Sejarah ialah mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang wajib dipelajari oleh semua murid secara berterusan dari Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima. Kurikulum Sejarah sekolah menengah dilaksanakan secara bersepadu. Kesepaduan disiplin Sejarah merangkumi aspek kandungan pengetahuan, Kemahiran Pemikiran Sejarah, Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik.
Kandungan mata pelajaran Sejarah KSSM adalah berbentuk kronologi yang membincangkan perihal kehidupan masyarakat dan negara daripada aspek politik, ekonomi dan sosial. Peristiwa sejarah disusun secara kronologi supaya murid dapat memahami proses perkembangan masyarakat dan negara yang menumpukan kepada pemahaman yang menyeluruh tentang pembinaan negara bangsa Malaysia bermula dari Zaman Prasejarah hingga kini. Ilmu tersebut membolehkan murid membuat perbandingan peradaban yang dicapai oleh negara luar dengan negara kita. Oleh itu, murid perlu didedahkan dengan pengetahuan tentang dunia luar supaya mereka mampu bersaing di peringkat global.
Perkembangan pembelajaran sepanjang hayat turut didorong oleh transformasi kandungan kurikulum. Sehubungan itu, mata pelajaran Sejarah adalah disiplin ilmu yang dinamik menekankan kepelbagaian kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) antaranya kemahiran berfikir, kajian kes, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, pengajaran berasaskan kajian masa depan, pembelajaran secara konstruktivisme, pembelajaran secara kontekstual, dan pengaplikasian Theory of Constraints (TOC). Pendekatan PdP mata pelajaran Sejarah menjurus kepada pemupukan kemahiran berfikir aras tinggi bagi memenuhi matlamat dan aspirasi negara. Mata pelajaran Sejarah mengaplikasikan kurikulum holistik dan futuristik yang menekankan kepada kurikulum bertaraf dunia serta berkait rapat dengan perkembangan teknologi maklumat.
Pentaksiran dalam mata pelajaran Sejarah pula bertujuan sebagai kayu pengukur untuk menilai pencapaian murid dalam memperoleh pengetahuan, menguasai kemahiran dan mengamalkan nilai di samping menilai aktiviti yang dijalankan semasa PdP. Pentaksiran juga menyokong pembelajaran murid dan memberi maklum balas berguna kepada semua pihak berkepentingan seperti pentadbir, guru, murid dan ibu bapa/penjaga tentang perkembangan dan pencapaian murid. Maklum balas ini boleh digunakan untuk meningkat mutu PdP Sejarah sama ada di pihak guru ataupun murid.
Oleh itu, melalui PdP Sejarah sebagai satu disiplin ilmu akan menjadikan seseorang murid arif dan peka sejarah serta menyediakan mereka bagi menghadapi cabaran masa depan dengan memahami peristiwa masa lalu serta menghayati perjuangan tokoh-tokoh penting negara. Jelaslah, hasrat Kurikulum Sejarah memberikan penekanan kepada pembangunan sahsiah murid di samping pemupukan nilai-nilai keperibadian mulia dan semangat kewarganegaraan dan dapat menjadikan pengajaran daripada sejarah sebagai iktibar untuk membina kesedaran kebangsaan serta cintakan negara.
Kurikulum Sejarah bertujuan memberi kefahaman mengenai masyarakat, negara Malaysia dan dunia. Usaha ini, dapat memupuk dan memperkukuh identiti diri serta semangat setia negara sebagai warganegara Malaysia. Mata pelajaran Sejarah juga dapat mewujudkan semangat perpaduan, perasaan kekitaan, kesedaran kebangsaan dan memperkukuh perasaan cinta akan tanah air.
KSSM Sejarah bertujuan untuk membolehkan murid mencapai objektif berikut:
Menyatakan kepentingan sejarah dalam kehidupan seharian dengan mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah.
Menerangkan kepentingan mengamalkan semangat perpaduan dalam usaha pembangunan dan kemajuan negara.
Mengaplikasikan Kemahiran Pemikiran Sejarah dalam kalangan murid melalui kajian kes.
Mengaplikasikan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam melahirkan murid untuk bersaing di peringkat global.
Menghuraikan usaha dan sumbangan tokoh tanah air dalam memperjuang dan mempertahankan kedaulatan negara.
Membincangkan perkembangan sejarah masyarakat dan negara bagi membina jati diri.
Membincangkan kepentingan dan peranan kepelbagaian kaum dan etnik dalam pembentukan negara bangsa.
Meningkatkan kemahiran mengaplikasi, menganalisis, menilai dan mencipta idea melalui fakta sejarah yang tepat.
Membina minat terhadap sejarah sebagai satu disiplin ilmu yang dinamik.
Membina semangat patrotisme dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dibina berasaskan enam tunjang, iaitu Komunikasi; Kerohanian, Sikap dan Nilai; Kemanusiaan; Keterampilan Diri; Perkembangan Fizikal dan Estetika; serta Sains dan Teknologi. Enam tunjang tersebut merupakan domain utama yang menyokong antara satu sama lain dan disepadukan dengan pemikiran kritis, kreatif dan inovatif.
Kesepaduan ini bertujuan membangunkan modal insan yang menghayati nilai-nilai murni berteraskan keagamaan, berpengetahuan, berketerampilan, berpemikiran kritis dan kreatif serta inovatif sebagaimana yang digambarkan dalam Rajah 1.
Rajah 1
Fokus utama Kurikulum Standard Sekolah Menengah bagi mata pelajaran Sejarah adalah untuk melahirkan murid yang arif dan peka sejarah serta mampu menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang berdaya saing pada masa hadapan. Kurikulum ini memberi penekanan kepada kesepaduan aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai agar dapat memberi pemahaman kepada murid dalam membina jati diri dan semangat cinta akan negara.
Reka bentuk kurikulum Sejarah merupakan kesepaduan berbentuk ‘intra’ iaitu yang berlaku dalam pengetahuan Sejarah itu sendiri. Pengetahuan Sejarah ini meliputi Sejarah Malaysia, Sejarah Dunia dan Pembinaan Negara Bangsa Malaysia. Manakala elemen kemahiran pula mencakupi Kemahiran Pemikiran Sejarah. Seterusnya elemen nilai merangkumi Elemen Kewarganegaraan dan Nilai Sivik yang digabung jalin mengikut prinsip dan nilai demokrasi, keterikatan emosi kepada negara, perasaan kekitaan, semangat patriotik dan jati diri.
Kesepaduan ini dilaksanakan secara serentak dan berterusan dalam PdP mata pelajaran Sejarah seperti yang digambarkan dalam Rajah 2.
Rajah 2