SEJARAH SEKOLAH
SJK (C) YOK MING, KANOWIT
SJK Yok Ming terletak di Nanga Sah, Kanowit. Sekolah ini kira-kira 4 kilometer jauhnya dari Pekan Kanowit. Sekolah ini ditubuhkan untuk membolehkan kanak-kanak yang tinggal di kampung ini dan kampung-kampung berhampiran itu menerima pendidikan. Masyarakat di kampung ini agak mementingkan pendidikan dan masa depan anak-anak mereka.
Sebelum ini, penduduk-penduduk terpaksa menghantar anak-anak mereka yang cukup umur ke sekolah-sekolah yang lebih jauh seperti SJK Shing Hua di Sungai Lukut dan SJK Yee Ting di Pekan Kanowit. Ramai juga yang membiarkan kanak-kanak tercicir dari sekolah.
Apabila bilangan penduduk di kawasan ini semakin bertambah, pemimpin masyarakat bersama dengan ibu bapa pun bercadang menubuhkan sebuah sekolah di kawasan ini untuk memudahkan kanak-kanak setempat menerima pendidikan.
Encik Kong Sui Guan dengan ikhlasnya mendermakan sebidang tanah seluas 0.55 ekar di Lot 160, Lukut Land sebagai tapak sekolah. Jawatankuasa Penubuhan Sekolah telah dilantik bertujuan mencari sumber kewangan sebagai modal pembinaan bangunan sekolah.
Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Yang Pertama
Pengerusi : Encik Leong Shong Chin
Naib Pengerusi : Encik Liong Fuk
Setiausaha : Encik Kong Saw Fah
Bendahari : Encik Liong Chung Nyuk
Supervisor : Encik Kong Seng Song
Juru Audit : Encik Liong San Kew
Jawatankuasa ini bersama dengan pengasas-pengasas sekolah yang lain seperti Encik Chong Kim Hun, Encik Liong Yun Po, Encik Kong Wai Chin, Encik Liong Ping Hong telah mengemukakan permohonan penubuhan SJK Yok Ming kepada pihak kerajaan. Pada tahun 1953, SJK Yok Ming telah dibenarkan untuk mengendalikan Kelas Didikan Asas (Darjah 1- Darjah 3).
Ketika itu juga, masyarakat setempat menghadapi masalah kewangan dalam pembinaan bangunan sekolah. Ini adalah disebabkan oleh kemelesetan ekonomi negara dan ekonomi dunia. Mereka terpaksa bertungkus-lumus untuk mengutip derma daripada orang awam di Pekan Kanowit dan juga di tempat lain.
Akhirnya, bangunan sekolah yang mudah telah siap dibina pada akhir tahun 1953. Jawatankuasa Pengurusan Sekolah yang diketuai oleh Encik Leong Shong Chin telah berjaya mendaftarkan lebih daripada tiga puluh orang kanak-kanak sebagai murid sekolah ini. Encik Liong Chong Wee telah dilantik sebagai Guru Besar di sekolah ini. Encik Kong Seng Song pula menjadi ‘supervisor’ pada masa itu.
Beberapa tahun kemudian, bilangan murid bertambah dengan pesatnya. Lebih daripada 130 orang murid telah menuntut di sekolah ini. Bangunan sekolah dan kelengkapannya tidak cukup menumpang permintaan itu. Jawatankuasa Pengurusan Sekolah terpaksa mencari jalan untuk memperkembangkan kelengkapan sekolah. Sebuah bilik darjah baru telah dibina untuk tujuan ini. Mereka juga mengupah seramai 4 orang guru untuk mendidik murid-murid yang terdiri daripada beberapa peringkat umur. Murid-murid itu berasal dari Nanga Sah, Nanga Pedai di seberang Sungai Rajang dan Kawasan Panto Mali.
Pada tahun 1959, Encik Chan Yun Fei telah dilantik sebagai Guru Besar di sekolah ini. Encik Chan merupakan seorang guru lepasan maktab perguruan. Beliau berkhidmat selama 5 tahun, iaitu sehingga tahun 1963 di sekolah ini.
Jawatan Guru Besar disandang oleh Encik Liong Chung Hun pada tahun 1964 dan Encik Tan Joo Giaw pada tahun 1965 hingga 1982.
Sebelum 1973, yuran sekolah yang dikutip daripada murid-murid merupakan sumber gaji guru-guru. Hanya apabila yuran yang dikutip itu tidak cukup untuk membayar gaji kepada guru-guru, barulah subsidi diberi oleh Kementerian Pendidikan.
Keadaan bertambah baik pada tahun 1973, apabila sekolah mendapat bantuan kewangan dalam pembelian alat tulis dan gaji guru dibiayai oleh Kementerian Pendidikan.
Bilangan murid di sekolah ini semakin merosot pada tahun-tahun 1970-an. Menurut Jawatankuasa Pengurusan Sekolah dan masyarakat setempat, ini disebabkan oleh had umur kemasukan sekolah kanak-kanak. Ada juga yang menyatakan bahawa ini disebabkan oleh barisan pengajar yang kurang cekap dan tidak berdedikasi. Ini mengakibatkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah lain walaupun jaraknya lebih jauh. Mereka tidak berkeyakinan terhadap barisan pendidik pada ketika itu.
Keadaan ini beransur-ansur berubah dan pulih apabila Kementerian Pendidikan melantik Encik Ting Chek Ching sebagai Guru Besar sekolah ini pada tahun 1982. Pada ketika itu, sekolah ini hanya mempunyai enrolmen seramai 17 orang murid sahaja dan hanya dua orang guru ditugaskan di situ.
Encik Ting telah berubah dengan sedaya upaya dalam pengajaran dan pentadbiran sekolah. Taraf pencapaian murid-murid mula meningkat. Keadaan sekolah juga kelihatan kemas dan bersih.
Dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Sekolah yang sedia ada, pelbagai projek seperti berikut telah dilaksanakan.
Tahun Projek
1985 Projek Pembinaan Gelanggang Bola Keranjang
1986 Projek Pembinaan Jeti Sekolah yang baru
1986 Projek Pembinaan Lorong Simen
1990 Projek Pembinaan Bilik Ping Pong
1991 Projek Pembinaan Varendah Bilik Darjah
1991 Projek Pembinaan Jeti Sekolah
1991 Projek Pembinaan Bilik Guru
1997 Projek Pembinaan Bilik Guru Besar dan dapur
2012 Projek Pembinaan Bangunan Baharu Sekolah
Dengan daya usaha dan juga adanya barisan pendidik yang lebih baik, masyarakat setempat telah berkeyakinan semula terhadap jentera sekolah ini. Mereka telah menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini semula. Ini menyebabkan bilangan murid di sekolah ini semakin meningkat.
Jawatankuasa Pengurusan Sekolah yang sedia ada juga mencadangkan beberapa cadangan projek yang perlu dan akan dijalankan dengan secepat mungkin. Cadangan-cadangan itu adalah seperti yang berikut:
I. Projek Pemasangan Siling Di Bilik-bilik Darjah
- Projek ini dianggar memerlukan belanja sebanyak RM4,600.00.
- Tujuannya untuk
Mengelakkan pengotoran kelengkapan dan Bahan Bantu Belajar (BBB) oleh tahi kelawar.
Menjaga keselamatan kelengkapan dan Bahan Bantu Belajar (BBB) serta mengelakkan pencerobohan.
Mengurangkan bunyi bising pada waktu hujan.
II. Projek Pendawaian Untuk Bangunan Sekolah
- Pendawaian untuk bangunan-bangunan sekolah diperlukan untuk mendapatkan bekalan elektrik awam.
- Tujuannya :
Membekalkan elektrik kepada alat-alat elektrik seperti kipas dan lampu.
Lampu perlu dipasang untuk mengelakkan kegelapan pada awal pagi dan pada waktu hujan.
Kipas siling seboleh-bolehnya dipasang untuk mengurangkan bahang panas supaya membaiki keadaan pembelajaran.
- Projek ini dianggar memerlukan perbelanjaan sebanyak RM 2,400.00.
III. Projek Pembinaan Pagar Sekolah
- Pagar sekolah sangat diperlukan untuk menjaga keselamatan kelengkapan dan kemudahan sekolah.
- Pagar dapat mengelakkan pencerobohan dan kecurian, khasnya pada waktu cuti panjang sekolah.
- Alat bantuan mengajar dan karya-karya murid tidak dapat dipamerkan dalam bilik darjah kerana sering dirosakkan oleh orang awam yang masuk ke kawasan sekolah dan bilik darjah secara bebas.
- Mangga-mangga yang dipasang di pintu-pintu bilik darjah selalu dirosakkan oleh mereka yang cuba menceroboh.
- Projek ini dianggar memerlukan perbelanjaan sebanyak RM 15,000.00.
Dengan daya usaha Jawatankuasa Pengurusan Sekolah, Guru Besar dan guru-guru, semoga SJK Yok Ming semakin membesar dan berkembang maju.
Akhirnya, dengan usaha pihak Jawatankuasa Pengurusan Sekolah dan Kementerian Pendidikan, pagar sekolah telah didirikan pada tahun 1996, maka kes kecurian dan kerosakkan alat bantu mengajar telah berkurangan dan bertambah baik.
Guru Besar Yang Pernah/ Sedang Menjalankan Tugas:
姓名 年份
1
梁重伟 En. Liong Chong Wee 1954 – 1958
2
陈鸳飞 En. Mark Chan Yun Fei 1959 – 1963
3
梁重华 En. Liong Chung Huan 1964 – 1964
4
陈如尧 En. Tan Joo Giaw 1965 – 1982
5
陈则振 En. Ting Chek Ching 1982 – 2000
6
黄德恩 En. Wong Teck Ong 2001 – 2003
7
陆丽英 Pn. Luk Li Ing (menjalankan tugas) 2004 – 2008
8
林晓冰 Pn. Ling Siew Bing 2008 – 2015
9
林丽香 Pn. Lim Lee Siang 2016 – 2025
10
叶军松 En. Freddy Yap Khun Sung 2025 - 现在