Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn 2 (SMKBTHO2) merupakan salah sebuah sekolah menengah yang terdapat dalam daerah Hulu Langat, Selangor. Sekolah ini terletak di Persiaran Suadamai, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, Selangor iaitu lebih kurang 14.0 km dari Pekan Kajang dan 13.0 km dari Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat (PPDHL). Sekolah ini juga terletak di Cheras Selatan, di dalam subwilayah Balakong. Luas kawasan sekolah ini adalah 13.75 ekar dan dikelilingi oleh beberapa kawasan perumahan iaitu Taman Suadamai, Taman Suasana, Taman Suakasih, Taman Seri Taming, Taman Minang Ria dan Taman Seri Minang.
Sekolah ini telah mula beroperasi pada 16 Disember 2003. Walau bagaimanapun, sesi pertamanya atau operasi sepenuhnya secara rasmi dijalankan pada 2 Januari 2004. Mengikut perancangan awal, sekolah ini sepatutnya dibuka pada bulan Jun 2003. Oleh sebab atas beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, operasi sekolah ini telah ditangguhkan pada Januari 2004. Bermula pada tahun 2006, sekolah ini telah dibahagikan kepada 2 sesi persekolahan iaitu sesi pagi bermula dari jam 7.30 pagi dan berakhir pada 1.50 petang dan sesi petang yang bermula pada jam 1.10 petang sehingga 6.45 petang.
Pada peringkat permulaan, sekolah ini telah diterajui oleh tiga orang guru Penolong Kanan yang telah bertindak sebagai ‘caretaker’ iaitu Puan Rozita bt. Ahmad (Penolong Kanan), Puan Zainariah bt. Ahmad Yusop (Penolong Kanan Hal Ehwal Murid) dan Encik Mohd Ridzuan b. Abdullah (Penolong Kanan Kokurikulum). Mereka telah menguruskan segala urusan penerimaan peralatan sekolah dan pendaftaran guru-guru yang akan bertugas di sekolah ini. Sekolah ini kemudiannya telah ditadbir oleh seorang pengetua yang berpengalaman iaitu Datin Azmah bt. Abdul Aziz (pengetua pertama) yang dilantik pada 1 Januari 2004. Datin Azmah bt. Abdul Aziz telah bersara pada Disember 2007 dan tempat beliau diambil alih oleh Puan Sri Datin Mazlilah bt. Ahmad Mansur (Pengetua Cemerlang) sebagai pengetua kedua.
Pada peringkat awal, sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan iaitu blok A, B, C dan D dengan 31 orang guru, 3 orang kakitangan dan 520 orang murid. Pertambahan murid yang berterusan menyebabkan sekolah akhirnya mengalami kekurangan bilik darjah. Natijahnya, sekolah telah mendapat dua buah bangunan berbentuk kabin pada tahun 2008 dan 2 blok bangunan baru (blok Sarjana) untuk tingkatan enam telah dibina pada tahun 2010. Kini, sekolah dilengkapi dengan prasarana yang lengkap.