Kelas Kemahiran al-Quran (KKQ)
كلس كماهيرن القرءان
كلس كماهيرن القرءان
TUAN HAJI MOHAMAD ROSNIZI BIN MAT YAACOB
Guru Al-Quran Perpengalaman Sejak 2007
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا ومولانا محمد الأمين صلى الله عليه وسلم بشريعته وعلى آله وأصحابه أجمعين.
Satu daripada keunikan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Kelas Aliran Agama (KAA) ialah wujudnya Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ). Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ) telah dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) sejak tahun 1986 hingga sekarang. Pelaksanaan ini berdasarkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perancangan Pelajaran (JPP) pada tahun 1985.
Kelas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ) merupakan salah satu daripada aktiviti ko-kurikulum di SMKA dan KAA berdasarkan pekeliling KP(BPPP) Sulit/03/9/JPP/M(87). Kelas ini hendaklah dilaksanakan di sekolah tertentu. Jawatan guru al-Quran di SMKA dan KAA telah diperuntukkan di dalam senarai perjawatan (B26) tahun 2002 berdasarkan MEMO daripada Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pendidikan Malaysia KP(PP) 0050/Jld.43(9) bertarikh 8 Mac 2002.
JAPIM dari masa ke semasa sentiasa mengadakan kursus-kursus khas kepada guru-guru yang mengajar KKQ di SMKA. Kursus yang sama juga akan diberikan kepada guru-guru yang mengajar di KAA bagi menambah atau melengkapkan guru-guru dengan pengetahuan dan kemahiran dalam bidang berkaitan.
فنديديقن دمليسيا اداله سواتو اوسها برتروسن كأره لبيه ممفركمبغكن فوتينسي اينديؤيدو سخارا مثلوروه دان برسفادو اونتوق ملاهيركن انسان يغ سأيمبغ دان هرمونيس دري سضي اينتليك، روحاني، ايموسي دان جسماني، برداسركن كفرخاياءن دان كفاتوهن كفد توهن. اوسها اين اداله برتوجوان اونتوق ملاهيركن ورضانضارا مليسيا يغ برعلمو فغتاهوان، بركتـرمفيلن، براخلاق موليا، برتغضوغجواب دان بركأوفاياءن منخافاي كسجهتـراءن ديري سرتا ممبـريـكن سومبغن ترهادف كهرمونين دان كمعمورن كلوارض، مشاركت دان نضارا.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
فنديديقن إسلام اداله ساتو اوسها برتروسن اونتوق مثمفايكن علمو، كماهيرن دان فغحياتن إسلام برداسركن القرءان دان السنة باضي ممبنتوق سيكف، كماهيرن، كفريبادين دان فندغن هيدوف سباضاي همبا الله يغ ممفوثاءي تغضوغجواب اونتوق ممباغون ديري، مشاركت، عالم سكيتـر دان نضارا كأره منخافاي كباءيقن ددنيا دان دأخيرة.
Suatu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah SWT yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Setelah mempelajari Kemahiran al-Quran murid dapat :-
Membaca dan menghafal surah-surah tertentu daripada Al-Quran secara bertajwid dan mengamalkannya di dalam kehidupan seharian.
Memahami dan menghayati perkara-perkara yang berkaitan dengan Al-Quran merangkumi aspek sejarah penulisan, pengumpulan, pembukuan, surah dan asbabun-nuzul.
Mengetahui lagu-lagu Al-quran dan mempraktikkannya dalam bacaan harian.
Mengetahui, membezakan dan membaca wajah-wajah bacaan Qiraat Sabie.
ممباخ دان مغحفظ سورة٢ ترتنتو درفد القرءان سخارا برتجويد دان مغعملكنث ددالم كهيدوفن سهارين.
ممهمي دان مغحياتي فركارا٢ يغ بركاءيتن دغن الفرءان مرغكومي اسفيك سجاره، فنوليسن، فغومفولن، فمبوكوان، سورة دان اسباب النزول.
مغتاهوءي لاضو٢ القرءان دان ممفركتيككنث دالم باخاءن هارين.
مغتاهوءي، ممبيذاكن دان ممباخ واجه٢ باخاءن قراءات السبع.
Dicadangkan bilangan murid dalam sesebuah kelas tidak melebihi 20 orang. Ini bagi membolehkan guru memberi tumpuan kepada tiap-tiap murid secara individu dan latih tubi.
Murid hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang baik dan lancar membaca Al-Quran kerana kandungan sukatan pelajaran dalam mata pelajaran ini adalah tinggi.
Tajwid تجويد
Hafazan حفظن
Ulum Al-Quran علوم القرءان
Qiraat Sab`ah قراءات السبع
Tarannum ترنم
Tajwid تجويد
Hafazan حفظن
U̶l̶u̶m̶ ̶A̶l̶-̶Q̶u̶r̶a̶n̶
Qiraat Sab`ah قراءات السبع
Tarannum ترنم
Kelas Kemahiran Al-Quran adalah salah satu kegiatan ko-kurikulum yang dilaksanakan di SMKA dan KAA seluruh negara. Jadual yang diperuntukkan untuk kelas ini adalah tiga (3) jam seminggu seperti yang telah diputuskan oleh Jawatankuasa Perancangan Pelajaran (JPP).
Setiap murid yang mengikuti kelas ini akan mengikuti Peperiksaan Khas yang dilaksanakan semasa tingkatan tiga dan juga tingkatan lima.
Peperiksaan dilaksanakan dalam bentuk lisan dan objektif (aneka pilihan) meliputi aspek hafazan, tajwid, tarannum, ulum quran dan qiraat sabie. Semua soalan disediakan oleh Jawatankuasa Khas di Kementerian Pelajaran Malaysia.
Peperiksaan Lisan akan dilaksanakan oleh guru yang mengajar mengikut panduan yang telah ditentukan. Panduan dan format ujian akan dihantar kepada guru berkenaan. Markah yang telah siap akan dihantar kepada Kementerian untuk disatukan dengan markah peperiksaan objektif.
Peperiksaan objektif dilaksanakan serentak di seluruh negara. Skrip jawapan calon akan dihantar kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk diperiksa dan diberi markah.
Murid yang lulus dalam peperiksaan tersebut akan dianugerahkan sijil yang ditandatangani oleh timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (JAPIM) yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Khas Kelas Khas Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran.
Guru Al-Quran adalah jawatan Over & Above diberi kepada sekolah menengah harian biasa yang mempunyai KAA dan juga SMKA. Di antara tugas dan tanggungjawab guru Al-quran ialah :
Melaksanakan kelas KKQ.
Mereka boleh (dengan budibicara) diminta mengajar mata pelajaran lain seperti Pendidikan Islam dan Bahasa Arab sekiranya masih terdapat kekosongan dalam jadual mereka.
Bertanggungjawab melaksanakan projek-projek khas yang berkaitan dengan Al-Quran seperti Kelas Pemulihan dan sebagainya.
Membimbing murid-murid membaca Al-Quran.
Menanam minat murid dan warga sekolah kepada Al-Quran sehingga terbentuk masyarakat celik Al-Quran.
Bertanggungjawab membasmi buta Al-Quran di kalangan pelajar.
Menjadi tempat rujukan warga sekolah berkaitan dengan Al-Quran dan aspek kemahiran Al-Quran.
Mematuhi arahan pengetua sekolah dan menjalankan tugas yang diarahkan dari masa ke semasa.