Kemahiran berfikir aras tinggi ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat keputusan,berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah menggariskan enam aspirasi iaitu kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, identiti sosial, pengetahuan dan kemahiran berfikir yang diperlukan oleh setiap murid untuk berupaya bersaing pada peringkat global. Daripada enam aspirasi yang dinyatakan, buku ini memberi fokus kepada kemahiran berfikir. Penguasaan kemahiran berfikir yang mantap memainkan peranan penting dalam melahirkan murid yang kreatif dan inovatif. Kemahiran berfikir yang ditekankan ialah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) kerana tren perkembangan pendidikan masa kini menuntut kemahiran tersebut. Penerapan KBAT dalam pendidikan menggunakan pendekatan yang menyeluruh dan sistematik yang merangkumi tujuh elemen KBAT yang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu Kurikulum, Pentaksiran dan Pedagogi serta empat elemen sokongan iaitu Kokurikulum, Sokongan Komuniti dan Swasta, Sumber dan Bina Upaya. Kesemua elemen ini adalah untuk membudayakan kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan guru dan murid.

Laman ini dibina adalah sebagai satu tapak perkongsian bahan dan amalan KBAT di SMK Kota Masai 2 serta satu langkah inisiatif pembudayaan KBAT dalam kalangan warga sekolah.

Sekian, terima kasih.