SAJAK
Sehelai Daun yang Gugur
Suhaimi Haji Muhammad
Sehelai daun yang gugur
bahawa setitis embun akan menjadi kering
semuanya telah pasti
tiada suatu pun
dapat melepaskan diri.
Apa pun yang menimpa diri
telah pasti, dan perlu dihormati,
kerananya jangan menangis
jangan juga merintih, terhadap segala yang ditakuti
jangan memukul kepala atau dahi
kerana semuanya.
Apabila lidahmu lantang
dan menjadi pisau
atau, apabila kalbu bernyala
dan menjadi bergelora
maka maknanya engkau menyalahkan Dia
kerana Dia yang menimpakan
dan yang mengirimkan semuanya.
Tiada suatu pun dapat melepaskan diri
meskipun angin sepoi
ia meninggalkan kesannya
bintik-bintik di kalbu kita
semuanya telah pasti.
Hanya perjuangan dan doa
yang dapat mengubah segala yang telah pasti
maka jangan menangis, dan janganlah merintih
Dia berkuasa dan berhak mengubah
segala yang ditakuti.
Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Oktober 2003.
Kembalilah kepada Perpaduan
Ahmad Sarju
telah kita susuri sungai pahit
pantai getir dataran yang pijar
kita telah berkali-kali
menepis tikaman lidah
mencabut duri fitnah
membalut luka berdarah
tetapi kita masih gagah mempertahankannya
amanah dan maruah.
pisau dendam masikah terhunus tajam
berkilau memancar di segala sudut
atau benih fitnah yang ditaburkan bertahun
di lubuk hati nurani bangsa
masih adakah pendekar yang telah tewas terus memuja
kebencian kepada pemimpinnya
pendekar itu yang telah terlucut gelarannya
telah teripu oleh kemelut pengikut-pengikutnya sendiri
dan telah terbukti itu bukan milik mutlak kepada kemenangan
atau kelembutan itu bukan pasti kepada ketewasan.
telah kita jahit luka demi luka
dengan benang keinsafan, luka yang merebak
terlalu sulit untuk diubati
hingga onak dan duri menajamkan runcingnya
menanam benih curiga, menanam benih permusuhan
yang hampir menewaskan itu masih terhunus di tangannya
menajamkan ancaman
sanggupkah kita membiarkan permusuhan itu
tumbuh kembali di mana-mana
hingga di ruang dingin muzakarah ini.
saudara-saudaraku
dendam bukanlah langkah bestari yang mengharumkan
ladang wawasan warisan kita
dendam bukanlah impian kudus
yang memurnikan nurani bangsa
dendam sekadar api amarah, impian rakus, hasutan syaitan
suara ancaman yang menakluki jiwa kerdil
dendam itu adalah pisau, adalah tombak khianat, adalah pedang
adalah tikaman demi tikaman
yang sering tertancap di dada bangsa sendiri
di dada bangsa sendiri.
saudara-saudaraku
kembalilah kepada perpaduan sejati
perpaduan yang menyuburkan persaudaraan bangsa
dan umat muslimin
padamkanlah api sengketa yang sekian lama membakar.
bentenglah ombak permusuhan
kerana kekuatan bangsa, keunggulan negara
dan ketinggian martabatnya
bermula dari benih suci, persaudaraan yang hakiki
perpaduan yang abadi.
kembalilah kepada perpaduan itu
kerana perpaduan itu adalah amalan yang diredai Ilahi.
Klang
25 September 1995
Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Disember 1995.
Adi Badiozaman Tuah
Dikhabarkan kau sudah diangkat menjadi laksamana
dikurniakan jajahan sepanjang Sungai Sarawak
dari Santubong ke Muara Tebas dan dari Sinjan ke Bintawa
kerana kebijaksanaan dan ketekunan mendendangkan pemimpin
mencanang kepetahan berhujah dan berbicara
tentang nasib dan masa depan anak-anak bangsa
bukan kerana kepintaran dan kecekapan membaca
bahasa air Sungai Sarawak yang mengalir sekian lama
melalui kampung, tanjung, jeti dan pelabuhan sejarah
gagah menjelajah dan membelah sungai tradisi.
Tahniah, kau dinobat aku tahu
bukan hanya kerana kemahiran mentafsir
dan menterjemah keluhan butir-butir pasir di pantai
bisikan rindu riak-riak ombak kecil di muara
atau siulan pilu arus deras di pergunggunan
tetapi kerana Ilahi merestui dan merelakan segala
pengorbanan dan perjuangan menegakkan yang hak
dan kesediaan meminggir kepentingan diri
demi kelangsungan dan kejayaan bersama.
Syabas, kau masih menjadi pendayung setia
menyusuri dan menyeberangi Sungai Sarawak
memunggah pengalaman dan ilmu sungai kehidupan
memuat dan menghimpunkan khazanah bangsa
dari kalan ke kalan tanpa terlalu banyak berbicara
tentang kesempatan hidup
atau keterbatasan ruang dan upaya
merubah nasib dan masa hadapan anak bangsa.
Demikianlah kau
seorang pendayung waktu
tekun menentukan arah dan hala tuju
setiap penumpang yang yakin dan setia bersamamu.
10.11.2017, Kuching
Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Bil. 2, 2018.
Zurinah Hassan
Wanita di jendela
melihat lintasan peradaban
di atas landasan zaman.
Siapakah yang tidak mengenalinya
yang menghias lembar legenda
madu dari bibirnya
kenanga dari rambutnya
telah jatuh ke dada pujangga.
Telah berkurun
mereka menyangkut harga hidup
pada paras dan tubuhnya
kecantikan bukan suatu dosa
namun tanyalah pada Teja
bagaimana ia dipertaruhkan
untuk sebuah kurnia dan kebesaran
tanyalah pada Fatimah
bagaimana keindahan rupanya
menikam seluruh kehidupan.
Kita pun telah lama mengenal wanita itu
perit rahimnya menendang kelahiran
parah tubuhnya mendakap keturunan
pedih tangannya menyuap kehidupan
sungai yang mengabdi membesarkan tanaman
hingga tiba arus dewasa
mengalirkan semuanya ke gelombang terbuka.
Wanita di jendela itu
telah lama diasuh
untuk merendahkan bahasa
dan mengurung rasa
melindung diri di sisi seorang lelaki
atau membayar harga kebebasan
dengan seribu prasangka.
Wanita itu telah membuka jendela
menentang angin cabaran
hatinya telah ditabahkan oleh musim-musim
yang payah
lalu dia bersuara
"Usah kirim padaku kuntum-kuntum pujian
yang luntur di kaki senja
aku cuma minta difahami
dan dihargai dari akal bicaraku
dan budi bakti."
Sumber: Pujangga Tidak Bernama, Zurinah Hassan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2016.
Kasih Petani Buta
Kemala
Kasihku subur dalam mata keluarga
kasihku luhur dalam hati isteri setia
kasihku hidup dalam pelukan padi di sawah
kini kutatap semua dengan jiwa
kini kudakap segala dengan rasa.
Ruan menyambar meriuk air tenang
lumpur lengket yang menyelimuti tulang
lintah air yang mesra, keringat yang rela
gotong-royong kerja jiran sekampung
derai delta rasa, melangkah ajuk senda.
Umurku yang lewat demi hadiah Tuhan
aku berada dalam laut kasih dan penderitaan
keindahan dan keabadian mestika hayat
petak sawahku bercambah di teluk jiwa
padiku berbuah dalam piala sukma.
Musim panen yang sampai aku turun menuai
dengan jiwa dan rasa menolak sangsi
kasih sayang sebuah tak terlerai
membawa nilai agung senyum dan air mata
menjamah erti pagi damai dan jiwa bahagia.
Disember 1967
Sumber: Kumpulan Puisi Pilihan Kemala, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2012.
Dengan Bahasa
Baha Zain
Kata orang negara itu gunung, hutan, tasik, pulau dan lautannya,
Pohon-pohon, daun, mayang, buah dan akar memberi kehidupan,
Tapi itu hanya sebahagian daripada pemandangan yang sempurna,
Bagaimana kalau mati angin, hujan dan cahaya?
Perahu tidak akan belayar, dan perantau hilang pedomannya.
Negaraku adalah mimpi yang indah, mimpi yang besar,
Negaraku adalah saga dan wira yang menjelajah benua,
Tapi kata orang, kita tak boleh hidup atas mimpi,
Kita tak boleh kaya dengan puisi,
Kita tak boleh ke syurga dengan industri,
Kita akan mati, akhirnya mati.
Pantai telah tercemar,
Hutan rimba jadi belukar,
Gunung-ganang jadi danau,
Pulau berubah tebing, dari desa ke bandar,
Kita telah membuka mata dunia,
Malaysia negara kecil, telah jauh ke muka.
Malaysiaku telah menebus kehinaan,
Merendah, tetapi tidak rendah diri,
Meninggi, tetapi bukan suaranya,
Kita tidak malu mendengar Bach, Beethoven atau Kitaro,
Membaca Goethe, Mishima, Camus atau Chairil,
Kita adalah pewaris dan warga dunia yang melihat Monet,
Gaugin atau Basuki,
Kita telah berdiri dan mengenali diri.
Tetapi, kasihan, mimpi kita berlebihan,
Bacalah Tun Sri Lanang, Za’ba dan Keris Mas,
Di sanalah terhimpit sejarah dan kepahitan,
Di sanalah tersirat mimpi dan perlawanan,
Dilestarikan oleh pantun, syair, seloka dan teka-teki,
Bacalah, dan bacalah dalam bahasamu,
Agar kau tidak jadi perantau,
Yang pulang dengan segala muatan,
Yang mati angin dan cahaya di lautan.
Mei 1994
Sumber: Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Ogos 1994.