Kewujudan sekolah kebangsaan bawah pentadiran La Salle Brothers bermula di Asia pada tahun 1852 apabila mereka mendirikan Institusi St Xavier di Pulau Pinang. Sejak itu, rangkaian sekolah rendah dan menengah La Salle telah dibangunkan di seluruh negara. Setelah tamatnya zaman penjajahan, La Salle Brothers terus menetap di Malaysia untuk menguruskan sekolah-sekolah mereka. Semasa pendudukan tentera Jepun di negara ini, hampir semua La Salle Brothers yang berwarganegara asing telah dipenjarakan. Sekolah-sekolah Katolik terus berkembang walaupun apabila La Salle Brothers semakin berkurangan bilangannya. La Salle Brothers telah menjadi antara pengasas pendidikan moden di Malaysia dan pendidikan Lasallian terus menjadi sebahagian penting dalam sistem pendidikan tempatan sehingga masa kini. Terdapat lebih kurang 25 buah Sekolah Kebangsaan La Salle di Malaysia.
Sekolah Kebangsaan La Salle adalah sekolah yang tertua di negeri Selangor. Terletak di Persiaran Raja Muda Musa Klang. Menyingkap tabir sejarah Sekolah La Salle, dahulunya adalah gabungan tiga buah sekolah iaitu Sekolah St Bernadette's, La Salle Institution Klang dan Sekolah La Salle Klang. Akhirnya nama Sekolah La Salle Klang telah dipilih untuk mewakili nama ketiga-tiga sekolah ini. Berdiri teguh sehingga hari ini adalah Sekolah La Salle Klang yang terdiri daripada Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle dan Sekolah Menengah La Salle Klang. Sekarang kedua-dua sekolah ini telah menjadi Sekolah Menengah Kebangsaan La Salle dan Sekolah Kebangsaan La Salle. Kedua-dua buah sekolah ini tersergam gagah dan megah di dalam satu kawasan.
Dahulunya Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle Klang dikenali sebagai St Bernadett's Institution. Ia ditubuhkan oleh Reverend Father L. Guittart pada tahun 1940. Ketika itu pengawasannya adalah di bawah pentadbiran gereja, memandangkan kedudukannya di perkarangan gereja Katolik. Hanya terdapat 37 orang pelajar sahaja semasa penubuhannya itu.
Pada tahun 1950 nama sekolah ditukar dari St. Bernadette's Institution kepada La Salle Institution mengikut nama sekolah induk iaitu St. John Institution di Kuala Lumpur.
1950an: Bangunan sekolah ketika dalam pembinaan.
Pada tahun 1952 nama sekolah ini ditukar sekali lagi kepada Sekolah La Salle Klang. Pada masa itu terdapat 300 orang murid dan 15 orang guru. Kelas-kelas yang terdapat pada masa itu adalah dari darjah satu higga darjah tujuh. Murid-murid yang lulus dalan darjah tujuh telah diserapkan ke Sekolah Tinggi Klang dan Sekolah Anglo Chinese Klang. Perubahan yang pesat di bidang pendidikan menyebabkan Reverend Brother Visitor dan pihak gereja membeli sebidang tanah supaya bangunan sekolah baru yang lebih lengkap didirikan. Tanah yang dibeli adalah seluas 12 ekar dan terletak berhampiran jalanraya.
Diatas tanah seluas 12 ekar itulah bangunan sekolah baru didirikan. Brother Stephen Philip O Callaghan merupakan 'Pengarah' Sekolah La Salle Klang yang pertama. Berbagai-bagai usaha telah dilakukan oleh Brother Stephen Philip O Callaghan untuk mendapat sumber kewangan ba mendirikan sekolah baru tersebut. Hasil daripada usaha gigih Brother berkenaan, maka pada tahun 1956 impian untuk melihat sebuah sekolah yang baru telah menjadi kenyataan. Pada 20 Februari 1957 sekolah tersebut telah dibuka dengan rasminya oleh Paderi Besar Tan Sri Dominic Vendargon.
1950an: Bangunan sekolah ketika dalam pembinaan.
Pada tahun 1958 Brother Leo Manicasamy telah dipilih untuk menjadi "Pengarah" Sekolah La Salle yang baru bagi mengantikan Brother Stephen Philip O Callaghan. Semasa itu, satu perubahan besar telah berlaku di mana Sekolah La Salle Klang dibahagi dua, iaitu Sekolah Rendah dari Darjah Satu hingga Darjah Enam dan Sekolah Menengah dari Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima. Pada tahun 1964, Brother Celestine Jennings telah menjadi pengetua Sekolah Menengah dan Brother Leo Manicasamy telah menjadi pengetua Sekolah Rendah.
Bumi berputar zaman berlalu. Perubahan demi perubahan sering berlaku. Hari ini Sekolah Rendah Kebangsaan La Salle Klang tersenyum dan tersergam megah bersama arus pembangunan seiring perkembangan pendidikan negara.
1977: Gambar kantin sekolah yang dibina pada 1971.
1960an: Bukit Lipat Kajang boleh dilihat di sebelah belakang. Bengkel Kemahiran Hidup antara bangunan awal yg dibina di kawasan sekolah. Kelihatan gelanggang bola keranjang yang telah dijadikan dewan terbuka SK La Salle pada ketika ini.