SEJARAH SEKOLAH

Pembukaan SMK Bandar Baru Batang Kali bermula dengan pelantikan Puan Rohaini binti Hayon sebagai Pengetua pada 1 Disember 2000. Beliau diarahkan membuka sekolah baharu mulai sesi persekolahan 2001. Semasa mendapat surat pelantikan dan surat arahan, beliau diberi senarai nama guru yang akan berkhidmat di sekolah ini. Usaha telah dijalankan sebulan sebelum sesi persekolahan 2001 bermula. 

Satu mesyuarat pengurusan sekolah telah dijalankan bersama-sama dua orang Penolong Kanan yang dicadangkan iaitu Puan Lan Rasni binti Talib sebagai Penolong Kanan 1 dan Encik Ahmad Niza bin Mat Mor sebagai Penolong Kanan HEM. Perbincangan menyentuh tentang penerimaan kemasukan murid baharu ke Tingkatan 1 tahun 2001 dan sebanyak 7 buah kelas akan dibuka. Pada Januari 2001, murid-murid SMK Bandar Baru Batang Kali seramai 277 orang dan guru berjumlah 23 orang telah memulakan sesi persekolahan dengan menumpang di SMK Syed Mashor pada sebelah petang. Walaupun serba kekurangan dengan jumlah staf sokongan seramai 2 orang dan saiz pejabat yang kecil, persekolahan tetap berjalan lancar. 

Pada Mac 2001, pra penyerahan bangunan sekolah dilakukan oleh pihak JKR. Pihak pentadbir sekolah telah menyemak dan mengkaji kerosakan bangunan sebelum penyerahan secara rasmi dilakukan. Pada masa yang sama, pihak pengurusan telah memohon peralatan pejabat serta keperluan lain dan pada bulan April segala peralatan kelas dapat disediakan. Penyerahan sebenar telah dilakukan pada 5 April 2001. Dalam tempoh sebulan, sekolah perlu bersedia sebelum memulakan operasi selepas cuti penggal iaitu pada 26 Mei 2001. 

Dengan usaha pihak pengurusan sekolah, program gotong-royong telah dijalankan sebanyak 2 kali untuk membersihkan kawasan, menyediakan bilik sembahyang, bengkel, dan kelas-kelas yang hendak dibuka sahaja. Gotong-royong ini dijayakan bersama oleh guru-guru, ibu bapa serta murid-murid Tingkatan 1. Majlis bacaan yasin dan solat sunat hajat dijalankan sebelum penggal baharu persekolahan dibuka. Akhirnya dengan usaha pengetua serta pihak pentadbir yang lain, SMK Bandar Baru Batang Kali akhirnya berjaya direalisasikan pembukaannya pada 26 Mei 2001 (Sabtu). Sebagai sebuah sekolah baharu, sekolah telah menerima geran permulaan sebanyak RM50,000 untuk membeli bahan-bahan serta peralatan lain selain daripada perabot dan peralatan pejabat. 

Pada tahun 2002, 9 buah kelas lagi dibuka untuk Tingkatan 1 dan 3 kelas Tingkatan 4. Murid-murid Tingkatan 4 dipindahkan daripada SMK Syed Mashor dan murid sekolah lain yang tinggal berdekatan kawasan sekolah. Sekolah menerima guru-guru baharu yang bertukar dari sekolah-sekolah lain. Sehingga November 2002, seramai 47 orang guru berkhidmat di sekolah ini dengan murid berjumlah 611 orang. Pelbagai prasarana berjaya dilengkapkan seperti padang bola sepak, Pusat Sumber Sekolah, Bilik Bimbingan & Kaunseling, bilik guru, bengkel-bengkel Kemahiran Hidup serta setor sukan sesuai dengan pertambahan bilangan guru dan murid. Pada tahun 2003, bilangan guru meningkat kepada 69 orang dan jumlah murid keseluruhannya ialah 1148 orang. 

Pada 14 Januari 2011, Puan Rohaini binti Hayon telah menamatkan perkhidmatan sebagai Pengetua SMK Bandar Baru Batang Kali dan majlis persaraan diadakan untuk mengenang jasa dan mengucapkan selamat tinggal kepada beliau yang telah menjadi pengetua sekolah ini selama 10 tahun. Pada 22 Jun 2011, bermulalah era baharu dengan pelantikan Dr Hj Wan Mohd Tahir bin Wan Ibrahim sebagai Pengetua Cemerlang SMK Bandar Baru Batang Kali sehingga beliau bersara pada 18 Jun 2017. 

Mulai 19 Jun 2017, SMK Bandar Baru Batang Kali telah mendapat pengetua baru yang berpindah dari SMK Taman Bunga Raya (I) iaitu Tuan Hj Jamaluddin bin Abdul Kadir yang terus memacu sekolah ke arah kecemerlangan bagi tahun-tahun yang berikutnya. Beliau telah bersara wajib pada 18 Mac 2021 setelah hampir empat tahun berkhidmat di SEMBAKA. Amanah memacu kecemerlangan SEMBAKA seterusnya disambut oleh Puan Hanishah binti Mohd, Pengetua Cemerlang DG54, yang memulakan tugasnya di SEMBAKA pada hari yang sama iaitu 18 Mac 2021.