PENGENALAN

Jogathon merupakan salah satu cabang sukan yang melibatkan aktiviti pergerakan fizikal yang dipertandingkan dan berbentuk keseronokan selain daripada melibatkan larian yang beramai – ramai.Aktiviti ini dirancang khusus untuk memenuhi hasrat menambah tabung pendidikan sekolah selarin daripada ingin berekreasi dan beriadah untuk mencapai keperluan kesihatan diri secara optima dengan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat. Badan yang sihat menjelmakan minda yang cerdas merupakan aspek yang harus dijaga, dipelihara dan ditingkatkan untuk indeks prestasi kecergasan yang maksima. Dalam hal ini, aktiviti jogathon adalah medium yang berkesan ke arah mencapai gaya hidup yang berkualiti dalam menghadapi arus kehidupan seharian sebagai insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

TUJUAN

Aktiviti ini dirancang secara teliti dan sistematik bertujuan untuk menambah tabung kewangan kurikulum dan kokurikulum sekolah dalam usaha melonjakkan kecemerlangan dalam peperiksan awam dan penyertaan aktiviti kokurikulum misalnya sukan sama ada diperingkat daerah, negeri mahupun kebangsaan khususnya.

OBJEKTIF

  • Mencari sumber dan dana kewangan untuk menampung perancangan dan pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
  • Merapatkan jurang perbezaan yang ketara antara aktiviti kurikulum dan aktiviti kokurikulum dalam usaha meningkatkan kualiti modal insan pelajar.
  • Mewujudkan interaksi berkesan antara pemimpin dan masyarakat, antara masyarakat dan golongan pendidik dan antara pelajar sekolah dengan guru dan pelajar sekolah lain.
  • Mewujudkan semangat satu budaya cergas dalam kalangan warga sekolah dan amalan cara hidup sihat melalui aktiviti fizikal.
  • Melahirkan satu masyarakat dan warga sekolah yang bersatu padu sesuai dengan pembentukkan bangsa Malaysia.

KANDUNGAN

  • Aktiviti jogathon yang melibatkan kutipan /sumbangan derma melalui kad jogathon yang dibenarkan oleh pihak keselamatan (berpermit)
  • Aktiviti jogathon yang melibatkan pergerakan dan larian warga sekolah, masyarakat dan jemputan ke sekolah – sekolah.
  • Persembahan senamrobik /tarian igal – igal identiti kaum bajau sebagai lambang maruah bangsa.