ialah mengadakan pilihanraya yang adil dan bebas. Dalam konteks ini, pilihanraya diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar menggunakan hak mereka untuk memilih pemimpin yang berkelayakan dan dipercayai. Oleh itu, individu yang paling banyak mendapat kepercayaan pelajar berhak untuk menggunakan mandat itu selama setahun atau sehingga pilihanraya seterusnya diadakan.
2.0 RASIONAL
Perlembagaan dan demokrasi adalah dua konsep yang sangat besar ertinya bagi kita di kolej ini. Pegangan kita terhadap kedua-dua konsep ini menentukan corak pimpinan kita di samping mengecapi kebebasan dan kemakmuran yang kita nikmati sehingga kini.Secara amnya, demokrasi bermaksud pelajar mempunyai suara mutlak dalam memilih wakil yang bakal menerajui kepimpinan pelajar. Sebagai pelajar kolej , mereka berhak menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil-lwakil yang akan menjaga kebajikan mereka di kolej ini. Pihak pengarah dan Unit Hal Ehwal Pelajar pula akan melantik calon-calon yang menang pilihanraya bagi mewakili portfolio yang telah ditentukan.Panduan Pelaksanaan Pilihanraya MPP ini diterbitkan khusus untuk dijadikan satu piawai agar proses pilihanraya MPP dapat dilaksanakan dengan seragam, lancar dan berkesan bagi seluruh warga kolej.
3.0 DEFINISI
3.1 “MPP” ertinya Majlis Perwakilan Pelajar.
3.2 “SPR” ertinya Suruhanjaya Pilihanraya iaitu sebuah badan bebas yang
dibentuk sebagai pelaksana pilihanraya MPP.
3.3 JK Penasihat MPP ertinya sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan
yang terletak dalam bidang kuasa Ketua Eksekutif untuk mengurus dan menyelaras
hal-hal berkaitan dengan MPP.
3.4 “JAWATANKUASA AMT” ertinya Ahli Majlis Tertinggi dalam MPP yang dilantik.
3.5 “EXCO” / “AMM” Ahli Majlis Mesyuarat ertinya sebuah jawatankuasa berportfolio
dalam MPP
3.6 “PERISYTIHARAN PILIHANRAYA” ertinya satu kenyataan yang menandakan bahawa satu pilihanraya akan diadakan.
3 PROSES PILIHANRAYA
4.1 PEMBUBARAN MPP (Jika berkenaan)
4.1.1 MPP yang sedang berkhidmat perlu dibubarkan. (Jika berkenaan)
4.1.2 MPP dengan rasminya terbubar setelah notis pembubaran dikeluarkan oleh Ketua
Eksekutif.
4.2 PENUBUHAN SPR
4.2.1 SPR perlu ditubuhkan serta merta setelah notis pembubaran MPP dikeluarkan.
4.2.2 Ketua Eksekutif mengeluarkan surat pelantikan ahli SPR dan mengarahkan agar satu
pilihanraya MPP yang baharu diadakan.
4.2.3 Pengerusi SPR yang dilantik perlu mengadakan mesyuarat SPR kali pertama dalam
tempoh seminggu dari surat pelantikan ahli SPR dikeluarkan.
4.3 MENGISYTIHARKAN PILIHANRAYA
4.3.1 SPR mengeluarkan notis pilihanraya dalam minggu kedua selepas pembubaran MPP
(Jika berkenaan).
4.3.2 SPR menyediakan dokumen pilihanraya.
4.3.3 SPR mengiklankan kerusi yang akan dipertandingkan.
4.3.4 SPR menentukan tempat serta menyediakan keperluan untuk mengundi.
4.4 PERATURAN PILIHANRAYA
4.4.1 SPR meneliti dokumen peraturan pilihanraya sedia ada dan membuat penyesuaian
mengikut keperluan kolej.
4.4.2 SPR menerbit, mempamerkan dan mengedar peraturan pilihanraya MPP.
4.5 PENAMAAN CALON
4.5.1 SPR menguruskan hari penamaan calon pada minggu kedua selepas pembubaran
MPP.
4.5.2 SPR memproses dokumen dan menyemak status kelayakan calon.
4.5.3 SPR mengisytiharkan calon yang layak bertanding.
4.6 TEMPOH KEMPEN
4.6.1 SPR menetapkan tempoh, prosedur dan peraturan berkempen.
4.6.2 SPR menguruskan aktiviti pidato umum dan perisytiharan manifesto calon dalam
minggu ketiga.
4.7 HARI MENGUNDI
4.7.1 SPR menguruskan tempat dan pelaksanaan proses mengundi pada minggu pertama.
4.7.2 SPR mengurus proses pengiraan undi.
4.8 PENGUMUMAN CALON YANG MENANG
4.8.1 Pengerusi SPR membuat pengumuman calon yang menang selepas tamat
proses pengiraan undi.
4.9 BANTAHAN KEPUTUSAN
4.9.1 SPR mengumumkan tempoh dan prosedur bantahan.
4.9.2 SPR memproses borang bantahan dan mengumumkan keputusan sekiranya
ada.
5.0 PEMBENTUKAN MPP
5.1 SENARAI CALON YANG MENANG
5.1.1 SPR mengemukakan senarai calon yang menang kepada Majlis
Penasihat MPP.
5.1.2 SPR dibubarkan.
5.2 PEMBENTUKAN JAWATANKUASA
5.2.1 MPP membentuk Jawatankuasa AMT.
5.2.2 AMT membentuk Jawatankuasa AMM
5.2.3 AMM membentuk Jawatankuasa Biro/Exco.
5.3 MAJLIS PENYAMPAIAN WATIKAH PELANTIKAN MPP
5.3.1 MPP mengendalikan majlis penyampaian Watikah Pelantikan MPP.