Laman Pembelajaran Sejarah
Laman Pembelajaran Sejarah
(Terima kasih kepada guru-guru yang menyediakan bahan)
1. TRIAL SEJ SELANGOR SET 1 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
2. TRIAL SEJ SELANGOR SET 2 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
3. TRIAL SEJ SELANGOR SET 3 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
4. TRIAL SEJ PERAK 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
5. TRIAL SEJ JOHOR 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
6. TRIAL SEJ SABAH 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
7. TRIAL SEJ PAHANG 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
8. TRIAL SEJ PUTRAJAYA 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
9. TRIAL SEJ MELAKA 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
10. TRIAL SEJ KELANTAN 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
11. TRIAL SEJ TERENGGANU 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
12. TRIAL SEJ N9 2022 ( 2 PILIHAN JAWAPAN)
13. TRIAL SEJ JOHOR (KOTA TINGGI) 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
14. TRIAL SEJ KL 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
15. TRIAL SEJ PERLIS 2022 (2 PILIHAN JAWAPAN)
16. TRIAL SEJ PUTRAJAYA 2022 (2 PILIHAN)
17. TRIAL SEJ SARAWAK 2022 (2 PILIHAN)
18. TRIAL SEJ MRSM 2022 (2 PILIHAN)
9. K1 TRIAL SABAH (LAHAD DATU)
11. K1 TRIAL KEDAH
Format SPM
Elemen Pilihan DSKP Sejarah Tingkatan 4 dan Tingkatan 5
1. KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI (KBAT)
KBAT dinyatakan dalam kurikulum secara eksplisit supaya guru dapat menterjemahkan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi merangsang pemikiran berstruktur dan berfokus dalam kalangan murid. Penerangan KBAT adalah berfokus kepada empat tahap pemikiran seperti Jadual 3.
Jadual 3: Tahap pemikiran dalam KBAT
TAHAP PEMIKIRAN dan PENERANGAN
Mengaplikasi: Menggunakan pengetahuan, kemahiran, dan nilai dalam situasi berlainan untuk melaksanakan sesuatu perkara.
Menganalisis: Mencerakinkan maklumat kepada bahagian kecil untuk memahami dengan lebih mendalam serta hubung kait antara bahagian berkenaan.
Menilai: Membuat pertimbangan dan keputusan menggunakan pengetahuan, pengalaman, kemahiran, dan nilai serta memberi justifikasi.
Mencipta: Menghasilkan idea atau produk atau kaedah yang kreatif dan inovatif.
KBAT ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. KBAT merangkumi kemahiran berfikir kritis, kreatif dan menaakul serta strategi berfikir.
Kemahiran berfikir kritis adalah kebolehan untuk menilai sesuatu idea secara logik dan rasional untuk membuat pertimbangan yang wajar dengan menggunakan alasan dan bukti yang munasabah.
Kemahiran berfikir kreatif adalah kemampuan untuk menghasilkan atau mencipta sesuatu yang baharu dan bernilai dengan menggunakan daya imaginasi secara asli serta berfikir tidak mengikut kelaziman.
Kemahiran menaakul adalah keupayaan individu membuat pertimbangan dan penilaian secara logik dan rasional.
Strategi berfikir merupakan cara berfikir yang berstruktur dan berfokus untuk menyelesaikan masalah.
KBAT boleh diaplikasi dalam bilik darjah melalui aktiviti berbentuk menaakul, pembelajaran inkuiri, penyelesaian masalah dan projek. Guru dan murid perlu menggunakan alat berfikir seperti peta pemikiran dan peta minda serta penyoalan aras tinggi untuk menggalakkan murid berfikir.
2. STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Keberkesanan dan kejayaan PdP KSSM Sejarah bergantung kepada kreativiti guru merancang, mengolah dan melaksanakan pendekatan, kaedah, teknik secara bersepadu dan sistematik. Guru juga mesti memberi fokus kepada penerapan dan pengamalan yang berterusan tentang Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik. Guru hendaklah mengajar kandungan Sejarah berpandukan standard pembelajaran dan disepadukan dengan Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik semasa melaksanakan PdP.
Dalam aspek pedagogi, penekanan terhadap pembelajaran secara mendalam merupakan salah satu cara pendekatan berpusatkan murid. Guru hendaklah merancang PdP yang berpusatkan murid bagi menggalakkan penglibatan aktif murid agar dapat menimbulkan suasana PdP yang menarik. Pembelajaran aktif yang dilaksanakan dalam pendekatan secara mendalam dapat meningkatkan kompetensi murid dengan mengaplikasikan KBAT dalam pengetahuan, kemahiran dan nilai. Antara kaedah PdP Sejarah adalah seperti berikut:
Kajian Kes
Kajian kes ialah pembelajaran melalui penerokaan yang melibatkan pengetahuan, pelibatan diri, kemahiran kreativiti dan pengaplikasian metodologi sejarah. Pengalaman menjalankan kajian kes dapat menggalakkan kemahiran penyelesaian masalah dan sikap ingin tahu. Kajian kes merupakan satu komponen dalam kurikulum Sejarah yang wajib dilaksanakan sebagai pendedahan kepada murid untuk mengaplikasikan KPS. Kajian kes ini mesti dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali setahun. Kajian ini juga melibatkan kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta idea berdasarkan fakta-fakta sejarah.
Pembelajaran Berasaskan Inkuiri
Kemahiran Inkuiri dapat mengembangkan kemahiran berfikir dan sikap ingin tahu dalam kalangan murid. Semasa melaksanakan inkuiri, murid akan lebih peka kepada keadaan masyarakat dan persekitarannya.
Kemahiran Inkuiri merupakan kaedah PdP yang berpusatkan murid. Murid berperanan merancang dan menjalankan aktiviti pembelajaran. Mereka melibatkan diri secara aktif untuk mencari dan mengumpul maklumat melalui pelbagai aktiviti seperti memerhati, mendengar, menyoal, berbincang, membuat rujukan, ujikaji dan kaji siasat. Aktiviti ini boleh dijalankan secara berasingan atau digabungkan dalam pelbagai Teknik pembelajaran seperti kerja projek, simulasi, lawatan, main peranan dan kuiz.
Kemahiran Inkuiri digunakan dalam kajian kes kerana membolehkan murid memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran melalui penaakulan. Kemampuan mencari dan mengumpul maklumat melalui pelbagai aktiviti tersebut dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang lebih bermakna dan berkesan. Menerusi kemahiran ini, guru juga boleh berperanan sebagai pembimbing untuk merangsang minat murid
menjadi lebih yakin dalam menjalankan aktiviti pembelajaran.
Pembelajaran Berasaskan Kajian Masa Depan
Kajian Masa Depan (KMD) ialah suatu pendekatan pengajaran untuk mendidik murid agar lebih prihatin terhadap sesuatu perkara atau isu yang berlaku pada masa lampau, masa kini dan masa depan. Ini bermakna murid dapat membuat ramalan, menjangka akibat serta mengendalikan perubahan supaya mereka mendapat manfaat yang maksimum. Pengajaran berasaskan KMD merupakan strategi secara saintifik yang dibina untuk menambahkan keupayaan murid dalam menghadapi pelbagai cabaran hidup dan membuat keputusan. Dalam mata pelajaran Sejarah, murid diajar menggunakan pemikiran kritis dan kreatif untuk meninjau perubahan keadaan daripada masa lalu sehingga ke masa kini dan meramalkan keadaan pada masa hadapan.
Pembelajaran Luar Bilik Darjah
Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD) ialah aktiviti luar bilik darjah yang terancang dan berstruktur serta berpusatkan murid. Aktiviti ini bertujuan menyokong dan mengukuhkan pelaksanaan kurikulum sekolah yang merangkumi persekitaran pembelajaran yang progresif. PLBD memberikan pengalaman pembelajaran dalam situasi yang sebenar, bermakna dan menyeronokkan. Selain itu, PLBD boleh mengembangkan kemahiran sosial dan kerja berpasukan dalam kalangan murid. Sebagai contoh, membuat lawatan sambil belajar ke tempat-tempat bersejarah seperti muzium, arkib atau tapak warisan. Melalui aktiviti ini, murid dibimbing untuk mengaitkan pengalaman sebenar dengan peristiwa-peristiwa sejarah yang dipelajari dalam bilik darjah.
Belajar Cara Belajar
Belajar Cara Belajar ialah suatu proses untuk memperoleh Teknik belajar sama ada bersama guru atau tanpa guru. Pendekatan ini bertujuan untuk menyediakan murid yang berupaya belajar sendiri, menggunakan pengetahuan sedia ada, rakan-rakan dan bahan lain sebagai sumber pembelajaran. Pendekatan ini membolehkan murid membuat refleksi dan menilai tahap pembelajaran sendiri serta mampu mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran dalam situasi yang berlainan.
Pembelajaran Masteri
Pembelajaran Masteri merujuk kepada pendekatan PdP bagi memastikan murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini digunakan kerana murid mempunyai kebolehan dan keperluan yang berbeza dalam pembelajaran. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi serta proses PdP yang berkualiti. Sebagai contoh, kaedah ini dilaksanakan dengan membahagikan tajuk-tajuk yang besar kepada bab-bab atau unit-unit yang kecil yang mempunyai objektif yang tersendiri bagi memudahkan murid menguasai isi pelajaran sebelum beralih kepada tajuk yang seterusnya.
Pembelajaran Akses Kendiri
Pembelajaran Akses Kendiri ialah pendekatan yang membolehkan murid belajar secara kendiri melalui penggunaan bahan pembelajaran. Murid diberi peluang memilih aktiviti, menilai hasil kerja dan memantau kemajuan mereka sendiri agar mereka bertanggungjawab dan berdikari atas pembelajaran mereka. Dalam Pembelajaran Akses Kendiri, bahan pembelajaran direka dan diuruskan supaya murid belajar mengikut minat, keperluan, tahap kemampuan dan gaya pembelajaran mereka. Murid juga boleh mengetahui maklum balas pencapaian mereka kerana Pembelajaran Akses Kendiri menyediakan pentaksiran kendiri.
Pembelajaran Secara Kontekstual
Pembelajaran Kontekstual ialah kaedah pembelajaran yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian individu, masyarakat dan persekitaran. Kaedah ini menyediakan pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti hands-on dan minds-on. Dalam pembelajaran Sejarah, murid membina persekitaran pembelajaran melalui proses pengalaman, penemuan, pengukuhan dan menghubungkaitkan persekitaran dengan peristiwa sejarah yang dipelajari.
Pembelajaran Secara Konstruktivisme
Konstruktivisme ialah suatu kaedah pembelajaran yang menggalakkan murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan sejarah dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan ilmu pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru. Guru sebagai pembimbing perlu membantu proses ini dengan menggunakan strategi dan kaedah pengajaran yang menggalakkan murid untuk membuat analisis, tafsiran dan amalan kendiri. Guru harus mendorong proses pembelajaran murid dengan mengemukakan soalan-soalan terbuka dan sering mengadakan perbincangan kumpulan dalam kalangan murid.
Aplikasi Teori Kecerdasan Pelbagai
Teori Kecerdasan Pelbagai (TKP) merupakan suatu pendekatan PdP yang berasaskan kecerdasan murid yang pelbagai. TKP terdiri daripada lapan jenis kecerdasan iaitu verbal-linguistik, logik-matematik, visual-ruang, kinestetik, muzik, interpersonal, intrapersonal dan naturalis. Melalui pendekatan ini, guru dapat mengenal pasti persamaan dan perbezaan keupayaan individu murid yang unik. Mereka belajar dan dinilai dengan cara yang berlainan bagi meningkatkan kecerdasan dan potensi yang tidak terbatas bagi membantu murid menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar.
Pembelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam PdP bermaksud menggunakan TMK secara berfikrah, terancang dan bersesuaian dengan keperluan pembelajaran bagi meningkatkan kefahaman dan penguasaan murid terhadap pelajaran. Penggunaan TMK juga memberi peluang pembelajaran yang sama kepada semua murid yang pelbagai keupayaan bagi meningkatkan motivasi diri, di samping membolehkan murid mengamalkan pembelajaran kendiri.
Aplikasi Teknik Theory of Constraints
Teknik Theory of Constraints (TOC) ialah cara PdP berasaskan pemikiran yang logik dan sistematik. Proses ini menggunakan teknik pemikiran kritis dan kreatif yang mudah dan konkrit. Teknik ini membolehkan murid menggunakan alat dan teknik berfikir dalam pembelajaran mereka. Aplikasi teknik ini mampu untuk melibatkan murid secara kolaboratif iaitu bersesuaian dengan konsep pembelajaran berpusatkan murid. Ini menyediakan mereka dengan kemahiran bagi mencapai matlamat, menyelesaikan masalah dengan berkesan, membuat keputusan, berkomunikasi dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan
seharian. Dalam pembelajaran Sejarah, kaedah ini dapat membantu murid membuat andaian dan pertimbangan mengenai peristiwa sejarah berdasarkan fakta yang tepat iaitu melalui pentarikhan serta bukti sebenar sesuatu peristiwa sejarah.
Teknik Belajar Sambil Bermain
Belajar Sambil Bermain ialah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur bagi memberi peluang kepada murid belajar dalam suasana yang bebas dan selamat, menggembirakan dan bermakna. Teknik ini memerlukan perancangan rapi supaya pembelajaran mempunyai unsur seperti:
i. bermain secara terancang;
ii. bermain secara berstruktur;
iii. bermain secara fleksibel; dan
iv. memenuhi keperluan kognitif, psikomotor dan afektif