SEJARAH SK SUPER

Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam telah didirikan pada 10.10.1949 dengan nama asal Sekolah Melayu Sungai Pergam. Allahyarham Tok Sidang Encik Sariman bin Marijo telah mengetuai usaha penduduk untuk menubuhkan sekolah ini bagi memastikan penduduk Kampung Sungai Pergam tidak tertinggal dari arus pendidikan negara.

Pada awal 1950, sekolah ini dibuka secara rasmi oleh Pegawai Pelajaran Telok Anson (kini Teluk Intan). Guru Besar terawal di sekolah ini ialah Allahyarham Tuan Haji Mohd Khan bin Jamal. Jumlah murid pada ketika itu ialah 72 orang dan gurunya pula ialah 2 orang sahaja.

Pada 1955, sekolah ini telah dilanda ribut dan muridnya ditumpangkan secara sementara di Sekolah Agama Rakyat Parit Tiga, Kampung Sungai Pergam. Pada 1956, Pejabat Pelajaran Daerah telah mendirikan bangunan baru berukuran 120 x 20 kaki yang mengandungi 4 bilik darjah tanpa pejabat. Murid pada waktu itu berjumlah 145 orang dalam 6 aliran dan beroperasi selama 25 tahun dengan 6 orang guru besar.

Pada permulaannya tapak cadangan SK Sungai Pergam adalah di tepi jalan utama menghala ke Tanah Lalang, namun setelah perbincangan diadakan dengan mengambil kira kepadatan penduduk adalah di sekitar parit 3 hingga 7, maka lokasi di yang ideal untuk dibina sekolah adalah di tengah-tengah Kg. Sg. Pergam iaitu di Parit 5. Kemudian, penduduk kampung telah memohon kepada kerajaan persekutuan supaya membina bangunan kekal di atas tanah ladang yang dipohon seluas 6 ekar. Lokasinya ialan 200 meter dari tapak asal sekolah lama. Bangunan dua tingkat ini berukuran 144 x 36 kaki. Ianya dapat memuatkan 6 bilik darjah, pejabat dan sebuah bangunan kantin berukuan 100 x 50 kaki. Pada Julai 1981, bangunan ini mula digunakan secara rasmi.

Bangunan ini telah dirasmikan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia sewaktu itu iaitu Allahyarham Tun Ghafar bin Baba pada 10.10.1987. Pada 1996, bangunan ini dilengkapkan dengan bekalan elektrik 24 jam oleh KPM dan bekalan air dari LAP.

SK Sungai Pergam pernah mencatat jumlah enrolmen tertinggi murid melebihi 200 orang untuk satu-satu masa. Namun kini setelah arus permodenan semakin pesat, kewujudan pelbagai sekolah-sekolah baru berdekatan, kemudahan jalanraya yang baik serta faktor penghijrahan golongan muda keluar dari Kampung Sungai Pergam menyebabkan enrolmen murid semakin menurun sehingga sekitar 30-40 murid.

Pada sesi persekolahan 2009, Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam memiliki 18 orang pelajar lelaki dan 14 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 32 orang. Ia mempunyai seramai 8 orang guru.

Pada sesi persekolahan 2015, Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam memiliki 17 orang murid lelaki dan 15 orang murid perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 32 orang. Ia mempunyai seramai 13 orang guru.

Pada sesi persekolahan 2017, Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam memiliki 21 orang murid lelaki dan 18 orang murid perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 39 orang. Ia mempunyai seramai 10 orang guru termasuk guru besar dan 1 orang staf sokongan. sekolah juga mempunyai kakitangan swasta pembersihan seramai 3 orang dan 4 orang pengawal keselamatan.

Pada sesi persekolahan 2018, Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam (SUPER) memiliki 20 orang pelajar lelaki dan 17 orang pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 37 orang. SKSP mempunyai seramai 10 orang guru (waran perjawatan yang ditetapkan ialah 11 orang guru)

Pada sesi persekolahan 2020 (kemaskini ogos 2020), Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam (SUPER) memiliki enrolmen murid keseluruhannya seramai 36 orang (23 lelaki dan 13 perempuan). Manakala guru seramai 11 orang termasuk pentadbir.

Pada sesi persekolahan 2021 (kemaskini disember 2021), Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam (SUPER) memiliki enrolmen murid keseluruhannya seramai 36 orang (20 lelaki dan 16 perempuan). Manakala guru seramai 9 orang termasuk pentadbir.

Pada sesi persekolahan 2022/2023 (kemaskini Jun 2022), Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam (SUPER) memiliki enrolmen murid keseluruhannya seramai 33 orang (16 lelaki dan 17 perempuan). Manakala guru seramai 10 orang termasuk pentadbir Guru Besar, seorang AKP (PT), 2 orang pekerja pembersihan swasta dan 2 orang pengawal keselamatan.

Pada sesi persekolahan 2023/2024 (kemaskini Sept 2023), Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam (SUPER) memiliki enrolmen murid keseluruhannya seramai 38 orang (20 lelaki dan 18 perempuan). Manakala guru seramai 10 orang termasuk pentadbir Guru Besar, seorang AKP (PT), 2 orang pekerja pembersihan swasta dan 2 orang pengawal keselamatan serta seorang peniaga kantin.