KATA ALU-ALUAN PENGETUA
Terlebih dahulu bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya saya berkesempatan menyampaikan sepatah dua kata dalam buku pengurusan SMK Abdul Jalil yang dikenali sebagai Sinergi SMAJA. Saya bersyukur juga kerana masih diberi amanah dan tanggungjawab memimpin SMAJA pada Sesi 2026/2027. Ucapan tahniah dan terima kasih juga ditujukan kepada semua yang terlibat dalam penyediaan Sinergi SMAJA ini.
Seperti yang semua warga sekolah maklum, kepimpinan saya di SMK Abdul Jalil adalah berpegang kepada budaya kerja “SMAJA SERONOK”. Saya cuba untuk mewujudkan suasana keseronokan dalam bekerja dengan mematuhi budaya positif dalam perkataan “SERONOK”. Budaya kerja ini dimulai dengan huruf “S” iaitu mematuhi SOP dan SPI dalam suasana sejahtera, selamat dan sihat mental dan fizikal, “E” yang mementingkan empati dan etika bagi menghasilkan emas atau ‘gold’ dalam kerjabuat. Diikuti huruf “R” iaitu warga SMAJA sebagai rakan baik yang saling menghormati dan menghargai satu sama lain serta bergerak dalam satu pasukan yang sentiasa menyempurnakan amanah mengikut perancangan yang sistematik. Misalnya RPH dan RPT yang telah dirancang menjadi tanggungjawab untuk dilaksanakan dan dihantar mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Huruf “O” pula melambangkan budaya kerja yang optimis tanpa ada perasaan prejudis dalam kalangan warga SMAJA kerana setiap orang mempunyai kelebihan untuk mencapai sasaran kerja yang optimum. Hasil ini diwakili oleh huruf “N” iaitu mempunyai nilai serta berimpak positif kepada sekolah. Dalam sebuah keluarga kerja yang besar iaitu diwakili perkataan “O” iaitu organisasi yang tidak tertinggal daripada arus pendigitalan dan sentiasa mendokumentasi apa jua program atau aktiviti sekolah dengan tapak yang sama iaitu OPR (One Page Report) sebagai usaha menjadikan SMAJA ‘ohsem’. Huruf terakhir dalam budaya kerja “SMAJA SERONOK” ialah “K” iaitu menyimpulkan semua amalan budaya kerja yang positif seperti kreatif, konsisten, komited, kecergasan, keseragaman, keterlibatan, kejujuran, ketelusan, kebersamaan, keserasian, keterbukaan dan kemas kini. SMK Abdul Jalil juga mementingkan kebitaraan dan kualiti dalam semua aspek iaitu Kurikulum, Pengurusan Hal Ehwal Murid, Kokurikulum dan pengurusan pejabat serta fizikal sekolah. Semua huruf dalam perkataan “SERONOK” adalah budaya kerja untuk mencapai kecemerlangan, kejayaan, keberhasilan dan kemenjadian seperti yang diharapkan.
Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapaan jutaan terima kasih kepada barisan pentadbir, guru-guru dan semua AKP yang sentiasa berusaha meningkatkan mutu kerja berasaskan budaya “SMAJA SERONOK” yang ditekankan sehingga kita berjaya mencipta kejayaan di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa. Di samping itu kita semua sentiasa berdoa semoga kerja-buat kita diberkati dan diterima oleh Allah sebagai satu ibadah yang akan membantu kita di dunia abadi nanti.
ABANG ABDILLAH BIN ABG JOHNY
Pengetua
SMK Abdul Jalil, Hulu Langat, Selangor