Memandangkan Malaysia sedang membangun maka pihak Kementerian Pendidikan (semasa itu) telah menubuhkan Sekolah Menengah Vokasional yang ditugaskan untuk menampung kekurangan tenaga mahir yang begitu ketara pada masa itu. Pada 3 April 1972 tertubuhlah Sekolah Menengah Vokasional Ampangan. Pada awalnya terdapat kekurangan alatan dan pengajar dalam bidang vokasional. Sekolah ini adalah Sekolah Vokasional Pertukangan yang pertama di Negeri Sembilan Darul Khusus.
Sekolah Menengah Vokasional Ampangan, Seremban bermula pada 3 April 1972 dengan bantuan Bank Dunia dan Kementerian Pendidikan. Disebabkan kelewatan siapnya bangunan sekolah ini, maka untuk sementara waktu kakitangan dan pelajar-pelajar menumpang di Bangunan Sekolah Menengah KGV 11 (Sek. Men. Seri Ampangan). Oleh sebab ketiadaan bengkel-bengkel maka pelajar-pelajar hanya diajar matapelajaran teori, lukisan teknik serta matapelajaran akademik. Pelajar yang mendapat tawaran untuk tinggal di asrama terpaksa di tempatkan di bilik-bilik darjah yang kosong untuk sementara waktu. Pada awal penubuhannya, pelajar-pelajar yang gagal dalam SRP sahaja yang memohon untuk memasuki sekolah ini. Peringkat awal tenaga pengajar dalam bidang vokasional diambil dari kalangan guru-guru lepasan Maktab Teknik dan juga pengajar sukarela dari Jepun (JOVC). Bangunan Sekolah Menengah Vokasional di atas tanah seluas lebih kurang 12 hektar dan terletak di dalam kawasan Mukim Ampangan iaitu kira-kira 7 km dari Bandar Seremban. Kedudukan Sek. Men. Vokasional adalah bersebelahan dengan Sek. Men. Teknik Tuanku Jaafar dan Sek. Men. Seri Ampangan.
Pada bulan Jun 1972 bangunan sekolah ini telah disiapkan dan boleh digunakan. Ia mempunyai 2 bangunan untuk kelas dan bilik lukisan teknik serta pejabat, 6 buah bengkel mengikut kursus-kursus, sebuah rumah pengetua, 4 pintu rumah pekerja, bangunan asrama putera yang boleh menampung 160 orang pelajar, padang bola dan dewan makan.
Semasa awal penubuhan sekolah ini seramai 143 orang pelajar ditawarkan mengikut kursus masing-masing iaitu binaan bangunan (16 orang), kajisawat motor (24 orang), kepingan logam dan kimpalan (10 orang), pepasangan dan penyelenggaraan letrik (27 orang), menggegas dan memesin (13 orang), rawatan radio dan televisyen (12 orang), perdagangan A - aliran Inggeris (20 orang) dan perdagangan B - aliran Bahasa Malaysia (21 orang).
Kakitangan yang mula bertugas di sekolah ini seramai 28 orang iaitu 20 orang guru, 6 orang tukang kebun, seorang attendan makmal dan seorang jaga. Buat masa itu aktiviti kokurikulum tidak dapat dijalankan dengan sepenuhnya memandangkan sekolah ini kekurangan alatan sukan dan keadaan padang yang belum sempurna. Dari segi akademik agak begitu lembab, disebabkan banyak faktor-faktor seperti kekurangan alat-alat bantu mengajar, mesin-mesin yang diperlukan, kekurangan bahan bacaan dalam bidang vokasional dan juga keupayaan pelajar-pelajar. Pada tahun 1973 adalah tahun yang pertama pelajar-pelajar menduduki peperiksaan SPMV. Jumlah pelajar masa itu seramai 198 orang. Pada tahun 1976 kursus n\baru diperkenalkan iaitu kursus pendinginan dan penyamanan udara yang mana sebahagian bengkel rawatan radio dan televisyen digunakan. Dua orang guru lepasan Maktab Perguruan Teknik ditugaskan mengajar dalam bidang ini.
Dengan pertambahan guru dan kakitangan pada tahun berikutnya semua pergerakan kurikulum dan kokurikulum dapat dijalankan sepenuhnya. Bengkel-bengkel telah pun dipenuhi dengan alat-alat pengajaran bidang vokasional. Kebanyakan alat-alat pada masa itu dibekalkan oleh Kerajaan Canada di bawah Rancangan Colombo.
Memandangkan pertambahan pelajar-pelajar pihak pentadbir sekolah telah memohon dua blok asrama putera dan juga tambahan dewan makan. Pada tahun 1979 surau sekolah dibina dengan kerjasama dari pihak pentadbir, guru-guru serta pelajar-pelajar yang mana 85% dari pembinaannya dibuat oleh guru-guru dan pelajar-pelajar sendiri. Semua perbelanjaan pembinaan surau dibiayai derma pelajar, guru serta orang perseorangan.
Pada tahun 1983, sekolah ini mendapat peruntukan di bawah Rancangan Pinjaman Bank Asia 11 untuk pembinaan bengkel-bengkel menggegas dan memesin, elektronik, cat mengecat, menggulung motor dan pendawaian industri.
Pada tahun ini kursus pendek mula diperkenalkan dan pelajar-pelajar yang gagal dalam SRP ditawarkan untuk kursus menggulung motor, menggegas dan memesin am, pendawaian domestik dan industri. Pelajar ini dikehendaki menduduki peperiksaan LLPPKK di bawah Kementerian Buruh (sekarang SKM dibawah Kementerian Sumber dan Tenaga Manusia). Sebelum ini juga kursus pendek enam bulan telah pun dijalankan untuk pelajar-pelajar dibawah Rancangan Bintulu.
Terdapat juga dua kursus lanjutan diperkenalkan di sekolah ini iaitu kursus cat mengecat dan ketuk mengetuk dan kursus penyelenggaraan alat. Pelajar yang memasuki kursus ini adalah dari kalangan lepasan SPVM. Dibawah Rancangan Pinjaman Bank Dunia ke-3, sekolah ini telah menerima peruntukan untuk menaikkan taraf bengkel lama dan penambahan bangunan sekolah iaitu bangunan baru bengkel pendingin udara, bangunan baru menggegas dan memesin, satu bangunan untuk bilik komputer dan makmal sains, satu blok dua tingkat untuk bilik darjah, dua buah rumah guru dan membaikpulih semua bengkel yang sediada.
Kebanyakan guru-guru dibidang teknik adalah guru-guru mahir dalam bidang masing-masing dan kerjasama Kementerian Pendidikan. Kebanyakan guru-guru telahpun menjalani kursus-kursus di dalam dan di luar negara. Buat masa ini Sekolah Menengah Vokasional Ampangan Seremban berfungsi dengan begitu baik dan dapat menampung kekurangan tenaga mahir dan separuh mahir yang diperlukan oleh negara kita yang begitu pesat membangun.