unit skk JEPS

SEJARAH PENGANUGERAHAN SEKOLAH KLUSTER KECEMERLANGAN


Sekolah Kebangsaan Jalan Empat atau nama ringkasnya SK Jalan Empat merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terletak di Jalan 4/8, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor. Sekolah ini telah memulakan operasinya pada 1 Jun 2001 dengan permulaan 3 aliran dari Tahap 1, iaitu Tahun 1, 2 dan 3.

Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Jalan Empat memiliki 987 pelajar lelaki dan 980 pelajar perempuan menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 1967 orang dan mempunyai seramai 101 orang guru.

Kini, pada tahun 2021, Sekolah Kebangsaan Jalan Empat memiliki 1086 pelajar lelaki dan 1062 pelajar perempuan menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 2148 orang murid dan mempunyai seramai 129 orang guru dan 10 orang staf sokongan.

SK Jalan Empat telah mendapat pengiktirafan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan Fasa 9 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bertarikh 3 Mac 2015. Penganugerahan tersebut telah diterima oleh Puan Zarina bt Abd Majid, PPC selaku Guru Besar ketika itu di Dewan Za’ba , Presint 5, Putrajaya yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr Khair Bin Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Sekolah telah menetapkan Matematik sebagai bidang kebitaraan akademik dan Seni Tari sebagai bidang kebitaraan Kokurikulum. Bidang kebitaraan ini mampu mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan.

Sepanjang 2 tahun penglibatan SK Jalan Empat sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, banyak kejayaan telah dicapai. Antaranya sekolah telah menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada 16-17 April 2016, buat julung kalinya SK Jalan Empat telah menganjurkan Karnival MathsTari Peringkat Kebangsaan selama 2 hari bertempat di sekolah ini sendiri. Penyertaan daripada Sekolah Kluster seluruh Malaysia dan sekolah harian amat menggalakkan. Karnival ini diadakan bertujuan untuk memenuhi kemenjadian murid dan seterusnya melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah yang berada di luar kluster kecemerlangan.


logo kebitaraan mathstari